Wednesday, April 1, 2009

Cabaran Pendekar II (CAP II)

Zaman pengajian dulu-dulu semasa di Universiti Utara Malaysia cukup aktif dan Izzo sentiasa mengisi masa kekosongan yang ada. Hampir setiap cuti semester atau pertengahan semester ada sahaja aktiviti luar yang dilibatkan sejak semester pertama hingga tamat pengajian. Sejak memasuki Pusat Matrikulasi UUM di kampus Sintok, Izzo telah menyertai kegiatan ko-kurikulum meskipun pelajar Matrikulasi tidak dibenarkan berbuat sedemikan.

Apabila memasuki tahun pertama, pelajar adalah digalakkan untuk menganggotai setiap persatuan/ kelab. Alhamdulillah, walaupun Izzo menyertai persatuan yang berasaskan seni beladiri, namun aktiviti luar persatuan berkenaan boleh menandingi mana-mana persatuan kembara sehingga di cemburui mungkin kerana komitmen oleh ahli serta pengurusan yang baik. Namun, kelas latihan dan pengajian seni beladiri adalah didahului sehinggakan hampir setiap masa terdapat jemputan untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan diri.
Cabaran Pendekar II telah diadakan pada tahun 1999 kira-kira 10 tahun yang lalu di adakan di 2 negeri iaitu Gunung Stong di Kelantan dan Pulau Perhentian diTerengganu. Projek ini diteruskan kerana hampir semua peserta berjaya menamatkan Cabaran Pendekar 98 yang pertama kali diadakan oleh persatuan di Jajaran Wang Kelian, Perlis. Cabaran ini bukannya untuk menguji ketahanan fizikal ahli persatuan semata-mata malahan mewujudkan rangkaian persahabatan dalam kepelbagaian aktiviti rekreasi yang dialami.

Kumpulan seramai 36 peserta ini dipecahkan kepada 6 kumpulan bagi memudahkan kegiatan aktiviti. Bertolak dari Sintok menuju ke Hutan Jelawang di Dabong, Kelantan. Kami berbesar hati kerana dijemput sendiri oleh penjaga gugusan 8 gunung di kawasan iaitu Allahyarham Pok De Baha. Pendakian bermula hingga ke Tapak Perkhemahan Baha. Di sepanjang pendakian, Allahyarham menerangkan pelbagai perkara di dalam hujan yang tidak nampak oleh mata kasar di samping petanda-petanda yang bakal berlaku berdasarkan gerak geri burung-burung di hutan berkenaan. Selepas makan tengah hari, kami di bawa ke Telaga Tujuh dan juga setiap peserta dimandikan oleh Allahyarham sendiri di dalam Kolam Tuan Puteri.
Keesokkannya, kami bangun dengan kedinginan hutan di tambah dengan desiran air terjun ketinggian hampir 900meter. Tapak perkhemahan berkenaan yang juga merupakan bahagian atas Air Terjun Jelawang. Dari situ, dapat dilihat matahari terbit dari posisi yang amat menarik serta dilengkapi dengan awan-awan yang berada di bahagian bawah. Kami sangat-sangat memuji kebesaran Ilahi dengan permandangan yang cukup mengagumkan berkenaan. Yang pastinya, hampir semua yang telah sampai ke sini tidak melepaskan peluang menyaksikan panorama berkenaan.Perjalanan kami diteruskan dengan menuju ke puncak Gunung Stong di ketinggian 1422 meter dari aras laut. Kumpulan peserta yang agak ramai ini agak perlahan jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain dan secara kebetulan kami berselisih dengan kumpulan kembara dari Kolej Pernas, Universiti Utara Malaysia pada ketika itu. Terdapat 8 gunung di gugusan ini iaitu Gunung Stong, Gunung Ayam, Gunung Baha (sempena nama Allahyarham Pok De Baha), Gunung Tera, Gunung Saji, Gunung Koh, Gunung Beirut, dan Gunung Che Tahir. Cabaran Pendekar II hanya mendaki satu gunung sahaja dari 8 gunung yang ada kerana kami akan melakukan aktiviti yang lain selepas pendakian gunung. Puncak Gunung Stong hanya cukup terhad dan lebih besar dari sebuah bilik tidur. Tamat mendaki, sengaja kami memilih untuk mandi di punca air dari laluan puncak gunung berkenaan hingga tiba semula ke tapak perkhemahan sekitar jam 8 malam.

Allahyarham Pok De Baha kerap kali memuji mana-mana kumpulan dari UUM berbanding institusi pengajian tinggi yang lain kerana mempunyai reputasi dan kesedaran yang amat tinggi terhadap alam sekitar dan sentiasa menjaga kebersihan dan pantang larang di dalam hutan. Mungkin itu adalah hasil dari taklimat pra perkhemahan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebelum mana-mana aktiviti luar kampus dijalankan.

Dari gunung kami ke laut dan apabila tiba di Dabong, pengangkutan telah sedia ada dan merupakan bas SKMK pada ketika itu dan kami di bawa terus ke Jerteh, Terengganu dan seterusnya menaiki bot ke Pulau Perhentian Besar. Tiba di sana, kami siapkan tapak perkhemahan serta makan malam pada malam berkenaan.
Keesokkannya, sebanyak 16 kayak dwi-kemudi berhadapan dengan cabaran seterusnya iaitu mengelilingi Pulau Perhentian Kecil. Bayangkan, kami menghadapi cabaran yang agak besar berhadapan dengan ombak tinggi di Laut China Selatan dengan latihan terhad iaitu hanya berkayuh di Tasik UUM dan kami bukanlah ahli Kelab Kenu. Alhamdulillah, cabaran tersebut berjaya diselesaikan walaupun hampir separuh peserta tidak dapat meneruskan kayuhan hingga penamat akibat mabuk laut.Pulau Perhentian cukup cantik dan mempersonakan dengan pasir halus yang memutih dan air yang jernih. Malamnya, kami mengisi dengan pelajaran kelas latihan mempertahankan diri.
Sesudahnya, bas membawa balik ke Kampus UUM dan memberi pengalaman yang cukup bermakna. Izzo dilantik sebagai bendahari projek pada ketika itu dan kos yang perlu di bayar oleh setiap peserta untuk semua aktiviti, makan-minum, pengangkutan serta bayaran khusus sepanjang seminggu aktiviti hanyalah RM30 seorang. Kos yang amat berpatutan dan sangat murah walaupun dibantu oleh RM500 oleh pihak HEP.

1 comment:

zamz said...

Arwah pak Baha dalam kenangan..

Al-fatihah...