Isu minyak di Malaysia berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan kenaikan kos bahan api utama dunia ini semakin meruncing bukan sahaja di Malaysia tetapi turut merupakan isu utama di dunia. Sorotan kenaikan harga minyak dunia seperti yang diramalkan yang akan mencecah USD200 satu tong dijangka bakal mengundang peningkatan kadar inflasi hampir di seluruh dunia. Malaysia harus juga bersedia untuk perkara itu dan mengerti kitaran 13 tahun permasalahan ekonomi dunia.
Selaku salah sebuah negara pengeluar minyak, walaupun bukannya antara negara utama dalam OPEC, Malaysia turut menerima tekanan harga di samping mengurangkan kebergantungan pihak pemerintahan untuk rakyat supaya dapat membayarnya menghampiri harga asal. Tiada pemimpin yang hebat dari pelusuk mana yang mampu untuk mempertahankan harga tersebut waima pemerintahan George Bush sekalipun di Malaysia. Subsidi yang semakin mengecil mengajar rakyat Malaysia satu hari nanti supaya dapat membayar dengan harga asal sebegaimana yang diamalkan oleh negara-negara G8.
Mungkin kita terlupa, bahan api ini digunakan hampir setiap individu dan pemilik kenderaan. Dari situ kita juga dapat mengandaikan golongan yang dikatakan mampu untuk memiliki kenderaan dan berada di golongan pertengahan secara purata ini adalah meluas dan kuantiti yang banyak seperti mana piramid di peringkat pertengahan dan nilai min berdasarkan ilmu statistik. Kemampuan untuk memiliki kenderaan dan berpendapatan yang lebih juga menjelaskan mereka selesa dan mendapat “manfaat” dari konteks pembangunan dan kehidupan yang telah diusahakan oleh pihak pemerintah kepada golongan tersebut sebelum ini. Izzo turut mengakuinya dan boleh diperkatakan berada di golongan ini.
Izzo menulis kali ini dengan melihat dari pemikiran yang lain secara lateral, tiba masanya manfaat yang diperoleh hasil dari limpahan ekonomi negara sebelum ini dibalikkan kembali kepada negara sebagaimana kata-kata Abraham Lincoln.. , “tak perlu bertanya apa pihak pemerintah lakukan untuk kita, sebaliknya perlu bertanya apa yang patut kita lakukan untuk pihak pemerintah/ negara”. Malaysia yang kian menuju negara maju hanya beberapa tahun sahaja lagi patut untuk mengurangkan subsidi dan kebergantungan dari pihak pemerintah. Terlalu banyak subsidi selama ini yang telah diberikan secara langsung atau pun tidak dan mungkin pihak yang menerimanya tidak menyedari perkara itu. Seeloknya golongan sedemikian bersyukur dengan apa yang telah diterima namun pada masa yang sama lebih mengkritik daripada menyampaikan idea yang lebih membina untuk dinikmati bersama.
Analoginya seperti bayi yang mula dibelai dari kecil. Diajarnya bertatih, dan kemudian berjalan dan seterusnya berlari. Hingga pada satu peringkat menjelang dewasa ia boleh hidup berdikari. Pertolongan dari ibu bapa secara langsung tidak lagi diperolehi sebaliknya mereka pula yang menolong ibu bapanya.
Yang pasti, keputusan oleh Kerajaan Malaysia mengurangkan subsidi minyak pastinya ada alasan yang kukuh. Mungkin tak ramai yang membaca, memahami, melihat dan mendengar penjelasan serta langkah-langkah yang diwartakan oleh pihak kerajaan bertindak sedemikian namun sama ada di surat khabar, televisyen atau media perdana yang lain sebaliknya terus menghukum dan menyifatkan pihak kerajaan tidak berhati perut berdasarkan pandangan satu pihak sahaja terutamanya media alternatif. Golongan sebeginilah yang banyak menerima dan menggunakan manfaat selain menikmati limpahan hasil kemakmuran negara hampir setiap hari dan setiap ketika.
Golongan mewah sebagaimana yang berkereta Mercedez mempunyai status yang tersendiri dan adalah menjadikan harapan agar mereka dapat memahami kewajaran penerimaan subsidi kepada mereka untuk terus diberi atau sebaliknya berbanding kemampuan dan kuasa beli yang telah mereka nikmati selama ini. Namun di sebalik itu, masih ada lagi golongan yang kurang bernasib baik seperti OKU dan golongan yang tergolong dalam kelompok kemiskinan yang tinggal dan mendiami ceruk-ceruk rantau seperti Baling di Kedah dan Tongod di Sabah yang selama ini jarang sekali menikmati subsidi bahan api tersebut.
Semestinya pengurangan subsidi bahan api yang dinikmati oleh kita selama ini, dapat juga dirasai oleh golongan ini di mana pastinya perbelanjaan pembangunan dan program pembasmian kemiskinan rancak dilakukan. Tidak itu sahaja, pengurangan subsidi minyak ini membolehkan perkembangan pembangunan sosial yang lain termasuk pembinaan sekolah, penambahan biasiswa, infrastruktur luar bandar dan juga jaringan pengangkutan awam hendaknya yang mungkin kita terlupa. Inilah yang dinamakan pembangunan yang lebih seimbang dan mapan untuk manfaat semua pihak dan tidak hanya membelanjakannya kepada subsidi minyak semata-mata. Jika selama ini, ada di antara kita memahami konsep “give & take”, inilah masanya untuk kita “give” kepada negara yang selama ini hanya kita “take” sahaja.
Kita juga memahami dan bersetuju untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020 dan pengurangan subsidi oleh kerajaan (tidak hanya kepada bahan api sahaja) adalah salah satu di antaranya. Perkara yang penting di sini adalah pemikiran rakyat dan kesediaan untuk berhadapan dengan masalah sebegini.
Jika kita merungut dengan harga minyak yang melambung, alternatif penggunaaan pengangkutan awam boleh digunakan. Jika anda seorang yang lambat dan alasan menyalahkan kesesakan lalu lintas serta kelewatan pengangkutan awam, anda perlu menjadi manusia yang awal dan lebih berdisiplin serta menghormati masa tidak seperti beberapa pemimpin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, yang sampai hari ini masih lagi lewat meskipun mempunyai pemandunya sendiri di samping “outrider” khas untuknya. Teringat saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berkata, “Ubah cara hidup anda!!”.
Izzo pasti dan yakin, jentera perancangan pembangunan dan pelaksanaan negara bukan sekadar main-main dalam pembuatan keputusan terutamanya membabitkan kesejahteraan rakyat dan hala tuju pembangunan negara. Kebijaksanaan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan berterusan yang cemerlang akan terus diberikan untuk Malaysia yang tercinta ini dalam menempuh hari-hari akan datang.