Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Tuesday, July 19, 2011

SM Teknik, Kuantan




... atau dikenali Technical Institute of Kuantan. Izzo belajar di sini tahun selama 2 tahun dan menduduki Peperiksaan SPM tahun 1996. Beberapa perubahan berlaku sejak perubahan dasar Pendidikan Teknik dan Vokasional Kebangsaan. Namun seperti biasa sekolah ini sentiasa kemas, cantik dan semakin berseri. Sejarah batch 95/96 tercipta dan terpahat sebagai batch terbaik pencapaian SPM tahun berkenaan.


Monday, July 11, 2011

Bukit Bunuh, Lenggong

Masih di daerah Lenggong dan tak jauh dari Gua Gunung Runtuh. Bukit Bunuh turut merupakan tapak arkeologi penting dan zon ini turut termasuk dalam dossier ke pencalonan Tapak Warisan Dunia.



Batu-batu tersebut bukan batu biasa tetapi terbentuk kira-kira 40,000. Masyarakat pra-sejarah zaman Paleolitik turut dipercayai menghuni kawasan ini.





Friday, July 8, 2011

Lenggong : Perak Man



Kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Prof. Emeritus Dato' Zuraina Abdul Majid telah menemui rangka manusia yang paling lengkap di Asia Tenggara dan dipercayai 11,000 tahun yang lalu. Terletak di Gua Gunung Runtuh di daerah Lenggong negeri Perak, Izzo berkesempatan berkunjung di sana.



Dossier pencalonan untuk Tapak Warisan Dunia ini telah dikemukakan ke UNESCO namun pihak jawatankuasa teknikal UNESCO akan mengambil tindakan susulan sama ada tapak ini layak atau sebaliknya. Semoga Jawatankuasa Warisan Dunia mengiktiraf tapak ini dan seterusnya menjadikan Tapak Warisan Dunia.

Wednesday, February 16, 2011

The Guar Napai Reunion

Hari Keluarga Allahyarham Hj. Othman bin Hj. Don.
Guar Napai, Changloon, Kedah

Saban tahun, Arwah Tok Wan kerap mengadakan majlis kesyukuran dan bacaan Selawat memuji kebesaran Nabi Muhammad S.A.W sempena Maulidur Rasul dalam bulan Rabiulawal. Izzo tak terlepas menghadiri ketika pengajian di Sintok Kedah.





Tahun ini, sempena cuti panjang Tahun Baru Cina yang lalu, sempat diadakan Hari Keluarga dan juga sambutan Maulidur Rasul di Guar Napai.



Semoga Arwah Tok Wan dan Tok dirahmati Allah.

Wednesday, February 9, 2011

Bukit Kayu Hitam-Danok-Hatyai-Songkla-Sadao-Padang Besar

Buat kali kelima Izzo ke membuat lawatan ke tempat ini. Dahulunya menaiki bas, menaiki van sewa, menaiki keretapi tetapi kali ini memandu sendiri ke Thailand.

Caranya mudah, pertamanya kita perlu memiliki pasport atau pas sempadan kepada sesiapa yang dilahirkan di Perlis, Kedah, Perak atau Kelantan. Keduanya, geran Kenderaan sama ada yang asal atau salinan. Ketiganya, insurans kenderaan yang boleh diperolehi di mana-mana ejen di Changloon atau Bukit Kayu Hitam yang berharga sekitar RM10-20 berdasarkan jangka masa berada di Thailand dan keempat, pastikan pemilik kenderaan ada bersama dalam perjalanan tersebut. Ini bagi mengelakkan kenderaan yang dipandu tersebut adalah kenderaan curi untuk diperdagangkan di Thailand.

Walaupun ayahanda dan bonda dilahirkan di Kedah, namun mereka memiliki pasport dan wajarlah untuk terus dicopkan pasport tersebut tanpa perlu membuat pas sempadan.
Pemandu dinasihatkan agar untuk mengisi penuh petrol di Malaysia kerana harga RON95 di Thailand adalah hampir 36Baht atau RM3.80 untuk satu liter berbanding di Malaysia hanya RM1.90 satu liter. Berganda harganya kerana harga bahan api RON95 di Thailand adalah berdasarkan pasaran semasa dan tidak diberi subsidi oleh Kerajaan Thailand. Namun, tak banyak pilihan stesen minyak di sekitar Changloon dan Bukit Kayu Hitam. Stesen minyak Petronas sedang dibaiki dan Izzo memasuki Thailand dengan minyak separuh tangki.
Prosesnya mudah sahaja untuk keluar dari Malaysia, kerana melalui 2 kawalan iaitu imigresen dan polis. Memasuki Pos kawalan sempadan di Danok, Thailand agak rumit namun disebabkan ayahanda dalam kategori OKU, keistimewaan turut diberikan. Semua perlu turun kecuali ayahanda untuk kawalan pasport. Kemudian pendaftaran kastam untuk kenderaan. Kami tidak perlu melalui kawalan lorong kastam untuk pemeriksaan kerana tiada apa barang untuk diperiksa sedangkan pemandu yang lain membuka ruang letak barang di kenderaan masing-masing untuk diperiksa.


Izzo meneruskan pemanduan ke Hatyai kira-kira 40 minit dari Danok. Ini merupakan pengalaman pertama memandu di Thailand. Lebuhraya 4 lorong adalah percuma tanpa sebarang tol namun pemandu terpaksa berkongsi dengan anjing, kuda, gajah, motorsikal yang bertentangan laluan serta pejalan kaki yang melintasi lebuhraya. Itu tidak termasuk dengan lori yang membawa barang-barang lebih muatan dan memandu sesuka hati dengan perlahan di lorong laju. Itu semua keunikan lebuhraya di Thailand tapi percuma.


Haytai memang ramai pengunjung dari Malaysia. Tambahan lagi cuti panjang. Maka berduyun-duyun rombongan makcik-makcik ke Thailand untuk membeli-belah. Disebabkan Hatyai kurang mesra OKU, ayahanda hanya berada di lobi hotel dan mengurus kaki sepuas hatinya. Kami bertiga meredah kepanasan bumi Selatan Thailand sambil menjinjing plastik. Banyak tempat yang dilalui untuk membeli belah ini termasuk bahan makan. Ada beberapa peniaga mampu berbahasa Melayu dengan baik. Ada yang hanya menunjukkan harga di kalkulator sahaja.
Walaupun ada beberapa barang yang diperlukan tiada di jual di Hatyai namun kami akan ke sempadan Malaysia untuk memperolehinya ketika pulang kelak.


Lantas diteruskan perjalanan ke Songkla yang memakan masa kira-kira 30 minit dari Hatyai dan menikmati angin Laut China Selatan di Pantai Samila dan Chalatat. Yang terkenal di sini adalah Patung Ikan Duyung yang mempunyai mitos pernah terdampar situ. Termasuk juga kucing yang ditakutkan oleh tikus seumpama cerita kartun Tom and Jerry. Lagenda dongeng naga yang yang terpisah kepala badan dan ekornya turut dilihat walaupun hanya patung sahaja.


Perjalanan balik semula ke Hatyai melalui lebuhraya lain dan Izzo terpaksa mengisi petrol di Thailand. Maaf, tiada Petronas di wilayah Songkla ini. WRQ 2000 terpaksa disi dengan minyak Siam.

Balik semula ke Malaysia, Izzo memilih untuk ke Padang Besar, Perlis melalui pekan Sadao. Thailand juga mempunyai Bandar yang bernama Padang Besar yang turut bersempadan dengan Malaysia. Kali ini, kawalan di Malaysia pula lebih ketat kerana melalui Imigresen, pemeriksaan kastam, kawalan kuarantin dan juga Polis dan JPJ serta Unit Pencegah Penyeludupan beberapa kilometer selepas sempadan. Banyak sungguh kawalan namun hakikatnya masih banyak yang terlepas dan dibawa masuk ke sini.

Monday, February 7, 2011

Fenomena Rojak Tonggek di Pulau Pinang

Acap kali kita dengar Nasi Kandar Line Clear, Nasi Kandar Beratoq, Char Kuew Tiaw, Mee Udang Telok Kumbar, Popiah Komtar, dan sebagainya makanan sedemikian yang masyur sejak turun temurun di Pulau Pinang. Tapi kali ini, makanan ini tak kurang popularnya dan dinamakan ROJAK TONGGEK.

Lokasinya ada dua iaitu di Pantai Road, berhadapan Penang Port dan satu lagi di hadapan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam. Tapi, Izzo berkesempatan menikmati Rojak Tonggek di Pantai Road. Melalui Butterworth Outer Ring Road (BORR) dan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Pantai.
Kenapa dikatakan Rojak Tonggek?

Memang kena tonggek pun jika nak makan. Seumpama satay yang dicicah dengan kuah dan makan berdiri. Jika tak tonggek, maka kebarangkalian besar kuah tu akan meleleh pada baju anda.

Pelbagai jenis rojak yang dijual dan berharga 60 sen setiap cucuk. 2 jenis kuah iaitu pedas atau kurang pedas. Untuk menikmati rojak tonggek ni, pelanggan akan rasa sedikit tercabar kerana kuah yang disediakan secara lambak dan semua pelanggan berkongsi kuah yang sama. Namun semua pelanggan memahami kerana tak boleh mencicah rojak ke kuah untuk kali kedua.

Ada juga pilihan sama ada untuk membungkus rojak tersebut bersama kuahnya, tetapi keterujaan untuk beraksi tonggek sambil menikmati rojak bersama kuahnya, kurang terasa. Inilah keunikan makanan yang dinamakan Rojak Tonggek.


Bagi Izzo, rasanya biasa saja tapi yang terujanya ada menonggek ketika menikmati rojak ini.

Thursday, January 27, 2011

L.E.D.A.N.G

Aktiviti bermula selepas jam 12 tengah malam di Putrajaya sebaik sahaja bulan purnama Muharam tergelincir ke arah barat. Dua kenderaan pacuan 4 roda menuju ke Sagil sambil berehat di Seremban. Bayangkan sekitar jam 1 pagi, suasana di R&R berkenaan penuh dengan pengguna lebuhraya yang barangkali menuju ke arah plaza tol yang sama dengan kami iaitu di Tangkak.


Terlupa pula, hari berkenaan merupakan penamaan calon untuk Dewan Undangan Negeri Johor, N5 Tenang. Maka penyokong kedua-dua parti terutamanya parti “hijau” membawa penyokon dari pelusuk Semenanjung untuk berkumpul di Tenang. Tiba di Plaza Tol Tangkak sekitar jam 2.30 pagi, suasana masih dipenuhi kenderaan menuju ke Tenang. Kami tiba di Pekan Sagil yang terletak di daerah Ledang, Johor dan disambut renjer sekitar jam 3 pagi.


Mengambil keputusan untuk menginap di kediaman renjer berkenaan segalanya “alah bias tegal biasa”. Kisah cicak di siling hanya mainan kecil untuk melelapkan mata terutamanya untuk tidur di tempat baru.
Jam 7 pagi, sebaik sahaja selesai sarapan, kami menuju ke Taman Lagenda, Taman Negara Ledang. Selesai membuka khemah dan taklimat berkenaan Gunung Ledang, pendakian bermula tepat jam 9 pagi.


Dengan semangat yang membara untuk menakluk Ledang, kami terpaksa menaiki lebih 600 anak tangga untuk menuju ke Bukit Semput, di check point pertama. Sesuai dengan namanya Bukit Semput kerana hampir semua pendaki berasa semput selepas dikejutkan untuk menaiki anak tangga berkenaan. Setelah semput berakhir, check point kedua dan ketiga kami yang dinamakan Batu Orkid turut diredah.


Pendakian ke puncak ini seperti beralun dan tidak hanya mendaki secara keseluruhan. Ada kalanya naik dan ada kalanya menurun. Menurut teori pendakian dalam kumpulan, “kelajuan kumpulan berkenaan adalah berdasarkan anggota yang paling perlahan”. Semua anggota kumpulan kami nampaknya sudah biasa dengan aktiviti pendakian dan tidak Nampak untuk mengalah.

Tiba di check point 5 iaitu di Sungai Tiga Segi, kami rehat agak lama dan waktu untuk makan. Di sini juga pernah menjadi tapak perkhemahan namun tidak lagi dibenarkan bermalam di kawasan tersebut. Ketika ini juga kumpulan kami masing-masing berkongsi makanan bersama kumpulan pendaki yang lain yang turut dianggotai 6 pendaki bersama seorang renjer. Rata-ratanya bekas pelajar MCKK

Rehat di Sg. Segi Tiga

Jam 1, kami bergerak melalui laluan K.F.C yang mencanak. Kesan dan akibat apabila berehat terlalu lama, perasaan tercungap-cungap kembali untuk mendaki bukit yang menemukan lutut dengan dagu. Sambil mengira ketinggian gunung berdasarkan batu aras yang tersedia, perasaan teruja makin bergelora kerana puncak semakin dekat.

Gua kambing, Batu Hampar, Laluan Bonsai dan Bukit Botak kami lalui. Suhu dingin mula terasa dan sekaligus mengurangkan haus. Amat selesa mendaki dalam suasana sedemikian. Persinggahan terakhir sebelum ke puncak, kami mengisi air di laluan Majapahit, dan rehat seketika. Namun rehat tidak begitu lama kerana keterujaan menuju puncak semakin membuak-buak.

Gua Kambing


Bonsai di Laluan Bonsai

Tiba Puncak Ledang setinggi 1276 meter pada jam 3.40 petang. Walaupun cuaca berkabus dilitupi awan namun pemandangan 360 darjah melihat alam sekeliling jelas kelihatan. Puas bergambar dan rehat serta ada yang terlelap. Perancangan awalnya untuk melihat matahari terbenam, namun cuaca tak mengizinkan dan kami mulai turun jam 5.45 petang.



Turun di laluan yang berbeza, kami melalui pohon-pohon bonsai yang begitu redup sambil keadaan sekeliling mulai gelap di remang senja. Memang betul, teori pendakian, “naik gunung rasa penat, turun gunung rasa sakit”. Sakit di bahagian paha dan betis mula terasa. Petua untuk tidak mahu sakit adalah berlari ketika menuruni gunung. Teori ini terbukti kerana pengalaman penulis ketika beliau berlari apabila menuruni Gunung Kinabalu. Langsung tiada rasa sakit pada kaki. Menuruni gunung pada waktu malam, kami bersedia dengan lampu suluh. Perjalanan malam mengasyikkan cuma betis dan paha terasa sakit. Akhirnya tiba di tapak perkhemahan jam 9 malam. Genap 12 jam ekspedisi menakluk Gunung Ledang pada kali ini.


Kisahnya belum tamat kerana ada cerita lain yang mengakibatkan kami menginap lagi di rumah renjer pada malam tersebut walaupun khemah telah didirikan. Tidak sanggup untuk tidur bersama reptilia hitam yang berbisa di kawasan khemah.

Keesokannya, tidak lengkap jika kami tidak ke Air Terjun Gunung Ledang. Nikmat kesejukan air mulai terasa dan dinikmati hingga puas. Berdasarkan lagenda, disitulah letaknya Kolam Puteri Gunung Ledang yang pernah bersiram.

Air Terjun Gunung Ledang

Terima kasih kepada Moi yang menjadi renjer kami di Ledang.