Masa demi masa dan hari silih berganti. Perkara yang telah berlalu, kadang-kala manis untuk di kenang dan kadang-kala pahit untuk diterima. Apa yang kita ingat dari kenangan sejak dahulu?.. Nama tempat? Nama sahabat? Atau kejadian lain yang merupakan perkara-perkara yang lambat laun kita lupa tetapi tidak dengan perasaan yang terpendam.
Rasa gembira, rasa senang, rasa sedih, rasa hampa yang akan terus kita bawa dan tanpa mudah tercicir sepanjang pengalaman yang ditempuhi dan juga yang bakal kita alami. Begitu juga dengan kisah benar di antara Mr. I dan Ms. A (nama sebenar) sejak 13 tahun yang lalu dipertemukan kembali di dunia yang nyata.
Sejak di bangku persekolahan, mereka saling berkenalan antara satu sama lain. Masing-masing mempunyai bercita-cita besar walaupun itu merupakan cinta pertama yang menganggap
"we always believe our first love is our last, and our last love is our first". Tak terungkap dengan kata-kata, mereka dikatakan bahagia walaupun seusia 17 tahun. Pertemuan indah, hanya sekerat jalan atas tuntutan cita-cita masing-masing yang berbeza.
Setelah lama Mr.I mencari dimanakah Ms.A, mereka dipertemukan juga dengan bantuan Izzo baru-baru ini dan masing-masing mengenali Izzo sebagai teman mereka sejak zaman persekolahan dan kedua-duanya sebaya dengan Izzo.
Benar, kata pepatah tersebut, Mr.I masih menaruh harapan kepada Ms.A walaupun mereka mustahil untuk disatukan memandangkan Ms.A telah mendirikan rumahtangga. Izzo agak terharu dan menghormati perasaan apa yang diluahkan Mr.I terhadap cinta pertamanya. Beliau tidak bertepuk sebelah tangan kerana Ms.A masih mencari Mr.I ketika masing-masing berlumba-lumba untuk mengejar cita-cita.
Prinsip Mr.I, beliau tidak akan mengganggu dan menghormati hak orang lain menyebabkan beliau terus tidak mempedulikan Ms.A yang masih mencari beliau meskipun telah dimiliki oleh orang lain. Dan akhirnya, kira-kira beberapa bulan yang lalu Mr.I dapat berhubung dengan Ms.A serta mendapat tahu beliau kembali membujang serta memiliki seorang cahaya mata.
Apa yang menarik, masing-masing menghubungi Izzo kembali dan meluahkan isi terpendam yang terbuku di hati. Status Ms.A yang kembali membujang menyebabkan beliau kerap menerima tohmahan dari rakan sekerja dan perkara tersebut dianggap gangguan dalam hidupnya. Alah bisa tegal biasa, perkara tersebut tidak lagi dilihat sebagai masalah dalam hidupnya. Manakala Mr.I telahpun mempunyai teman istimewa. Tiba-tiba hatinya bercelaru apabila kasih kepada Ms.A masih lagi tercalit dalam hatinya.
Kepada Mr.I.. fikirkan masak-masak, fikirkan berkali-kali kerana anda kian hampir untuk memiliki. Namun, ia tidak dapat menolak cinta pertamanya walaupun tidak mustahil mereka dapat disatukan kembali walaupun Ms.A telah mempunyai seorang cahaya mata dan juga penerimaaan oleh keluarga Mr.I itu sendiri terhadap Ms.A.
Kepada Mr.A.. tiada apa yang dapat dinasihatkan dan semoga anda memperolehi jodoh semula yang lebih sesuai dan tidak dapat menyangkal kesesuaian Mr.I untuk anda. Gagal kali pertama dapat membuatkan anda lebih berwaspada dan matang serta dapat mengenalpasti keinginan dalam hidup terutamanya bila berpasangan kembali kelak.
Masing-masing semakin dewasa dan semakin menyedari bahawa di antara kenangan dahulu ada satu rasa diantara mereka yang paling besar iaitu "cinta", kerana setiap ketika semuanya akan menjadi kenangan dan bergerak seiring harapan. Semoga masing-masing memperolehi cintanya sendiri.