Thursday, November 27, 2008

40 jam sebelum insiden berdarah di Mumbai

24 November 2008

Tiba-tiba dunia di kejutkan dengan berita pengeboman di Mumbai, India.
Kota yang terbesar di India yang lebih dari 16 juta penghuni kota ini.
Tiada apa-apa tanda berlaku sebelum insiden yang menyebabkan lebih 100 mangsa yang terkorban.

Izzo terbang balik ke Kuala Lumpur pada 24 November 2008 jam 1155 malam waktu India dan tiba di KLIA jam 725 pagi waktu Malaysia dan pengeboman berlaku pada 26 November 2008 jam 5 petang waktu India.

Terbang dari Mumbai 24 November 2008

Cuma, yang Izzo sedar semua pengguna internet di kafe internet perlu mendaftarkan pengenalan diri terutamanya pelancong asing di semua tempat bagi tujuan keselamatan dan tujuan pengenalpastian penjenayah. Begitu juga dengan banyak kawalan keselamatan dan pemeriksaan beg yang tidak semengah untuk diperiksa kecuali di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shijavi, Mumbai.

Hadapan Hotel Taj Mahal, Mumbai

Apa-apa pun Izzo terselamat dari semua insiden tersebut dan terbang balik ke Kuala Lumpur 40 jam sebelum kejadian. Sebelum itu juga sempat rakamkan gambar di hadapan Hotel Taj Mahal, Mumbai di mana 6 warga asing terkorban dan seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang menginap di situ.
Syukur, Izzo terselamat.

Wednesday, November 26, 2008

Delhi-Agra (Bhopal Shipadi)

12 November 2008
#2002
ETD 0615
ETA 0810
ATD 0618
ATA 0812
AC Chair, Gerabak S1, Seat 33

Sejurus check out dari Hotel Anoop di Paharganj di Kota Delhi, Izzo hanya berjalan kaki ke stesen keretapi New Delhi yang hanya terletak kurang 500 meter dari hotel tersebut dengan mengambil masa kurang dari 5 minit. Keretapi ekspress waktu pagi ini sememangnya ramai penumpang dan pelancong yang menuju ke Agra. Ini juga merupakan perjalanan keretapi ke-4 dan paling mewah yang Izzo naiki sejak berada di India.

Bhopal Shipadi Ekspress ini hanya berhenti di satu stesen sahaja sebelum tiba di Agra. Yang paling menarik dalam perjalanan keretapi ini adalah ia dilengkapi dengan perkhidmatan tambahan seperti sarapan pagi dan bahan bacaan sepadan dengan harganya.

Allahabad-Delhi (Lal Quila Ekspress)

10-11 November 2008
#3111
ETD 10 Nov 1530
ETA 11 Nov 0400
ATD 10 Nov 1730
ATA 11 Nov 0400
AC3T, Gerabak B2, Katil 53
2 hari yang lalu, Izzo menaiki keretapi yang sama dari Kolkata dan hari ini Lal Quila Ekspress juga untuk ke Delhi. Walaupun terdapat lebih dari 15 keretapi sehari diantara Allahabad ke Delhi, secara kebetulan Tren yang sama juga dinaiki mungkin kerana kekurangan pilihan akibat ketiadaan tempat duduk.


Sepertimana juga perjalanan terdahulu yang lewat tiba, perkara yang sama juga pada berlaku iaitu tren lewat tiba dari Kolkata.

Menariknya kembara ini, sekali lagi Izzo menjadi tumpuan perhatian warga India yang lain untuk berbual sampai tak larat juga nak layan bercakap. Gelihati apabila ramai juga yang beranggapan Izzo berasal dari Jepun, Korean ataupun China sedangkan kulit ini seakan-akan warna dengan kulit warga India. Izzo sempat berkenalan dengan 4 warga India dalam perjalanan tersebut yang berasal dari Delhi dan melakukan tugas luar di Allahabad.


Walaupun menjangkakan tren ini akan tiba lewat di Delhi pada sekitar jam 6 pagi tetapi entah bagaimana lajunya tren ini, ia sampai tepat pada masanya dan Izzo dikejutkan sendiri oleh petugas keretapi. Nasib baik juga kerana Delhi merupakan destinasi terakhir, jika tidak mungkin Izzo tertinggal sedangkan penumpang lain telah lama keluar. Yang hairannya, mana pula kawan-kawan yang berbual bagai nak rak sebelum tidur tu?

Tiba di Old Delhi Railway Station dan Izzo terus mencari penginapan di Paharganj pagi tersebut juga.

24 Jam di Allahabad

9 & 10 Nov 2008

Tepat 24 jam Izzo berada di Allahabad. Transit di antara perjalanan ke Kolkata dan Delhi.
Kota ini dikenali sebagai Kota Allah dan diberi oleh komuniti Islam yang hidup secara minoriti di sini. Seperti yang sudah dijangkan, banyak cabaran ketika berada di bandar ini terutama dari segi budaya, persekitaran, serta bunyi hon kenderaan yang teramat bising.

Upacara penyucian diri di Sg. Yamuna

Boat man

Apa yang paling menarik dan menyebabkan Izzo singgah di bandar ini adalah kerana terdapat pertemuan di antara Sg. Yamuna dan Sg. Ganges (disebut Gangga) di Sangam kira-kira 5 km dari stesen keretapi. Dari segi mitos, tempat pertemuan sungai tersebut wujudnya Saraswati. Izzo teringat salah satu filem hindustan kira-kira 15 tahun dahulu bertajuk Ganges, Yamuna dan Saraswati serta filem epik Sangam.

Pertemuan Sg. Ganges dan Sg. Yamuna

Tanpa tujuan lain ke sini kecuali niat Izzo hanya untuk melawat, terdapat ribuan penganut hindu menyucikan diri mereka di tempat pertemuan 2 sungai yang ternama di India ini. Ada diantara mereka mengabdikan sepenuhnya dan bermastautin hanya menggunakan khemah sepanjang hayat di sini.


Bangau di Sg. Yamuna


Kebanyakkan pengembara suka melawat Varanasi dimana tempat penyucian diri terbesar di India tetapi Izzo memilih Allahabad kerana pertemuan sungai ini. Waktu yang paling ideal untuk melawat adalah pagi ketika matahari naik dan pada ketika itu kemuncak kepada upacara penyembahan selain waktu matahari terbenam.


Langkah Izzo diteruskan dengan melawat kota Allahabad. terus terang Izzo katakan, hanya biskut yang dipaket dan pisang sahaja yang mampu dimakan selama 24 jam berada di sini atas faktor persekitaran yang sangat tidak mengizinkan.

Kolkata-Allahabad (Lal Quila Ekspress)

8-9 November 2008
#3111
ETD 8 Nov 2010
ETA 9 Nov 1520
ATD 8 Nov 2010
ATA 9 Nov 1730
AC3T, Gerabak B2, Katil 62


Terdapat 4 stesen keretapi utama di Kolkata untuk perjalanan jauh dan Lal-Quila Ekspress berlepas dari Stesen Chitpur, Kolkata kira-kira 25 minit dari Sudder Street. Stesen ini jauh lebih kecil berbanding Howrah.


Perjalanan asal yang dijangkakan memakan masa 17 jam lewat selama 2 jam entah mengapa sebabnya dengan melalui 46 stesen termasuk stesen-stesen kecil di sepanjang perjalanan. Tren ini sebenarnya menuju ke Delhi dari Kolkata dan Izzo turun di pertengahan perjalanan. Memandangkan bulan November merupakan bulan cuti, ramai warga India membuat perjalanan dari bandar ke bandar lain sehinggakan menyebabkan agak sukar untuk mendapatkan tiket keretapi.


Kolkata yang terletak di negeri West Bengal manakala Allahabad di negeri Uttar Pradesh sejauh 1205km.


Sekali lagi pelbagai ragam, kehidupan dan warna-warna India di sepanjang perjalanan ini dengan menyaksikan tanaman jagung dan padi hampir keseluruhan perjalanan.

Thursday, November 20, 2008

2 hari di Kolkata

7-8 Nov 2008

Tiba di Kolkata awal pagi Jumaat di Stesen keretapi Howrah, Izzo terus ke Sudder Dtreet dengan menaiki teksi prabayar dengan harga Rs 110. Yesss Kolkata yang terkenal dengan lagu teksi satu ketika dulu menarik minat izzo untuk jalan-jalan di sekitar kota ketiga terbesar di India ini. Semua teksi di Koltaka berbeza dengan Mumbai kerana teksinya bewarna kuning dan jenama Ambassador.


Sudder Street yang terkenal di kalangan pengembara sememangnya tempat untuk bertukar pandangan, cerita dan pengalaman di kalangan pengembara luar di India.

Kolkata yang dianggarkan mempunyai penduduk seramai 8 juta ini terletak di negeri West Bengal. Kota ini turut menjadi tumpuan bagi warga Bangladesh, Nepal, Bhutan serta Tibet untuk transit dan bekerja serta menetap di sini. Tidak terkecuali mereka turut bercuti di Kolkata.


Rata-rata bangunan di sini adalah dibina dari zaman koloni dan di adun dengan British-Raj. Ia menempatkan bangunan kerajaan dari pentadbiran West Bengal.


Tidak sukar untuk mengembara di Kolkata kerana terdapat hampir semua jenis pengangkutan termasuk metro dan trickshaw iaitu beca yang ditarik dengan tenaga manusia. Sebut apa shaja jenis pengangkutan awam di sini, segalanya ada. Namun, Izzo lebih menyukai city tram yang beroperasi di tengah-tengah jalan dengan tambang sehala hanya Rs4. Inilah cara terbaik untuk mengelilingi kota Kolkata.

Bangunan-bangunan seperti Writers Building, Victoria Memorial dan Bangunan Pos antara mercu tanda kota ini.


Izzo tidak melepaskan peluang menyaksikan sesi latihan pasukan kriket kebangsaan India berlatih disini setiap petang.

Mumbai-Howrah Mail


5-7 Nov 2008
#2908
ETD 5 Nov 2035
ETA 7 Nov 0550
ATD 5 Nov 2035
ATA 7 Nov 0605
Sleeper Class, Gerabak S3, Katil 67

Perjalanan selama 34 jam ini yang memakan masa selama 2 malam dalam keretapi merupakan jarak yang paling jauh dan paling lama Izzo pernah naiki berbanding perjalanan dengan keretapi sebelum ini dari Ho Chi Minh ke Hanoi dengan 30 jam. Semestinya Izzo sangat teruja untuk menaiki keretapi di India yang selama ini hanya melihatnya di kaca TV, filem dan buku-buku pengembaraan sahaja.
Keretapi sememangnya medium pengangkutan utama di India. jaringan rel yang menyeluruh dan selalu tepat pada masanya di samping tambang yang murah menjadikan ia sebagai pilihan utama kepada lebih 1.1 bilion penduduk India.
Mumbai-Howrah mail dari Mumbai (CST) ke Kolkata (Howrah) mempunyai 38 gerabak dengan 4 kelas untuk pilihan penumpang. Ini juga antara laluan jarak jauh yang popular dan menjadikan antara perjalanan yang mempunyai gerabak paling banyak. Sememangnya sungguh panjang keretapi ini.
Setiap perjalanan dengan keretapi di India mempunyai rekod nama, jantina dan umur. Semua maklumat berkenaan ditampal di papan kenyataan sebelum keretapi bergerak.
Berlepas tepat pada waktunya, Izzo terus tidur sebaik sahaja berlepas dan tersedar apabila konduktor datang untuk pengesahan tiket entah jam berapa.


Apa yang Izzo buat sepanjang 34 jam dalam perjalanan?
Tidur
Berbual dengan penumpang lain
Membaca
Mengelamun
Bermain Terup
dan juga melihat permandangan India yang indah sepanjang perjalanan.
Inilah yang paling menarik kembara seorang diri sebab Izzo boleh buat apa sahaja yang disukai tanpa sebarang halangan.
Mumbai-Howrah Mail melalui sebanyak 38 stesen dengan purata berhenti selama 1 minit bagi stesen kecil dan 10 minit bagi stesen besar.

Permandangan awal pagi disajikan dengan ladang bunga matahari seluas mata memantang sebelum tiba di Nagpur. Nagpur juga merupakan bandar yang berada di tengah-tengah India. Pelbagai gelagat, ragam dan suasana yang terdapat sepanjang perjalanan ini.

Tidak dapat dinafikan, ramai penumpang lain memerhatikan orang asing termasuk Izzo. Secara kebetulan keluarga dari Dhaka Bangladesh yang turut serta dalam koc berkenaan. Memang ramai warga India di India mengagumi Malaysia. Harap-harap begitu juga di tanahair.



Walaupun tiba di Kolkata lewat 15 minit dari jadual, namun pengembaraan yang panjang ini cukup menyeronokkan.

MH 194

4 Nov 2008

MH 194 KUL BOM
ETD 2005 ETA 2240
ATD 2000 ATA 2206
No Pesawat : 9M-MRA
Pesawat : B777-200ER
Tempat duduk :23K
Load Factor : 90%
Pintu berlepas :C4
Penyelia Penerbangan : Patrick Theseira
Juruterbang : Kpt. Shaari


Apa yang menarik, penerbangan kali ini jauh lebih awal dari jadual dengan pengendalian oleh anak-anak kapal yang sangat cekap.


Kisah 9M-MRA, pesawat sulung B777-200ER milih MH ini pernah mencatat rekod penerbangan paling jauh tanpa henti di dunia iaitu dari Seattle ke Kuala Lumpur dan pesawat berkenaan juga merupakan antara pesawat pertama siri Boeing 777.

MH yang Melambangkan Hospitaliti atau Malaysian Hospitality sememangnya mempunyai anak-anak kapal bertaraf dunia dengan perkhidmatan 5 bintang.
Untuk kesekian kalinya, Izzo sempat menonton filem Ayat-Ayat Cinta buat kali ke-5 dalam penerbangan ini.


Sebaik sahaja tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shijavi, Mumbai dan seperti yang telah dijangkakan jauh berbeza dengan KLIA. Apa yang paling menarik ialah melihat semua nombor plat di Mumbai bermula dengan MH.

Pengendalian imigresen, bagasi dan kastam sangat cepat di Lapangan Terbang berkenaan dan Izzo keluar dari balai ketibaan pada jam 1030 malam waktu tempatan yang bezanya 2jam 30 minit lebih lewat dari waktu di tanah air. Waktu larut malam dan sememangnya wajtu tidur di Malaysia iaitu jam 1 pagi, Izzo mendapat seorang kawan dari Perancis yang terbang bersama dari Kuala Lumpur menaiki teksi menuju ke Mumbai pada malam tersebut.
Segala-galanya selamat pada hari pertama tiba di Mumbai untuk pengembaraan yang agak panjang kali ini.

Monday, November 3, 2008

Masjid Kristal, Kuala Terengganu

24 Oktober 2008
Terletak di Pulau Wan Man dan di kawasan Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu. Saiznya amat kecil dan sememangnya di antara masjid paling indah di Malaysia.

Jeti Merang

Entah di mana silapnya sama ada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Setiu, Tourism Malaysia atau Pelancongan Terengganu masih belum mengambil inisiatif untuk mengindahkan jeti ini. 3 tahun lalu, Izzo ke Pulau Redang dengan melalui jeti ini dan keadaan juga sama dan Oktober yang lalu, Izzo ke Pulau Lang Tengah juga melalui jeti ini dan keadaan bertambah teruk.


Jeti yang daif, uzur serta reput dan menanti rebah memang mengundang bahaya kepada penumpang bot dan pengunjung ke pulau-pulau indah di Terengganu. Ini diburukkan dengan sikap tidak bertanggung jawab masyarakat tempatan dan juga pengunjung yang masih belum memahami tanggungjawab menjaga alam sekitar dengan sampah yang cukup banyak disitu. Mungkin juga Majlis Daerah Setiu tidak ada peruntukkan untuk mengutip sampah di situ.



Jeti atau pintu masuk ke pulau-pulau seperti Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang ini semenangnya perlu di baiki dengan segera degan kemudahan yang lebih baik dengan kadar segera.

Lang Sari Resort, Pulau Lang Tengah

22-24 Oktober 2008
Hanya 3 daripada 4 resort yang beroperasi di Pulau Lang Tengah, Terengganu. Namun sepanjang musim tengkujuh yang bermula November hingga Februari, semua resort menutup operasi untuk aktiviti pelancongan.



Pulau pelancongan yang kecil dan terletak diantara Pulau Perhentian dan Pulau Redang ini tidak kurang hebat dek kerana kecantikan batu karang dan hidupan lautnya. Tanpa perlu menaiki mana-mana bot untuk aktiviti snorkelling dan menyelam kerana tapak snorkelling dan menyelam hanya di hadapan resort ini sahaja.


Dengan kemudahan yang ringkas dan berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan, Lang Sari Resort memang sesuai untuk sesiapa yang meminati pulau.

Izzo sempat berkayak dengan seorang rakan mengelilingi pulau kecil ini dengan masa kurang dari sejam tetapi agak bahaya kerana berhadapan dengan ombak besar di laut lepas. Sepanjang berkayak itu juga, banyak burung helang coklat dan putih yang singgah di pulau ini dan berkemungkinan terbang di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Mungkin disebabkan itu juga pulau ini disebut Pulau Lang Tengah.

Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah

21 Oktober 2008


Tempat ni mungkin dah ramai yang sampai dan tak jauh jaraknya dari KL. Memang seronok untuk dilawati bersama rakan-rakan dan juga keluarga. Banyak aktiviti dengan gajah termasuk memberi makan, menunggang dan mandi bersama gajah. Memandangkan aras air sungai yang tinggi pada hari tersebut, aktiviti mandi bersama gajah tidak dapat dijalankan kerana berbahaya kepada pengunjung.




Tidak terhad hanya kepada aktiviti bersama gajah sahaja, pengetahuan dalam bentuk video turut diberikan kepada pengunjung untuk lebih memahami habitat dan kehidupan semula jadi mamalia terbesar di daratan ini.


Dengan tanpa bayaran masuk sebabnya PERCUMA dan perjalanan yang kurang 2 jam dari Kuala Lumpur, mudah untuk dilawati ke Pusat Pemuliharaan Gajah, Kuala Gandah ini.