Memandangkan Akinabalu Youth Hostel betul-betul berada di Jalan Gaya dan kami menghabiskan masa pada 19 Oktober untuk jalan-jalan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan yang berdekatan. Secara kebetulan pagi pagi tersebut adalah hari Ahad dan berpeluang untuk ke Tamu di Jalan Gaya serta yang lebih unik lagi ke Tamu Kota Belud. Sempat juga membawa rakan-rakan melawat Muzium Sabah dan Jambatan Tamparuli.
Utara membawa berita Selatan membawa utusan Timur membawa makmur Barat membawa rahmat
Friday, October 31, 2008
Kinabalu sana-sini
Memandangkan Akinabalu Youth Hostel betul-betul berada di Jalan Gaya dan kami menghabiskan masa pada 19 Oktober untuk jalan-jalan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan yang berdekatan. Secara kebetulan pagi pagi tersebut adalah hari Ahad dan berpeluang untuk ke Tamu di Jalan Gaya serta yang lebih unik lagi ke Tamu Kota Belud. Sempat juga membawa rakan-rakan melawat Muzium Sabah dan Jambatan Tamparuli.
Pulau Sapi
Destinasi terakhir di Borneo ini hanya 15 minit sahaja dengan menaiki bot dari Jesselton Point, Kota Kinabalu. Pulau Sapi adalah di antara gugusan pulau yang berada dalam Taman Tunku Abdul Rahman, Sabah sekaligus berada di bawah seliaan Taman-taman Sabah.
Kami hanya habiskan masa setengah hari dengan menaiki bot awal seawal jam 8 pagi dan bergerak balik jam 12. Masa tersebut cukup untuk aktiviti berehat dan snorkelling.
Tapi, berbanding dengan pulau-pulau lain, badan jadi gatal ketika mandai-manda dan snorkelling di sini. Keadaan ini bukan berlaku kepada Izzo sahaja tapi rakan-rakan yang lain turut sama. Entah dimana silapnya.
X-Trail Borneo dah tamat
Cabaran Sg. Padas
Sekali lagi, aktiviti X-Treme ini tidak dapat dirakamkan memandangkan semuanya berkeadaan basah dan tenggelam dalam pusaran air yang kuat di Sg. Padas meskipun menggunakan jaket keselamatan.

gambar hiasan sahaja tapi yang sebenar keadaan air lebih bergelora dari ini
Cabaran berakit di Sg. Padas ini bermula dari Pangi dan berakhir di Halogilat sejauh 23km dan memakan masa selama 3 jam di atas rakit. Tidak hanya melalui laluan air yang deras tetapi permandangan indah sungai berkenaan yang merentasi Banjaran Crocker dan perkampungan Murut memang mendapat perhatian sehinggakan 2 daripada ahli kumpulan ingin sama sekali hidup bersama mereka. Cabaran berakit ini mungkin berubah dan dipendekkan selepas kerja-kerja pelebaran dan pembaikan landasan keretapi tersebut.
Terdapat beberapa rapid atau laluan air yang deras sepanjang cabaran di Sg. Padas kali ini. Antaranya Break Point, Merry Go Round, Scooby Doo, The Cobra Point, Lambada, Curve, Snake House dan yang paling mencabar adalah The Washing Machine yang menyebabkan kami semua terhumban keluar dari bot dan berhadapan dengan laluan dengan air yang amat deras sehinggakan terminum berkali-kali air Sg. Padas.
Tamat aktiviti berakit, kami menaiki keretapi terus ke Beaufort dengan sekali lagi beriringan dengan Sg. Padas.
Sepilok, Tarap, Labuk, Tayar Bocor & Anak Ular Tedung
Sejurus turun dari Kinabalu, X-Trail Borneo diteruskan dengan menaiki bas dari Taman Negara Kinabalu ke Sepilok. Perjalanan tesebut mengambil masa selama 4 jam dengan harga RM39.
Sepilok yang terkenal seantero dunia dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan di buka 2 kali sehari. Sepertimana yang telah diperkatakan, tempat ini bukannya Zoo tetapi pusat untuk melatih orang utan untuk kembali ke habitat asalnya dan hidup bebas di hutan. Sememangnya wajar untuk dilawati tetapi tiada jaminan untuk melihat orang orang disini. Namun pada pagi berkenaan, terdapat kurang dari 10 ekor orang utan muncul sewaktu makan pagi.
Sempat Izzo singgah untuk membeli buah tarap dan mangga sewaktu perjalanan dari Sepilok ke Labuk. Setelah dua kali mencuba untuk menikmati buah ini tetapi tekak ini masih belum dapat menerimanya. Buah Tarap yang berharga RM1 sebiji ini seakan-akan cempedak cukup popular di Sabah selain buah bambangan.
Cadangan asal adalah untuk menyelusuri Sg. Kinabatangan dan menyaksikan sendiri aktiviti dan habitat asal semulajadi haiwan seperti Proboscis Monkey, Lutong, Orang Utan, Burung Kenyalang serta Gajah Pygmy yang jarang ditemui di tempat lain termasuk semenanjung Malaysia. Namun akibat kesuntukan masa, Izzo menukar dengan hanya sepetang melawat Proboscis Monkey dan Lutong serta Macaque di Labuk. Berbeza dengan specis monyet yang lain, Lutong jinak dengan manusia dan tidak membuat sebarang bentuk tindakan ganas apabila berhadapan dengan manusia.
Terdapat 4 keluarga Proboscis Monkey disini atau lebih dikenali sebagai Monyet Belanda. Masing-masing menayangkan kehebatan dan keegoan keluarga dan bergaduh jika ruang mereka dicerobohi. Selesai menjengok specis monyet ini, kami dapati tayar pacuan 4 roda yang dinaiki bocor mungkin akibat pelanggaran batu-batu tajam.
Namun tiada apa yang ralat bahkan semakin seronok dengan masa terluang ketika itu sewaktu di Labuk. Pada ketika itu juga, buah tarap dijamah.
Tiba malam hari di Sepilok Jungle Resort, sempat kami berjalan pada malam hari di sekitar Sepilok. Malang sungguh kerana terserempak dengan Anak Ular Tedung. Erk…
Thursday, October 30, 2008
Sayang Kinabalu Selamanya
14 & 15 Oktober 2008
MC14
Pendakian seramai 5 orang dalam kumpulan ini menggunakan laluan Mesilau-Puncak-Timpohon.
Lada & Izzo tengah basah kuyup
Farid & Lada @ KM5
Kumpulan kami memakai kod MC14. Perjalanan mendaki bermula jam 9.30 pagi dan Izzo bersama Lada dan Farid tiba di Laban Rata jam 2.50 petang dengan berhadapan 3 kali hujan lebat. Ini juga antara faktor untuk kurang mengambil gambar sepanjang pendakian.
Suhu pada jam 4.30pm menunjukkan 9-10 celcius dan suhu berkenaan tidak lagi dianggap sejuk bagi Izzo kerana berjaya membuka baju sepenuhnya lebih dari 20 minit.
Laban Rata
Pakej lengkap dari Sutera Sanctuary Lodge iaitu penginapan dan 4 kali makan sebanyak RM213 kini membuatkan semua pendai tidak perlu lagi membawa bekalan tambahan yang hanya memberatkan beg.
Makan Malam di Laban Rata
OK, Pendakian seterusnya bermula jam 3 pagi dari Laban Rata menuju ke Puncak Low dan Izzo sampai di puncak tepat jam 5.30 pagi sebelum sang suria memencarkan sinarnya pada pagi berkenaan.
Suhu awal pagi di ketinggian 3080 meter
Perjalanan mendaki paling indah yang Izzo hadapi kali ini kerana sepanjang pendakian pada awal pagi berkenaan bulan purnama Syawal begitu cantik dan seolah-olah menggamit semua pendaki. Tetapi dengan keadaan tangan yang terlampau sejuk pada suhu sekitar 2 celcius menyebabkan ingatan indah tersebut hanya tersemat dalam kotak fikiran.
Bulan Purnama Syawal @ Kinabalu
Matahari Terbit 15 Okt
Puncak Low
Puncak Selatan
Puncak Low
Sama seperti RM1
Kali ini penurunan dari Puncak ke Timpohon adalah amat lancar dan Izzo hampir langsung tiada kesakitan yang dialami di kaki. Mungkin teknik berjalan pantas dan berlari berjaya diaplikasikan.
Pendakian Kinabalu memerlukan semua kumpulan pendaki menempah dengan lebih awal di Sutera Sanctuary Lodge kerana hampir setiap hari di penuhi oleh pendaki tempatan dan antarabangsa. Tempat yang terhad hanya untuk 146 pendaki sehari seeloknya di kekalkan bagi menjaga Tapak Warisan Dunia yang pertama di Malaysia ini.
Persiapan yang rapi juga diperlukan untuk ketahanan fizikal dan juga mental kerana ada pada ketikanya hanya semangat yang masih tinggal untuk terus mendaki di samping kekurangan oksigen.
Pastinya pendakian Kinabalu kali ini membuatkan Izzo semakin sayang dengan Kinabalu selamanya.
Wednesday, October 29, 2008
Lapangan Terbang Mulu
Ruang Orang Kenamaan
Surau
Mungkin itu adalah satu-satunya surau di Mulu memandangkan ramai kaun Penan dan Berawan yang lain menganut Kristian.
Walaupun penumpang dalam pesawat Fokker 50 hanya 50 penumpang tetapi terdapat lebih dari 120 tempat duduk di balai berlepas lapangan terbang ini.
Balai Berlepas
Apa-apa pun, I’ve been to Mulu.
Akhir sekali, Selamat tinggal MULU
Taman Negara Gunung Mulu
Pelbagai jenis penginapan yang terdapat disini dan Izzo memilih asrama di Taman Negara. Kemudahan dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh pihak pengurusan sangat memuaskan dan memadai untuk pengembara tempatan dan antarabangsa walaupun hanya Izzo seorang sahaja pelawat dari Malaysia pada ketika itu.
Gua pertama yang dilalui adalah Gua Lang yang mendapat nama sempena orang pertama yang menerokai gua ini. Stalactite dan Stalagmite memang mengagumkan walaupun Izzo pernah menerokai gua-gua lain sebelum ini.
Permandangan di dalam Gua Lang
Gua Rusa yang terletak hanya bersebelahan dengan Gua Lang merupakan gua terbesar di dunia dengan ketinggian 174 meter dan menjadi habitat lebih 3 juta kelawar. Sesuatu yang lebih menarik tentang gua ini, Izzo dapat sendiri menyaksikan wajah Abraham Lincoln dari bentuk batu. Selama ini hanya dapat menyaksikan gambar berkenaan dari mana-mana promosi pelancongan dan juga dokumentari di TV sahaja. Walaupun cuaca kurang baik sewaktu matahari hampir terbenam, jutaan kelawar yang menghuni Gua Rusa tetap terbang keluar secara berkumpulan. Pengalaman ini jarang untuk dijumpai di mana-mana tempat.
Abraham Lincoln @ Mulu
Kumpulan Kelawar
Pemerhati kelawar
Pagi yang gelap kini sudah terang. Kabus pagi di Mulu memang cun dan perjalanan bermula selama 1 jam 30 minit dengan berjalan kaki seiring Sungai Melinau menuju ke Gua Angin dan Gua Air Jernih. Dalam perjalanan sempat juga melalui Gua Bulan Susu yang lebih sempit dan serba putih di dalamnya. Berbeza dengan gua-gua lain yang telah lama terbentuk, Gua Air Jernih boleh dikatakan masih baru. Stalactite dan stalagmite masih kurang dibentuk di gua ini.
Kabus pagi di Mulu
Perkampungan Penan di Batu Bungan
Perjalanan balik dari Gua Air Jernih dengan menaiki bot panjang di Sungai Melinau selama 20 minit dapat menyaksikan perkampungan Penan di Batu Bungan. Namun hari berkenaan adalah hari Ahad, aktiviti harian di perkampungan berkenaan seperti anyaman dan pembuatan kraftangan tidak dijalankan.
Menyusuri Sungai Melinau
Tak cukup dari itu, sempat juga merasa menaiki Laluan Kanopi di Mulu yang sepanjang 485 meter dengan 16 pelantar. Khabarnya laluan kanopi ini lebih panjang dari laluan kanopi yang terdapat di Taman Negara Pahang. Tapi Izzo tidak pasti fakta berkenaan dan yang penting dapat merasai lagi hujan lebat dalam hutan hujan khatulistiwa.
Laluan Kanopi @ Mulu
Hujan Lebat
Sememangnya Taman Negara Gunung Mulu yang dikelilingi Hutan Khatulistiwa sangat cantik dan tidak hairan pelancong yang sanggup terbang jauh pari pelbagai pelusuk benua datang ke Malaysia semata-mata untuk melawat tempat yang di anggap “syurga” bagi mereka. Perjalanan lebih menarik sekiranya dapat mengembara ke “Pinnacles” yang mengambil tambahan selama 3 hari. Ya, mungkin satu hari nanti akan sampai juga ke tempat tersebut.