Apabila memasuki tahun pertama, pelajar adalah digalakkan untuk menganggotai setiap persatuan/ kelab. Alhamdulillah, walaupun Izzo menyertai persatuan yang berasaskan seni beladiri, namun aktiviti luar persatuan berkenaan boleh menandingi mana-mana persatuan kembara sehingga di cemburui mungkin kerana komitmen oleh ahli serta pengurusan yang baik. Namun, kelas latihan dan pengajian seni beladiri adalah didahului sehinggakan hampir setiap masa terdapat jemputan untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan diri.
Kumpulan seramai 36 peserta ini dipecahkan kepada 6 kumpulan bagi memudahkan kegiatan aktiviti. Bertolak dari Sintok menuju ke Hutan Jelawang di Dabong, Kelantan. Kami berbesar hati kerana dijemput sendiri oleh penjaga gugusan 8 gunung di kawasan iaitu Allahyarham Pok De Baha. Pendakian bermula hingga ke Tapak Perkhemahan Baha. Di sepanjang pendakian, Allahyarham menerangkan pelbagai perkara di dalam hujan yang tidak nampak oleh mata kasar di samping petanda-petanda yang bakal berlaku berdasarkan gerak geri burung-burung di hutan berkenaan. Selepas makan tengah hari, kami di bawa ke Telaga Tujuh dan juga setiap peserta dimandikan oleh Allahyarham sendiri di dalam Kolam Tuan Puteri.
Perjalanan kami diteruskan dengan menuju ke puncak Gunung Stong di ketinggian 1422 meter dari aras laut. Kumpulan peserta yang agak ramai ini agak perlahan jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain dan secara kebetulan kami berselisih dengan kumpulan kembara dari Kolej Pernas, Universiti Utara Malaysia pada ketika itu. Terdapat 8 gunung di gugusan ini iaitu Gunung Stong, Gunung Ayam, Gunung Baha (sempena nama Allahyarham Pok De Baha), Gunung Tera, Gunung Saji, Gunung Koh, Gunung Beirut, dan Gunung Che Tahir. Allahyarham Pok De Baha kerap kali memuji mana-mana kumpulan dari UUM berbanding institusi pengajian tinggi yang lain kerana mempunyai reputasi dan kesedaran yang amat tinggi terhadap alam sekitar dan sentiasa menjaga kebersihan dan pantang larang di dalam hutan. Mungkin itu adalah hasil dari taklimat pra perkhemahan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebelum mana-mana aktiviti luar kampus dijalankan.
Dari gunung kami ke laut dan apabila tiba di Dabong, pengangkutan telah sedia ada dan merupakan bas SKMK pada ketika itu dan kami di bawa terus ke Jerteh, Terengganu dan seterusnya menaiki bot ke Pulau Perhentian Besar. Tiba di sana, kami siapkan tapak perkhemahan serta makan malam pada malam berkenaan.
Sesudahnya, bas membawa balik ke Kampus UUM dan memberi pengalaman yang cukup bermakna. Izzo dilantik sebagai bendahari projek pada ketika itu dan kos yang perlu di bayar oleh setiap peserta untuk semua aktiviti, makan-minum, pengangkutan serta bayaran khusus sepanjang seminggu aktiviti hanyalah RM30 seorang. Kos yang amat berpatutan dan sangat murah walaupun dibantu oleh RM500 oleh pihak HEP.
1 comment:
Arwah pak Baha dalam kenangan..
Al-fatihah...
Post a Comment