Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Kepada semua guru yang sangat di sanjungi, terimalah ucapan Selamat Hari Guru. Pengorbanan para guru tetap subur dan dikenang abadi. Jasamu terpahat di hati.

Friday, May 16, 2008

Allahyarham Cikgu Johan Mat Isa

Izzo mengimbas kisah lampau yang pernah berlaku kepada diri ini ketika di darjah 6 iaitu pada tahun 1991 di kelas 6 Kuning, Sekolah Kebangsaan Bukit Goh, Kuantan. Dalam kelas berkenaan, Izzo bersama seorang rakan berada di barisan paling belakang. Zaman kanak-kanak memang nakal dan seronok bermain serta selalu membuat bising di dalam kelas.

Izzo tidak dapat melupakan kisah yang berlaku di sebabkan kelalaian diri sendiri kerana selalu bermain di dalam kelas. Guru kelas yang turut mengajar Bahasa Melayu karangan mengkehendaki semua murid menghantar karangan yang perlu disiapkan. Izzo telah menyiapkan karangan tersebut termasuk juga sahabat di sebelah. Namun kami leka bermain-main dan membuat bising sehinggakan kami tidak dengar apa yang diarahkan oleh cikgu tersebut.

Keesokkan harinya, cikgu mendapati dua murid tidak menghantar tugasan karangan berkenaan dan mendapati Izzo dan rakan di sebelah tidak menghantar. Akibatnya kami dipanggil di hadapan kelas dan cikgu bertanyakan punca tidak menghantar karangan berkenaan. Jawapannya, kami tidak tahu untuk berbuat sedemikian kerana berbuat bising di belakang.

Semestinya kami dikenakan denda dan cikgu berkenaan mencubit kedua-dua lengan kami seorang di kirinya dan seorang di kanannya di hadapan kawan-kawan yang lain. Pedih juga rasanya cubitan berkenaan dan air mata hampir nak mengalir menahan kepedihan tetapi mengawalnya mungkin untuk menunjukkan keegoan di hadapan kawan-kawan terutamanya murid-murid perempuan sekelas pada ketika itu. Kebetulan cubitan yang Izzo terima berkenaan seminggu selepas kami menerima suntikan BCG untuk kanak-kanak 12 tahun. Suntikan BCG satu perkara dan kami menerima BCG (Bekas Cubitan Guru) kedua, kerana kejadian berkenaan masih terlekat hingga hari ini di lengan kiri Izzo.



Setiap kali menjelang 16 Mei setiap tahun, Izzo pasti teringat peristiwa ini dan mengingatkan kembali guru kelas Izzo pada ketika itu, Cikgu Johan yang cukup tegas dalam mendidik anak muridnya di sekolah dan kami amat bertuah kerana di ajar oleh beliau sendiri. Sedikit pun Izzo tidak berdendam kepada Cikgu Johan atas tindakan berkenaan berkenaan dan cukup menghormati jasa dan pengorbanan beliau yang telah diberikan. Ucapan terima kasih tanpa henti juga kerana dapat membentuk Izzo hingga hari ini.

Menjelang remaja dan beralih ke alam pendidikan menengah, Izzo sudah berpindah sekolah dan berada di sekolah berasrama, jarang sekali untuk bertemu dengan Cikgu Johan walaupun beliau tinggal sekampung dengan Izzo. Berita yang Izzo ketahui dari ayahanda Izzo sendiri, Cikgu Johan telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1995 akibat sakit dalaman di perut. Sedih dan sesal juga rasa di hati kerana tidak dapat berjumpa dengan beliau.

Sempena hari yang cukup mulia ini, Izzo pastinya terkenang kepada Allahyarham dan Izzo sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau pada hari istimewa ini. Semoga roh Allahyarham Cikgu Johan bin Mat Isa dicucuri rahmat dan di tempat dengan orang-orang yang Soleh. Ameen.

Selamat Hari Guru
Terima kasih Cikgu..
Al-Fatihah ….