Friday, February 25, 2011

Malaysia 2 Pakistan 0





Mungkin sekadar kebetulan
Dalam tempoh terdekat ini, Izzo menyaksikan 4 perlawanan bolasepak yang melibatkan Malaysia.
Malaysia vs Vietnam, Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia menang 2-0 dan tiket berharga (RM20)
Malaysia vs Indonesia, Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia menang 3-0 dan tiket berharga (RM30)
Malaysia vs Hong Kong, Stadium Shah Alam, Malaysia menang 2-0 dan tiket berharga (RM20)
Malaysia vs Pakistan, Stadium Shah Alam, Malaysia menang 2-0 dan tiket berharga (RM20)
Ini menunjukkan harga tiket menunjukkan jumlah jaringan Malaysia agaknya. Harap-harap teori ini berterusan dan Malaysia mengekalkan momentum terbaik untuk setiap perlawanan.

Wednesday, February 16, 2011

The Guar Napai Reunion

Hari Keluarga Allahyarham Hj. Othman bin Hj. Don.
Guar Napai, Changloon, Kedah

Saban tahun, Arwah Tok Wan kerap mengadakan majlis kesyukuran dan bacaan Selawat memuji kebesaran Nabi Muhammad S.A.W sempena Maulidur Rasul dalam bulan Rabiulawal. Izzo tak terlepas menghadiri ketika pengajian di Sintok Kedah.





Tahun ini, sempena cuti panjang Tahun Baru Cina yang lalu, sempat diadakan Hari Keluarga dan juga sambutan Maulidur Rasul di Guar Napai.



Semoga Arwah Tok Wan dan Tok dirahmati Allah.

Thursday, February 10, 2011

Adegan kunci rumah

9 Februari 2011, 6.15 petang.
Rancangan awal Izzo bersama 2 rakan sekerja (S dan E) berhasrat untuk ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan bolasepak persahabatan di antara Malaysia menentang Hong Kong. Namun seorang sahabat, E tidak sihat dan memutuskan untuk tidak ikut serta ke stadium pada malam berkenaan. hanya tinggal Izzo dan S sahaja yang menonton perlawanan pertama untuk Malaysia pada tahun 2011.

Seorang lagi rakan sekerja lain (R) yang turut merupakan rakan serumah kepada sahabat yang tidak sihat berkenaan iaitu Z perlu mengambil kereta beliau di bengkel sebelum setelah di servis kira-kira 30 minit dari pejabat. Beliau pada awalnya memohon S menemaninya untuk mengambil kereta. Namun, dengan mengambil kira kesesakan, waktu pergi balik, perut yang belum di isi dan perlu menukar pakaian pejabat ke pakaian yang sesuai untuk ke stadium, S atas desakan Izzo terpaksa menolak permohonan R untuk menemaninya mengambil kereta. Justeru, R terpaksa memohon E dalam keadaan kurang sihat untuk menemaninya mengambil kereta yang hampir menyerupai seekor dugong.

Memandangkan, Izzo dan S perlu menukar pakaian, dan rumah E dan R yang selontar batu jauhnya dengan pejabat kami bekerja, maka dengan penuh kepercayaan E menyerahkan segala kunci rumah kepada Izzo supaya kedua-dua mereka dapat membersihkan diri menukar pakaian demi menyokong pasukan Harimau Malaya.

Selepas S mengalas perutnya yang lapar akibat seharian memerah keringat membanting tulang bekerja, dengan tidak menoleh belakang menuju ke destinasi seterusnya iaitu rumah E dan R dengan kereta masing-masing walaupun menyedari saranan kerajaan adalah untuk berkongsi kenderaan demi menyelamatkan alam sekitar.

Izzo tiba lebih hanya kira-kira 1 minit awal di rumah (apartment) milik bersama E dan R dan dengan tanpa rasa segan silu serta aras keyakinan yang tinggi menekan butang lif menuju ke aras 15. Apabila sampai di sana, Izzo terus menuju dan membuka grill dan kemudiannya mangga namun tidak berjaya setelah berkali-kali mencuba. Beberapa minit kemudian S menghubungi lokasi Izzo dan turut beranggapan mengapakah Izzo terus mengunci pintu. Pada masa yang sama Izzo berusaha membuka mangga tersebut tetapi keadaan semakin malang apabila kunci terlekat di mangga.

Ketika S menghubungi, Izzo dengan penuh yakin memaklumkan kepada S bahawa dia berada betul-betul di hadapan rumah E dan R. S juga memaklumkan perkara yang sama. Justeru kedua-dua mereka telah merasa keliru keadaan lokasi masing-masing pada ketika itu. Adakah salah seorang berada di alam yang lain????

Selang beberapa ketika , barulah Izzo menyedari bahawa dia telah tersilap aras dan berasa sungguh cuak kerana kunci telah melekat dengan mangga. Lantas dan tuntas memanggil S yang berada di lokasi sebenar iaitu aras 13 untuk naik ke atas demi menyelamatkan keadaan yang semakin kritikal di atas sana. S yang sememangnya sentiasa "blur" dengan dirinya terus menuju ke aras 15 untuk melihat situasi sebenar. Izzo barumenyedari terdapat sepasang sandal milik seorang wanita di luar pintu dan Izzo tersilap rumah rupanya. Tetapi anak kunci terletak pada mangga.

Selepas melihat keadaan ketika itu, Izzo dan S berpendapat untuk melaksanakan pelbagai kaedah untuk mengeluarkan kunci yang tersekat di mangga sehingga peralatan-peralatan mandi di dalam beg dikeluarkan. Antara peralatan-peralatannya ialah syampu yang boleh juga dianggap sebagai pelincir turut digunakan agar melincirkan gelongsor-gelongsor anak kunci dan mangga tersebut.

Semasa aktiviti mengeluarkan kunci giat dilaksanakan, R telah membuat panggilan telefon kepada Izzo sewaktu R dan E telah selamat kembali dari mengambil keretanya dan sedang bersedia untuk menikmati hidangan makan malam bagi mengetahui status terkini rumah mereka. Namun, jawapan yang diterima cukup memeranjatkan dari Izzo apabila satu masalah besar telah menimpa mereka.

Dengan rasa kebertanggungjawaban, R terus meninggalkan E keseorangan serta makanan kegemarannya demi menyelamatkan keadaan. Sampai dilokasi Izzo mencadangkan penggunaan "playar" dan minyak masak diambil dari rumah R sebagai peralatan tersebut.

Setelah beberapa kali percubaan dilakukan menggunakan playar, namun ia masih gagal dan R dengan rasa hampa terus mencadangkan agar tinggalkan sahaja masalah itu kepada tuan rumah dan biarkan dia menyelesaikan masalah supaya tuan rumah dapat berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah kehidupan harian. Pelbagai andaian timbul antara kami mungkin dianggap penceroboh ke rumah terbabit. Namun Izzo tidak sanggup kerana beranggapan tuan rumah itu merupakan seorang anak dara sunti dan masih bergetah.

Apa kaedah untuk menyelamatkan keadaan, perlukah grill rumah tersebut di buka, memanggil tukang kunci untuk menyelesaikannya atau menggergaji mangga berkenaan. Itu di antara kaedah alternatif untuk menyelesaikannya.

Usaha-usaha mengeluarkan kunci masih giat dilakukan dan dengan bacaan Bismillah dan memohon keredhan Yang Maha Esa. Anak kunci tersebut dapat dikeluarkan dengan hanya tarikan yang perlahan dari Izzo. Dengan serta-merta terpancar keceriaan ketiga-tiga jejaka iaitu Izzo, S dan R. Justeru, dengan pantas kilat R membawa Izzo dan S untuk turun dari tangga supaya jejak-jejak kami tidak dapat dikesan. Sebelum itu, S yang selalu menonton siri CSI telah mengambil langkah yang sungguh bijak dengan di mana mangga rumah tersebut dilap menggunakan baju yang dipakai demi menghilangkan segala kesan-kesan dan cap jari yang ditinggalkan. Syabas kepada S, kerana berani mempertaruhkan baju korporat yang dipakainya.
Izzo dan S sempat mandi di rumah R dan terus menuju ke Stadium Shah Alam.

Pengajaran; ????

Malaysia 2 Hong Kong 0

Rabu, 09 Februari 2011, 8.45pm
Stadium Shah Alam, Selangor

The Ultra MalayaAfter 1st half

After 2nd goal


full time

Wednesday, February 9, 2011

Bukit Kayu Hitam-Danok-Hatyai-Songkla-Sadao-Padang Besar

Buat kali kelima Izzo ke membuat lawatan ke tempat ini. Dahulunya menaiki bas, menaiki van sewa, menaiki keretapi tetapi kali ini memandu sendiri ke Thailand.

Caranya mudah, pertamanya kita perlu memiliki pasport atau pas sempadan kepada sesiapa yang dilahirkan di Perlis, Kedah, Perak atau Kelantan. Keduanya, geran Kenderaan sama ada yang asal atau salinan. Ketiganya, insurans kenderaan yang boleh diperolehi di mana-mana ejen di Changloon atau Bukit Kayu Hitam yang berharga sekitar RM10-20 berdasarkan jangka masa berada di Thailand dan keempat, pastikan pemilik kenderaan ada bersama dalam perjalanan tersebut. Ini bagi mengelakkan kenderaan yang dipandu tersebut adalah kenderaan curi untuk diperdagangkan di Thailand.

Walaupun ayahanda dan bonda dilahirkan di Kedah, namun mereka memiliki pasport dan wajarlah untuk terus dicopkan pasport tersebut tanpa perlu membuat pas sempadan.
Pemandu dinasihatkan agar untuk mengisi penuh petrol di Malaysia kerana harga RON95 di Thailand adalah hampir 36Baht atau RM3.80 untuk satu liter berbanding di Malaysia hanya RM1.90 satu liter. Berganda harganya kerana harga bahan api RON95 di Thailand adalah berdasarkan pasaran semasa dan tidak diberi subsidi oleh Kerajaan Thailand. Namun, tak banyak pilihan stesen minyak di sekitar Changloon dan Bukit Kayu Hitam. Stesen minyak Petronas sedang dibaiki dan Izzo memasuki Thailand dengan minyak separuh tangki.
Prosesnya mudah sahaja untuk keluar dari Malaysia, kerana melalui 2 kawalan iaitu imigresen dan polis. Memasuki Pos kawalan sempadan di Danok, Thailand agak rumit namun disebabkan ayahanda dalam kategori OKU, keistimewaan turut diberikan. Semua perlu turun kecuali ayahanda untuk kawalan pasport. Kemudian pendaftaran kastam untuk kenderaan. Kami tidak perlu melalui kawalan lorong kastam untuk pemeriksaan kerana tiada apa barang untuk diperiksa sedangkan pemandu yang lain membuka ruang letak barang di kenderaan masing-masing untuk diperiksa.


Izzo meneruskan pemanduan ke Hatyai kira-kira 40 minit dari Danok. Ini merupakan pengalaman pertama memandu di Thailand. Lebuhraya 4 lorong adalah percuma tanpa sebarang tol namun pemandu terpaksa berkongsi dengan anjing, kuda, gajah, motorsikal yang bertentangan laluan serta pejalan kaki yang melintasi lebuhraya. Itu tidak termasuk dengan lori yang membawa barang-barang lebih muatan dan memandu sesuka hati dengan perlahan di lorong laju. Itu semua keunikan lebuhraya di Thailand tapi percuma.


Haytai memang ramai pengunjung dari Malaysia. Tambahan lagi cuti panjang. Maka berduyun-duyun rombongan makcik-makcik ke Thailand untuk membeli-belah. Disebabkan Hatyai kurang mesra OKU, ayahanda hanya berada di lobi hotel dan mengurus kaki sepuas hatinya. Kami bertiga meredah kepanasan bumi Selatan Thailand sambil menjinjing plastik. Banyak tempat yang dilalui untuk membeli belah ini termasuk bahan makan. Ada beberapa peniaga mampu berbahasa Melayu dengan baik. Ada yang hanya menunjukkan harga di kalkulator sahaja.
Walaupun ada beberapa barang yang diperlukan tiada di jual di Hatyai namun kami akan ke sempadan Malaysia untuk memperolehinya ketika pulang kelak.


Lantas diteruskan perjalanan ke Songkla yang memakan masa kira-kira 30 minit dari Hatyai dan menikmati angin Laut China Selatan di Pantai Samila dan Chalatat. Yang terkenal di sini adalah Patung Ikan Duyung yang mempunyai mitos pernah terdampar situ. Termasuk juga kucing yang ditakutkan oleh tikus seumpama cerita kartun Tom and Jerry. Lagenda dongeng naga yang yang terpisah kepala badan dan ekornya turut dilihat walaupun hanya patung sahaja.


Perjalanan balik semula ke Hatyai melalui lebuhraya lain dan Izzo terpaksa mengisi petrol di Thailand. Maaf, tiada Petronas di wilayah Songkla ini. WRQ 2000 terpaksa disi dengan minyak Siam.

Balik semula ke Malaysia, Izzo memilih untuk ke Padang Besar, Perlis melalui pekan Sadao. Thailand juga mempunyai Bandar yang bernama Padang Besar yang turut bersempadan dengan Malaysia. Kali ini, kawalan di Malaysia pula lebih ketat kerana melalui Imigresen, pemeriksaan kastam, kawalan kuarantin dan juga Polis dan JPJ serta Unit Pencegah Penyeludupan beberapa kilometer selepas sempadan. Banyak sungguh kawalan namun hakikatnya masih banyak yang terlepas dan dibawa masuk ke sini.

Monday, February 7, 2011

Fenomena Rojak Tonggek di Pulau Pinang

Acap kali kita dengar Nasi Kandar Line Clear, Nasi Kandar Beratoq, Char Kuew Tiaw, Mee Udang Telok Kumbar, Popiah Komtar, dan sebagainya makanan sedemikian yang masyur sejak turun temurun di Pulau Pinang. Tapi kali ini, makanan ini tak kurang popularnya dan dinamakan ROJAK TONGGEK.

Lokasinya ada dua iaitu di Pantai Road, berhadapan Penang Port dan satu lagi di hadapan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam. Tapi, Izzo berkesempatan menikmati Rojak Tonggek di Pantai Road. Melalui Butterworth Outer Ring Road (BORR) dan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Pantai.
Kenapa dikatakan Rojak Tonggek?

Memang kena tonggek pun jika nak makan. Seumpama satay yang dicicah dengan kuah dan makan berdiri. Jika tak tonggek, maka kebarangkalian besar kuah tu akan meleleh pada baju anda.

Pelbagai jenis rojak yang dijual dan berharga 60 sen setiap cucuk. 2 jenis kuah iaitu pedas atau kurang pedas. Untuk menikmati rojak tonggek ni, pelanggan akan rasa sedikit tercabar kerana kuah yang disediakan secara lambak dan semua pelanggan berkongsi kuah yang sama. Namun semua pelanggan memahami kerana tak boleh mencicah rojak ke kuah untuk kali kedua.

Ada juga pilihan sama ada untuk membungkus rojak tersebut bersama kuahnya, tetapi keterujaan untuk beraksi tonggek sambil menikmati rojak bersama kuahnya, kurang terasa. Inilah keunikan makanan yang dinamakan Rojak Tonggek.


Bagi Izzo, rasanya biasa saja tapi yang terujanya ada menonggek ketika menikmati rojak ini.