Mungkin ini sahaja filem Perancis yang dapat ditonton pada tahun ini melainkan pawagam di Malaysia membawa masuk filem antarabangsa yang lain selain dari Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Thailand mahupun Indonesia. Kali ini filem yang mempunyai genre biografi yang sempat ditonton walaupun pada asalnya niat ke GCS Pavilion adalah untuk menonton filem Saint CYR.Filem berdasarkan kisah benar yang bermula sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama iaitu pada tahun 1914 hingga 1938 menceritakan seorang pembantu rumah yang mempunyai bakat dalam seni lukis. Pokok, dedaun serta flora dijadikan sebagai ilham untuk lukisannya yang melangkaui waktu pada ketika itu. Beliau menggunakan pelbagai sumber untuk dijadikan pewarna lukisannya seperti lumpur, darah, minyak, wine itu menjadi rahsianya ketika melukis.
Seraphine bertemu dengan tuan rumahnya dari Jerman yang berhijrah ke Perancis dan pada masa yang sama turut meminati lukisan. Tuan rumah berkenaan menyedari tanpa sedar bakat yang ada oleh pembantu rumahnya. Peluang untuk merubah hidup Seraphine dijanjikan oleh tuannya kerana ingin membawa hasil lukisannya ke pameran di kota. Naik turun kisah ini berlaku selepas berlakunya Perang Dunia Pertama dan mereka terpisah hingga dipertemukan kembali.
Angan-angan Seraphine untuk menjadi terkenal di Paris sekali lagi terbatas kerana krisis ekonomi dunia hingga tuannya, Wilhelm Uhde menangguhkan hasratnya. Dari situ hidup Seraphine menjadi tidak tentu hala. Akhirnya usaha memulihkan semangatnya berhasil selepas karyanya diperdagangkan dan Seraphine kembali mendapat jiwanya dengan alam sekeliling.
Filem biografi yang agak kurang mempunyai dialog mengajak penonton untuk memahami sendiri kisahnya. Ceritanya agak perlahan pada permulaan mungkin kerana mencari apa yang istimewa tentang pembantu rumah berkenaan dan menjadi lebih fokus untuk melihatnya apabila beliau mempunyai rahsianya bagaimana untuk menghasilkan lukisan.
No comments:
Post a Comment