Dengan semangat yang membara untuk menakluk Ledang, kami terpaksa menaiki lebih 600 anak tangga untuk menuju ke Bukit Semput, di check point pertama. Sesuai dengan namanya Bukit Semput kerana hampir semua pendaki berasa semput selepas dikejutkan untuk menaiki anak tangga berkenaan. Setelah semput berakhir, check point kedua dan ketiga kami yang dinamakan Batu Orkid turut diredah.
Pendakian ke puncak ini seperti beralun dan tidak hanya mendaki secara keseluruhan. Ada kalanya naik dan ada kalanya menurun. Menurut teori pendakian dalam kumpulan, “kelajuan kumpulan berkenaan adalah berdasarkan anggota yang paling perlahan”. Semua anggota kumpulan kami nampaknya sudah biasa dengan aktiviti pendakian dan tidak Nampak untuk mengalah.
Tiba di check point 5 iaitu di Sungai Tiga Segi, kami rehat agak lama dan waktu untuk makan. Di sini juga pernah menjadi tapak perkhemahan namun tidak lagi dibenarkan bermalam di kawasan tersebut. Ketika ini juga kumpulan kami masing-masing berkongsi makanan bersama kumpulan pendaki yang lain yang turut dianggotai 6 pendaki bersama seorang renjer. Rata-ratanya bekas pelajar MCKK
Rehat di Sg. Segi Tiga
Jam 1, kami bergerak melalui laluan K.F.C yang mencanak. Kesan dan akibat apabila berehat terlalu lama, perasaan tercungap-cungap kembali untuk mendaki bukit yang menemukan lutut dengan dagu. Sambil mengira ketinggian gunung berdasarkan batu aras yang tersedia, perasaan teruja makin bergelora kerana puncak semakin dekat.
Gua kambing, Batu Hampar, Laluan Bonsai dan Bukit Botak kami lalui. Suhu dingin mula terasa dan sekaligus mengurangkan haus. Amat selesa mendaki dalam suasana sedemikian. Persinggahan terakhir sebelum ke puncak, kami mengisi air di laluan Majapahit, dan rehat seketika. Namun rehat tidak begitu lama kerana keterujaan menuju puncak semakin membuak-buak.
Gua Kambing
Bonsai di Laluan Bonsai
Tiba Puncak Ledang setinggi 1276 meter pada jam 3.40 petang. Walaupun cuaca berkabus dilitupi awan namun pemandangan 360 darjah melihat alam sekeliling jelas kelihatan. Puas bergambar dan rehat serta ada yang terlelap. Perancangan awalnya untuk melihat matahari terbenam, namun cuaca tak mengizinkan dan kami mulai turun jam 5.45 petang.
Turun di laluan yang berbeza, kami melalui pohon-pohon bonsai yang begitu redup sambil keadaan sekeliling mulai gelap di remang senja. Memang betul, teori pendakian, “naik gunung rasa penat, turun gunung rasa sakit”. Sakit di bahagian paha dan betis mula terasa. Petua untuk tidak mahu sakit adalah berlari ketika menuruni gunung. Teori ini terbukti kerana pengalaman penulis ketika beliau berlari apabila menuruni Gunung Kinabalu. Langsung tiada rasa sakit pada kaki. Menuruni gunung pada waktu malam, kami bersedia dengan lampu suluh. Perjalanan malam mengasyikkan cuma betis dan paha terasa sakit. Akhirnya tiba di tapak perkhemahan jam 9 malam. Genap 12 jam ekspedisi menakluk Gunung Ledang pada kali ini.
Kisahnya belum tamat kerana ada cerita lain yang mengakibatkan kami menginap lagi di rumah renjer pada malam tersebut walaupun khemah telah didirikan. Tidak sanggup untuk tidur bersama reptilia hitam yang berbisa di kawasan khemah.
Keesokannya, tidak lengkap jika kami tidak ke Air Terjun Gunung Ledang. Nikmat kesejukan air mulai terasa dan dinikmati hingga puas. Berdasarkan lagenda, disitulah letaknya Kolam Puteri Gunung Ledang yang pernah bersiram.
Terima kasih kepada Moi yang menjadi renjer kami di Ledang.




