Ekspedisi ke "Sabah's Lost World" atau Lembangan Maliau/ Maliau Basin pada 28 April hingga 2 Mei 2007 ini disertai oleh 15 anggota pada asalnya tetapi hanya 13 anggota sahaja yang mengikuti hingga akhir kerana 2 yang lain terpaksa pulang ke Kota Kinabalu pada hari kedua. Ekspedisi ini sebenarnya merupakan aktiviti rasmi di pejabat tempat Izzo bertugas pada ketika itu dan bukannya kembara untuk berseronok semata-mata kerana setiap peserta yang mengikuti mempunyai tugas khusus masing-masing tentang bidang kerja di pejabat.
15 peserta asal ke Maliau Basin
Izzo bertuah kerana dapat mengikuti ekspedisi ini selama 5 hari pada ketika itu. Tambahan lagi tidak semua pengembara bebas dapat memasuki kawasan Maliau Basin untuk ekspedisi kerana kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Konservasi oleh Kerajaan Negeri Sabah ini hanya terhad untuk program penyelidikan. Sesiapa yang ingin memasuki Maliau Basin ini perlu mendapat kebenaran dan persetujuan khas dari Yayasan Sabah dan memandangkan pejabat di mana Izzo bertugas pada ketika ini adalah untuk membuat kajian dan penyelidikan program pembangunan bagi Kerajaan Negeri Sabah, maka kelulusan adalah diberikan.
Perjalanan pada hari pertama bermula dari Kota Kinabalu seawal jam 7 menuju ke Sapulut di Daerah Nabawan melalui bandar Papar dan Keningau. Kumpulan kami seramai 15 anggota pada ketika itu, melawat projek Lebuhraya Sapulut-Kalabakan dan sehingga hingga hari ini masih dalam pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Selepas makan tengah hari, kami mula memasuki Kawasan Konservasi Maliau Basin dan melalui jalan batu kerikil selama 2 jam yang hanya dapat dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda. Sempat juga melalui Batu Punggul yang dikatakan mempunyai sejarahnya yang tersendiri di Bahagian Pedalaman, Sabah.
Batu Punggul, Sapulut
Tiba pintu masuk Maliau Basin, kami terpaksa melalui jalan lecah untuk ke tempat penginapan pertama itu di Pusat Penyelidikan Maliau Basin. Perjalanan kali ini lebih mencabar kerana pemandu kenderaan yang Izzo naiki iaitu Awang Besar serta pemandu lain termasuk Pengarah pejabat pada ketika itu agak kurang mahir mengendalikan kenderaan dengan perjalanan yang licin, lecah serta berselut. Walaupun tersangkut untuk beberapa ketika, kami dapat juga meneruskan tiba di pusat penyelidikan berkenaan sebelum matahari terbenam. Malamnya, sesi taklimat dan serta agihan tugas serta pembentangan laporan awal setiap anggota sebelum meneruskan pengembaraan dan penjelajahan sebenar di Maliau Basin.
Hari kedua cukup segar dengan alam sekeliling yang menghijau. Perjalanan dari pusat penyelidikan ke Kem Agathis sebelum kembara jalan kaki berhenti seketika di Menara Maliau serta Canopy Walkway setinggi 30 meter sepanjang hampir 350 meter. Di sini juga, 2 anggota terpaksa pulang ke Kota Kinabalu kerana tidak mampu dari segi keupayaan fizikal untuk berjalan kaki di Maliau Basin.
Hari ke-2 di Menara Maliau
Panjat tangga ke Canopy Walkway
Perjalanan bermula dari Kem Agathis ke Kem Camel Trophy yang memakan masa selama 4 jam secara purata atau 7km. Laluan pertama ini agak mencabar juga kerana memanjat beberapa tangga binaan tegak 90 darjah setinggi lebih 20 meter sebanyak beberapa kali. Sepanjang laluan ini juga, banyak sekali pacat yang meminati darah-darah baru seperti kami walaupun cuaca kering dan panas. Sepanjang perjalanan kali ini juga, di pecahkan kepada 3 sub-kumpulan serta mempunyai jurupandu serta renjer hutan masing-masing. Izzo berada di kumpulan A bersama ketua ekspedisi iaitu Dr. Mohd Fowzi pada ketika (Datuk Dr. Fowzi) serta 2 anggota yang lain iaitu Chee dan Angela. Kami tiba paling awal iaitu pada jam 2.45 petang dan kumpulan C tiba pada jam 4. Bermalam di Kem Camel Trophy sangat sejuk kerana berada di kawasan tanah tinggi. Kem ini diberi nama sedemikian kerana dibina oleh pasukan antarabangsa Camel Trophy yang menerokai Maliau Basin sebelum ini.
Serangan pacat
Tiba di Kem Camel Trophy
Perjalanan hari ketiga adalah menuju ke Air Terjun Takob Akob. Ini juga merupakan air terjun yang paling cantik yang Izzo pernah merasai kunjungi. Kami berpatah semula ke Kem Camel Trophy untuk mengambil peralatan untuk meneruskan perjalanan ke Kem Ginseng. Perjalanan ini juga melalui hutan lumut serta kawasan dipenuhi periuk kera pelbagai spesis yang tumbuh meliar. Tiba di Kem Ginseng pada jam 4 petang memang memenatkan kerana kami berjalan kaki sejauh 16km pada hari ketiga ini. Bermalam di Kem Ginseng berbeza dengan kem yang lain kerana kem ini terletak di antara 2 jeram di Sungai Kuamut.
Hari ke-3 di Kem Camel Trophy
Izzo di Air Terjun Takob Akob

Salah satu spesis periuk kera

Akar sintok yang berbentuk bulat
Perjalanan hari keempat pula diteruskan ke Air Terjun Maliau yang sinonim dengan Maliau Basin ini. Hari ini juga merupakan perjalanan paling panjang kerana melalui 19km. Kami mula berjalan kaki seawal 7 pagi selepas sarapan pagi dan tiba di Air Terjun Maliau pada 9.45 pagi. Hasrat untuk terjun dan mandi di jeram berkenaan tidak kesampaian kerana hujan turun pada malam sebelumnya dan menyebabkan arus deras. Selama 30 minit di Air Terjun Maliau, kami berpatah balik ke Kem Ginseng dan meneruskan perjalanan ke ke Kem Agathis, tempat di mana kami memulakan perjalanan pada hari kedua.

Pagi ke-4 di Kem Ginseng
Kami di Air Terjun Maliau
Perjalanan ke Kem Ginseng bermula pada jam 3 petang dengan melalui kawasan beralun, berbukit dan hujan lebat serta meredah kegelapan malam. Namun, kumpulan C yang agak perlahan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan dan bermalam sekali lagi di Kem Ginseng. Kumpulan A dan B tiba di Kem Agathis pada jam 7.45 malam.
Perjalanan malam ke Kem Ginseng
Hari terakhir, kami berasa puas kerana mengharungi perjalanan sejauh 42km tanpa sedari. Pagi berkenaan sepatutnya kami terus balik di Kota Kinabalu tetapi terpaksa menunggu Kumpulan C yang baru berhempas pulas memerah keringat untuk kembali ke Kem Agathis. Sepanjang menunggu dalam tempoh 5 jam berkenaan, pelbagai ilham yang muncul disebalik desiran irama hutan Maliau.
Penginapan kami di Kem Agathis

Menyinap kembali perjalanan
Sebaik Kumpulan C tiba, kami terus bergerak balik semula ke pintu masuk Maliau Basin dan sempat diadakan sesi tanaman pokok sebagai penghormatan kepada kami yang berjaya menakluki Maliau Basin. Pastinya Izzo akan ke sini lagi jika mempunyai peluang untuk melihat pokok berkenaan dan juga mengembara lagi Maliau Basin untuk kajian seterusnya.
Tanaman pokok
Perjalanan balik ke Kota Kinabalu turut berhadapan dengan cabaran yang sukar kerana sekali lagi terpaksa melalui kawasan berselut hingga kenderaan yang dinaiki tersangkut. Alhamdulillah, semuanya selamat dilalui dan kembali ke kehidupan asal di Kota Kinabalu. Selesai ekspedisi, kami menyaipkan laporan tugas masing-masing yang telah ditetapkan dengan lebih awal.

Tersangkut di selut