Showing posts with label Ulasan Filem. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Filem. Show all posts

Tuesday, January 26, 2010

New York, I Love You

Setiap insan mempunyai kisah cintanya sendiri
Adaptasi dari filem Paris Ja t'aime, kisah cinta dikalangan warga kota New York menjadi modal untuk menarik peminat filem romantis untuk menonton filem pelbagai kisah ini. Jika filem Cinta arahan Khabir Bhatia mempunyai 5 kisah cinta dan filem Paris Ja t'aime mempunyai 18 kisah di dalamnya, filem ini pasti membuatkan penonton mengira bilangan kisah di dalamnya. Apa yang menarik apabila menonton filem ini, kita akan senyum, gelak dan terfikir tentang apa telah kita lakukan dan kaitannya dengan kehidupan seharian khususnya yang mereka yang berkasih sayang. Berlatar belakang Manhathan, Brooklyn, Central Park, membuatkan sesiapa sahaja akan jatuh cinta dengan New York.

Monday, December 7, 2009

Love Happens

Sometimes when you least expect it.. Love Happens!

Mmmm. Apa yang kita ingat sejak sewaktu zaman kanak-kanak seawal usia 6 tahun. Nama kawan-kawan, nama permainan, nama cikgu tadika dan lambat laun kita lupa tetapi tidak dengan perasaan. Rasa senang, rasa gembira dan rasa sedih akan terus membawa kita dan tanpa kita sedari membawa ke alam remaja dan dewasa serta mudah tercicir sepanjang perjalanan. Dalam menempuh kehidupan seharian pelbagai rasa, situasi dan keadaan yang berlaku. Secara tidak sedar, kita dibawa oleh perasaan suka, sayang, rindu dan cinta.

Filem romantis tahun 2009 telah muncul. Amat berbaloi untuk ditonton tambahan lagi seorang diri. Seronok melayan perasaan hingga senyum sepanjang tayangan. 5 perkara menarik yang Izzo minat dalam filem ini;
1. Konsert Rough Wave
2. Permandangan indah kotaraya Seattle
3. A-Okay
4. Perkataan yang terselindung di sebalik gambar
5. Pastikan anda mengguna bahasa isyarat berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.

Thursday, December 3, 2009

Jalang vs Pisau Cukur



Jalang muncul selepas Pisau Cukur. Aturan yang bijak. Jawapan yang cukup klise, "tak semua perempuan sebegitu". Ya, itu memang betul dan sangat tepat sekali. Tetapi berapa ramai di kalangan "Jalang itu Pisau Cukur" dan berapa ramai pula "Pisau Cukur itu Jalang"?

Selepas menonton filem komedi Pisau Cukur, Izzo memang terhibur namun mengenang kembali kepada realiti kehidupan terutama kepada perempuan yang mengejar pasangannya sama ada yang berpangkat, berharta mahupun berusia.

Itu menjadi hak kepada keinginan masing-masing. Ada yang sanggup untuk menjalangkan diri sendiri mengejar semua itu tanpa mengira status atau kedudukan perempuan itu sendiri sama ada belum berkahwin atau sebaliknya, berpendidikan tinggi atau sebaliknya, ahli profesionalisme atau sebaliknya. Tak perlu menafikan atau memperbetulkan, tetapi itulah hakikat yang patut diterima walaupun pahit untuk ditelan.

Tuesday, August 11, 2009

Ketika Cinta Bertasbih


Yang pasti, sesiapa yang telah menonton filem Ayat-ayat Cinta pastinya akan menonton filem ini juga kerana dihasilkan oleh sutradara yang sama iaitu Habiburrahman El Shirazy. Masih menceritakan kisah seorang mahasiswa Indonesia iaitu Azzam yang menuntut ilmu di Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir.

Kisah cinta Azzam bermula dengan Eliana bermula selepas bapanya meninggal dunia dan memaksa beliau untuk berniaga di Kaherah bagi menyambung pengajiannya. Dari situ beliau bertemu dengan anak Duta Besar Indonesia di Mesir.

Cinta Azzam yang berliku tidak hanya memberikan pencerahan jiwa namun mengajak penonton untuk lebih mendalami rahsia Ilahi akan makna cinta. Kemunculan Anna, yang memikat hati Azzam menjadi misteri kepada cinta dari pandangan yang berbeza. Filem ini akan bersambung dengan kisahnya yang lain.

Izzo tidak pasti bila filem ini akan memasuki pasaran di Malaysia. Tidak cukup untuk baca novelnya sahaja dan pasti akan menonton berkali-kali bukan sahaja di internet malahan di panggung juga.

Monday, May 18, 2009

Seraphine

Mungkin ini sahaja filem Perancis yang dapat ditonton pada tahun ini melainkan pawagam di Malaysia membawa masuk filem antarabangsa yang lain selain dari Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Thailand mahupun Indonesia. Kali ini filem yang mempunyai genre biografi yang sempat ditonton walaupun pada asalnya niat ke GCS Pavilion adalah untuk menonton filem Saint CYR.

Filem berdasarkan kisah benar yang bermula sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama iaitu pada tahun 1914 hingga 1938 menceritakan seorang pembantu rumah yang mempunyai bakat dalam seni lukis. Pokok, dedaun serta flora dijadikan sebagai ilham untuk lukisannya yang melangkaui waktu pada ketika itu. Beliau menggunakan pelbagai sumber untuk dijadikan pewarna lukisannya seperti lumpur, darah, minyak, wine itu menjadi rahsianya ketika melukis.

Seraphine bertemu dengan tuan rumahnya dari Jerman yang berhijrah ke Perancis dan pada masa yang sama turut meminati lukisan. Tuan rumah berkenaan menyedari tanpa sedar bakat yang ada oleh pembantu rumahnya. Peluang untuk merubah hidup Seraphine dijanjikan oleh tuannya kerana ingin membawa hasil lukisannya ke pameran di kota. Naik turun kisah ini berlaku selepas berlakunya Perang Dunia Pertama dan mereka terpisah hingga dipertemukan kembali.

Angan-angan Seraphine untuk menjadi terkenal di Paris sekali lagi terbatas kerana krisis ekonomi dunia hingga tuannya, Wilhelm Uhde menangguhkan hasratnya. Dari situ hidup Seraphine menjadi tidak tentu hala. Akhirnya usaha memulihkan semangatnya berhasil selepas karyanya diperdagangkan dan Seraphine kembali mendapat jiwanya dengan alam sekeliling.
Filem biografi yang agak kurang mempunyai dialog mengajak penonton untuk memahami sendiri kisahnya. Ceritanya agak perlahan pada permulaan mungkin kerana mencari apa yang istimewa tentang pembantu rumah berkenaan dan menjadi lebih fokus untuk melihatnya apabila beliau mempunyai rahsianya bagaimana untuk menghasilkan lukisan.

Friday, January 23, 2009

Slumdog Millionaire

Teruja untuk menonton filem ini dan Izzo berjaya menontonnya sebelum DVD dijual ataupun menonton di wayang. Filem yang diarahkan olah Danny Boyle ini diadaptasikan oleh novel berjudul Q & A. Filem ini bukan juga filem dari Bollywood tetapi dari United Kingdom. Automatik, selepas menontonnya Izzo dapat bayangkan berada di Mumbai khususnya Chattrapati Shijavi Terminus (CST), stesen keretapi paling sibuk di dunia yang telah dibom ketika serangan pengganas baru-baru ini.

Kisah Jamal Malik seorang peniaga teh atau dikenali "chai" di India menyertai program "Who Wants To Be Millionaire?" berjaya menjawab satu demi satu soalan. Segalanya bermula apabila usaha Jamal ingin mencari kawannya yang beberapa kali terpisah iaitu Kalika kerana Jamal beranggap dengan memasuki rancangan tersebut, Kalika dapat menjejaki beliau.

Hendak dijadikan cerita oleh penulis novel dan kemudiannya difilemkan, soalan yang diajukan kepada Jamal dalam rancangan tersebut secara kebetulan berkisar dengan pengalaman dan kisah hidupnya selama ini bermula dari soalan pertama, kedua dan seterusnya soalan kedua terakhir yang bernilai Rs 10 juta. Kisah hidup Jamal dan abangnya Salim yang hidup dalam kemiskinan sewaktu kecil, kehilangan ibunya sewaktu rusuhan agama Hindu-Muslim, menjadi kanak-kanak jalanan, penyamar pemandu pelancong di Taj Mahal, mencuri kasut pelawat serta kembali ke Mumbai sebagai penjual teh di syarikat telekomunikasi.

Selesai menjawab soalan pada hari pertama, Jamal disoal siasat bagaimana beliau dapat menjawab semuanya hinggakan ramai professor dan profesional lain tidak mampu untuk berbuat sedemikian.

Keesokan, sebilangan besar warga India menonton Jamal beraksi di kaca televisyen untuk menjawab soalan terakhir yang bernilai Rs 20 juta atau bersamaan RM 1.6 juta. Soalan itu juga mempunyai kaitan dengan hidupnya yang menemukan Kalika ketika Jamal masih kecil dan sudah tertulis Jamal Malik memenangi wang tersebut.

Walaupun ia sekadar cerita, novel dan filem pastinya filem Slumdog Millionaire ini menjadi kebanggan warga kota Mumbai terutamanya mereka yang hidup dalam kesusahan kerana memaparkan realiti kehidupan penduduk di Mumbai. Untuk lebih menjiwai filem ini, lebih elok sekiranya melawat Mumbai dan merasai sendiri kehidupan di sana terutamanya Mumbai, menaiki keretapi di India dan juga Taj Mahal. Aura India masih terlekat lagi rupanya pada diri Izzo ni.

Monday, June 16, 2008

Pensil

Tak perlu untuk dibuat promosi secara berlebihan kerana hanya orang tertentu sahaja yang mampu untuk menonton filem ini. Anda jangan terkejut kerana ramai yang mengatakan penonton filem ini dalam panggung tak lebih dari 10 orang. Ya, itu memang benar kerana hanya ada 3 orang sahaja dalam panggung termasuk Izzo sewaktu menonton filem ini.

Rata-rata pengulas bebas yang memberi maklum balas tentang filem ini memuji pengarahnya yang juga pelakon utama iaitu M.Subash selain nilai yang diperjuangkannya. Filem yang menceritakan realiti dan corak kehidupan insan istimewa dalam hidup seharian.

Lakonan berkesan M.Subash yang membawa watak Badrul dan juga Ruminah Sidek sebagai nenek turut mampu membawa 2 penonton di hadapan Izzo dalam panggung tersebut menitis air mata.

Dari pandangan yang berbeza, Pensil mungkin juga setaraf dengan mana-mana cerekarama di TV3 kerana ada perkara-perkara yang tertinggal untuk diiktiraf sebagai filem hebat kecuali jalan cerita dan lakonan yang berkesan.


“Produk yang bagus tak perlu untuk dipromosikan”

Wednesday, June 4, 2008

Ayat-Ayat Cinta

Walaupun filem ini masih belum ditayangkan secara rasmi di Malaysia, namun kemajuan teknologi membolehkan Izzo menyaksikan filem Ayat-ayat Cinta di layar mesin ini. Filem romantik ini karya Hanung Bramantyo diadaptasi oleh sebuah novel juga yang berjudul “Ayat-ayat Cinta” tulisan Habiburrahman El Shirazy. Ia memaparkan warni warni kehidupan dan kisah cinta di kota Kaherah, Mesir.

Ini adalah satu kisah cinta namun ia bukan sekadar kisah cinta sebagaimana biasa. Filem ini menceritakan bagaimana insan menghadapi kitaran turun-naiknya persoalan hidup dengan cara Islam dan mengisahkan seorang penuntut pascasiswazah dari Indonesia iaitu Fahri di universiti tertua di dunia iaitu Universiti Al-Azhar di Mesir. Cabaran, rintangan dan kitaran hidup adalah lumrah manusia yang dihadapi di mana-mana tempat. Begitu juga dengan kisah ini yang menceritakan tentang kehidupan sebagai seorang muslim yang tidak dapat lari dari perasaan cinta, kasih dan sayang.

Ketika menuntut di universiti berkenaan, Fahri yang berjiwa lurus bersahabat baik dengan Maria, seorang jiran di kediaman pengajiannya dan merupakan seorang gadis Kristian yang memahami dan mengagumi agama Islam begitu juga Al-Quran. Dalam senyap-senyap, Maria menaruh hati terhadap Fahri. Kekaguman pada peringkat awalnya yang wujud pada hari Maria berubah menjadi cinta. Sayangnya, cinta Maria hanya tercurah setakat dalam diari sahaja.

Wujud pula seorang gadis bernama Noura, jiran yang selalu diseksa olah bapanya sendiri. Fahri cukup bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Noura dan menolongnya bersama Maria. Namun perasaan itu dibataskan dengan empati sahaja bagi Fahri tetap tidak bagi Noura.

Kejujuran Fahri yang membantu seorang gadis berpurdah dalam keretapi menimbulkan kisah cinta seterusnya dan menerima perkahwinan dengan gadis bernama Aisyah. Namun perkahwinan dengan Aishah mengundang kekecewaan terhadap gadis-gadis yang menyintainya dalam diam.

Pengkisahan cerita ini yang agak perlahan tetapi menarik dan mengundang konflik serta pengorbanan cinta yang di tunjukkan oleh Aisyah. Isterinya itu merelakannya supaya turut memperisterikan Maria biarpun di Hospital demi kebaikan Maria dan juga Fahri.

Izzo tertarik dengan filem ini kerana berjaya mengangkat dan memartabatkan Bahasa Indonesia biarkan dilakonkan di bumi Mesir serta majlis akad nikah yang lakukan dengan cara Islam di Mesir. Tak sabar nak menonton sekali lagi di panggung wayang pada pertengahan Jun ini.

Wednesday, May 21, 2008

Ulasan Filem Paris Je T'aime

Filem pelbagai kisah, ragam, kehidupan, cinta, kasih dan sayang terdapat dalam Paris Je T’aime bermaksud I Love U Paris. Sinonim dengan gelaran City Of Love dan pusat kebudayaan, kesenian, fesyen dan industri kecantikan, Paris cukup sempurna untuk semua itu. Genap 2 tahun yang lalu, Izzo sempat menjejakkan kaki dan menyelongkar beberapa sudut dan pandangan di kota ini.

18 kisah suka duka dan kasih sayang dapat digambarkan di dalam filem ini. Ia turut menggabungkan 21 pengarah hebat dari seluruh dunia dan seterusnya berjaya menggenapkan istilah cinta serta memberi inspirasi kasih sayang kepada Paris.

Corat-coret 18 kisah berkenaan;

i. Cinta terjalin apabila seorang lelaki yang menolong seorang wanita apabila beliau mendapatinya terjatuh di kawasan tempat letak kereta. Siapa sangka, ayat-ayat romantis lelaki berkenaan berjaya menawan cinta seorang wanita.

ii. Seorang remaja lelaki bersama rakan-rakan yang lain mengusik gadis yang lalu-lalang di tebing sungai Seine. Namun panahan cintanya terkena kepada seorang gadis bertudung. Dengan hanya kerut wajah remaja lelaki berkenaan, beliau berjaya menunjukkan minat dan menggambarkan harapannya terhadap gadis berkenaan.

iii. Pelanggan lelaki yang meminati sorang pekerja di gudang percetakan. Beliau meluahkan perasaan dan menjelaskan hasrat hati walaupun pasangannya adalah sejenis. Namun faktor bahasa yang membataskan pemahaman pekerja gudang berkenaan.

iv. Jika anda ke Paris, adegan cium dan bercumbuan terdapat di mana-mana. Jangan terlalu asyik memandang adegan berkenaan kerana kisah singkat ini menerangkan apa yang akan berlaku.

v. Kasih sayang seorang penjaga kanak-kanak yang sanggup menaiki 4 metro atau subway untuk ke rumah majikannya. Nyanyian lagu asal Puerto Rico berbahasa Sepanyol yang bertajuk Que Linda Manito untuk mengilut bayi termasuk anaknya sangat mengasyikkan.

vi. Cerita seorang jurujual produk kecantikan yang akhirnya jatuh cinta kepada pemilik salon kecantikan yang berbangsa Cina walaupun pelbagai cabaran berat yang dihadapi sebelum mendapatkannya.

vii. Perpisahan yang bakal terjadi dalam perkahwinan dan beralih arah kepada gadis yang lebih muda menyebabkan akhirnya mereka tidak berbuat sedemikian.


viii. Kisah ini menggambarkan hubungan kasih dan sayang seorang ibu terhadap anaknya yang telah meninggal dunia. Rohnya digambarkan dengan bawaan seorang cowboy.

ix. Agak lucu kisah kesembilan ini kerana cerita seorang kanak-kanak yang berkelakuan jengkel yang menceritakan bagaimana cinta ibu dan bapanya. Jodoh mereka ditemukan di dalam penjara.

x. Cerita ini hanya berlaku dalam satu babak sahaja. Seorang bapa yang menggoda anaknya untuk menjaga bayi kecil di sepanjang perjalanannya. Dalam perjalanan yang memujuk anaknya itu, poster filem Paris Je T’aime menggambarkan kehebatan filem ini keseluruhannya.

xi. Dari pengambilan dadah, ia beralih kepada cinta kepada si pengedarnya. Cintanya bukan kepada dadah tetapi kepada pengedarnya yang tak muncul-muncul.

xii. Kisah cinta pandang pertama seorang pekerja am dari Nigeria yang jatuh cinta kepada ahli paramedik yang tidak memahami maksud itu pada mulanya. Di kala beliau sedang dirawat oleh ahli paramedik akibat ditikam, nyanyian oleh lelaki berkenaan mengingatkan kembali ingatan wanita tersebut. Sayangnya lelaki itu mati jua akhirnya.

xiii. Bagaimana pasangan berusia menjalinkan bibit-bibit cintanya walaupun aura berkenaan dari pusat pelacuran? Kehebatan pelakon senior sebegini menunjukkan minat kepada pemahaman cinta dari aspek yang berbeza.

xiv. Agak sukar untuk diterima akal kerana seorang pengembara muda jatuh cinta dengan vampiress. Gigitan oleh hantu beralih kepada gigitan cinta.

xv. Roh hantu dapat membantu seorang lelaki yang mengalami konflik dan baru sahaja putus tunang dengan teman wanitanya. Penggambaran yang menarik di kawasan perkuburan mengalihkan pandangan dari sudut yang berbeza di kota Paris.

xvi. Cinta itu buta. Ini diterangkan oleh seseorang lelaki buta yang bertemu cintanya dengan pelakon baru.

xvii. Pasangan jarak jauh yang tidak tinggal bersama bertemu di sebuah restoren. Konflik yang berlaku dan ego yang menebal dalam diri masing-masing akhirnya membawa kepada penceraian.

xviii. Paris digambarkan sebagai Kota Cinta oleh seorang pelancong pada asalnya. Dalam memahami kehidupan dan mempelajari bahasa Perancis, beliau jatuh cinta dan memilih untuk terus menetap di Paris.

Keseluruhannya, Paris Je T’aime menggambarkan harmoninya kota cinta ini dengan pelbagai kisah yang diadun dengan cukup menarik dan dapat mengajak sesiapa sahaja untuk berkunjung ke Paris. 3 kisah pilihan Izzo;

1. Remaja dan cintanya terhadap wanita bertudung
2. Cinta pandang pertama lelaki Nigeria
3. Pelancong yang jatuh cinta dengan Kota Paris.

Tidak adil untuk Izzo membandingkan dengan mana-mana filem yang lain seperti CINTA dan LOVE arahan Kabir Bhatia. Paris Je T’aime berbeza dengan filem cinta yang lain dan berada di tahap yang tersendiri. Pandangan yang lebih universal membuatkan pemahaman semua penonton dan penggemar filem ini kepada maksud cinta yang lebih komprehensif sebagaimana yang digambarkannya. Setiap individu mengalami perkara sebegini dan betapa kita patut menghargai maksud cinta jika kita terkena sindrom yang dimaksudkan. Filem yang amat bagus dan sesuai ditonton semua.


Paris Je T’aime.

Thursday, May 15, 2008

Ulasan Filem : Read My Lips


Lakonan hebat Emmanuelle Devos yang membawa watak Carla, seorang setiausaha yang mengalami tekanan di tempat kerja. Beliau sering berhadapan dengan masalah dengan rakan setugas yang lain di mana beliau di pulaukan kerana kesetiaannya dengan majikan. Akibat bebanan tugas yang terlampau banyak, beliau mengambil seorang pembantu pejabat yang turut melakonkan watak yang hebat (Vincent Cassel) sebagai Paul, seorang bekas banduan yang ditangkap mencuri kenderaan di sekitar kotaraya Paris.


Menyingkap kisah dan kehidupan masing-masing, Carla mula jatuh hati terhadap Paul dan begitu juga sebaliknya yang sama-sama memendam perasaan. Carla mengetepikan masalah yang berlaku di pejabatnya memandangkan beliau mengetahui majikannya melakukan penyelewengan.


Terdapat satu perkara istimewa yang ada pada Carla iaitu beliau mampu membaca gerak bibir sesiapa yang berkata-kata dan beliau turut menggunakan alat pembantu pendengaran yang sentiasa di pasang di telinganya.
Dalam filem ini, pelbagai perkara yang menimpa Paul dan memaksa beliau melakukan tugas tambahan sebagai “bartender” di malam hari. Mengungkit kisah dan dendam lama Paul terhadap konco-konconya, banyak adegan ganas turut dimuatkan dan memerlukan bantuan Carla mentafsir gerakan bibir dari jarak jauh. Filem ini di akhiri apabila pasangan ini menerima cinta masing-masing.

Read My Lips yang diarah oleh Jacques Audiard pada tahun 2002 dirakam di sekitar Paris. Sepertimana filem Perancis yang lain, gerakan kamera yang terlalu pantas agak memeningkan kepala penonton di panggung.

Filem ini banyak mengajak penonton berfikir dan tertanya-tanya sepanjang jalan ceritanya dan sekaligus membuatkan penonton lebih kreatif dalam memahami serta mentafsir sesebuah karya mengikut pandangan masing-masing.

Izzo seronok menonton filem ini kerana ia memaparkan hubungan kasih sayang dan cinta yang tersembunyi di antara mereka selain dapat juga menambah perbendaharaan kata bahasa Perancis yang telah lama dipelajari secara tidak langsung.