Pandangan setiap orang mungkin berbeza. Ada yang memilih untuk aktiviti membeli-belah, pengembaraan, minat terhadap sejarah dan ada juga yang menyukai aktiviti santai dan rehat. 7 tempat yang dinyatakan ini perlu dijejakkan kaki dan anda boleh menceritakan keindahannya yang tersendiri betapa indahnya bumi bertuah bernama Malaysia. Hanya satu sahaja lagi yang Izzo belum sampai. Bila agaknya?
7. Bandar Hilir, Melaka 
Cukup sinonim dengan rombongan makcik-makcik atau Lawatan Sambil Belajar yang dianjurkan oleh sekolah mahupun lawatan persendirian, Bandar Hilir menerangkan sejarah dapat mengajar kita menjadi dewasa. Bermula dari terkenalnya Melaka sebagai pusat perdagangan rempah dunia, epik Laksamana Hang Tuah, zaman penaklukan Portugis dan Belanda dan seterusnya di saat negara mengecapi kemerdekaan. Di sinilah tempat yang boleh menceritakan kebangkitan semangat bangsa dan negara. Sesuai juga dengan temanya, Melawat Melaka Bandaraya Bersejarah bererti Melawat Malaysia.
6. Pusat Pemuliharaan Orang Utan, Sepilok
Tempat ini bukannya zoo sebagaimana tempat-tempat lain. Habitat Orang Utan adalah di dalam hutan dan ia dikategorikan sebagai haiwan liar bukannya haiwan peliharaan walaupun 96% mempunyai ciri-ciri genetik sama seperti manusia. Tempat ini melatih Orang Utan untuk berdikari di dalam hutan. Terletak berhampiran Sandakan, Sabah dan mudah untuk dikunjungi.
5. Taman Negara, Pahang

Taman Negara Pahang disenaraikan sebagai tempat yang tercantik di Malaysia dan 20 tapak yang perlu dilawati di dunia oleh sebuah majalah pelancongan di Belanda. Dengan mempunyai aset yang tidak ternilai harganya iaitu Hutan Khatilistiwa yang tertua di dunia, Gunung Tahan setinggi 2187 meter turut terdapt di Taman Negara Pahang. Kaya dengan khazanah spesis flora dan fauna serta air terjun yang cukup cantik terdapat di sini.
4. Gunung Kinabalu

Berdaftar sebagai Tapak Warisan Dunia pertaman di Malaysia oleh UNESCO, Gunung Kinabalu setinggi 4095.2 meter tidak perlu diperkenalkan lagi. Kalau ada peluang, Izzo berkeinginan untuk mendaki lagi gunung yang terkenal ini tetapi dari laluan yang berbeza iaitu Mesilau. Apabila berada di puncak, perasaan dan kepuasan anda menceritakan segala-galanya.
3. Mulu
Tapak Warisan Dunia kedua di Malaysia. Jika dari udara, Mulu kelihatan seperti batu permata yang bersinar kerana pantulan batu kapur yang berbentuk tajam. Gugusan gua terbesar di dunia ini menggambarkan betapa kerdilnya kita.

2. Sipadan-Mabul-Kapalai

Perkataan yang biasa disebut oleh pengunjung adalah “cantik, lawa, beautiful, marvellous ataupun kirei” atau dengan ayat-ayat lain seperti “Ya Allah ataupun Oh My God!”. Jernihnya air, cantiknya batu karang dan harmoninya hidupan laut melengkapkan kehebatan tempat ini. Di klasifikasikan antara tempat menyelam terbaik dan tercantik di dunia.
1. Menara Berkembar Petronas @ KLCC
Terkenal di seluruh dunia dan mercu tanda kejayaan industri pembinaan di Malaysia. Izzo tak jemu memandang struktur binaannya setiap kali melalui kawasan berhampiran tak kira siang atau malam. Sememangnya dalam tempoh 50, 100 atau 200 tahun lagi, menara ini masih kekal sebagai menara yang hebat dan berada di kelasnya yang tersendiri. Bertuah dan indahnya Malaysia ini.
