Pulau pelancongan yang kecil dan terletak diantara Pulau Perhentian dan Pulau Redang ini tidak kurang hebat dek kerana kecantikan batu karang dan hidupan lautnya. Tanpa perlu menaiki mana-mana bot untuk aktiviti snorkelling dan menyelam kerana tapak snorkelling dan menyelam hanya di hadapan resort ini sahaja.
Dengan kemudahan yang ringkas dan berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan, Lang Sari Resort memang sesuai untuk sesiapa yang meminati pulau.
Izzo sempat berkayak dengan seorang rakan mengelilingi pulau kecil ini dengan masa kurang dari sejam tetapi agak bahaya kerana berhadapan dengan ombak besar di laut lepas. Sepanjang berkayak itu juga, banyak burung helang coklat dan putih yang singgah di pulau ini dan berkemungkinan terbang di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Mungkin disebabkan itu juga pulau ini disebut Pulau Lang Tengah.