Tujuan ke KLIA adalah untuk menyambut saudara terdekat yang baru pulang dari mengerjakan Umrah dari Tanah Suci. Pastinya ketibaan mereka di KLIA adalah di aras 3, salah satu daripada bangunan kebanggaan Malaysia. Di Balai Ketibaan juga dapat dilihat suasana gembira, seronok dan masing-masing bersalaman dan berpelukan serta ada juga yang menangis kegembiraan kerana mereka dipertemukan kembali. Suasana seperti ini juga banyak dinanti-nantikan oleh sesiapa sahaja yang menghitung hari menanti ketibaan atau kepulangan seseorang.
Berbeza dengan Aras 5 di KLIA, kerana disini dapat dilihat lebih banyak adegan sedih berbanding gembira kerana ramai yang memendam rasa, menahan sebak, dan ada juga yang menangis kerana terpisah sama ada si penghantarnya mahupun penumpang pesawat. Perkara sebegini tidak hanya tberlaku di KLIA sahaja tetapi mungkin di mana-mana sahaja tempat yang menyaksikan detik pertemuan dan perpisahan yang berlaku.
Berbalik kepada kisah di sebalik Izzo menunggu kepulangan saudara di KLIA, ada satu perasaan yang agak menyentuh perasaan Izzo apabila terlihat dan menyaksikan sendiri kejadian terbabit. Pesawat yang dinaiki kumpulan Umrah berkenaan mengalami kelewatan 1 jam dan Izzo mengambil keputusan untuk berlegar-legar sementara waktu di KLIA termasuk di Aras 5 yang menempatkan anjung tinjau. Tetapi cuaca yang jerubu kurang menarik untuk melihat permandangan pesawat di tarmac serta di bangunan satelit dan Izzo berpindah semula ke Aras 3 di Balai Ketibaan Dalam Negeri.
Di sini, keadaannya tak sebegitu ramai pengunjung berbanding Balai Ketibaan Antarabangsa yang terletak bersebelahannya yang kebanyakannya lebih ramai penyambut berbanding penumpang. Ini tidak termasuk mereka yang bertugas dengan agensi pelancongan, agen sewa kereta, pihak hotel dan tidak terkecuali ulat-ulat yang masih berkeliaran yang mengambil kesempatan terhadap pelancong asing terutamanya warga Eropah dan Asia Barat.
Di Balai Ketibaan Dalam Negeri juga, Izzo sempat menyaksikan ragam kehidupan warga Malaysia yang di sambut oleh pihak keluarga mahupun pihak organisasi untuk mereka yang menjalankan tugas rasmi. Selama menunggu, secara tidak sengaja, sempat memperhatikan sebahagian adegan disini. Sebahagiannya di jemput, sebahagiannya berjalan terus mencari teksi, ERL mahupun bas. Sebahagiannya sempat membeli-belah di saat-saat akhir.
Ada juga anak perempuan yang dijemput oleh keluarganya beramai-ramai yang barangkali pulang dari Kuching. Di ciumnya tangan ayah ibunya dan ahli keluarga yang lainnya satu persatu dengan penuh hormat. Ada lelaki yang amat sibuk sebaik tiba, bahkan langsung tidak berusaha untuk memberhentikan perbualan melalui telefonnya walaupun sudah bertemu dengan seorang wanita yang menjemputnya (isterinya? kekasihnya?). Mukanya tanpa riak wajah dan kelihatan seperti biasa seolah-olah sangat tidak menghargai penjemputnya. Ada juga wanita yang agak berusia di jemput pemandunya dan terus memberi buah tangan kepada pemandu tersebut dengan kata-kata “ini saya belikan untuk you”. Paling banyak yang dapat dilihat adalah dijemput pasangan masing-masing sambil bersalaman, mencium tangan dan berpelukan sebagaimana adat Melayu di Malaysia ini.
Agak lama juga Izzo menghabiskan masa menyaksikan ragam kehidupan di balai ketibaan walaupun hanya untuk dalam negeri. Tiba-tiba ada sedikit drama yang berlaku hanya berhadapan barisan kerusi yang menghadap Izzo. Ada seorang lelaki yang dijemput oleh seorang wanita yang turut membawa kanak-kanak dalam lingkungan usia 2 tahun. Lelaki berkenaan dengan wajah yang agak gusar menghulurkan salam kepada wanita berkenaan an dicium tangan lelaki tersebut oleh wanita berkenaan tetapi tidak pula diciumnya.
Lelaki : Kamu apa khabar?
Wanita : Biasa saja.
Agak lama berhenti perbualan mereka dan terdapat linangan air mata oleh lelaki berkenaan.
Wanita : Abang, jangan macam ni. Saya dah lama menunggu abang.
Lelaki : Dah 3 tahun berlalu.
Wanita : Salam abah (menyuruh anaknya bersalam dengan bapanya)
Tetapi mukanya sangat seolah-olah menahan kesedihan yang terpendam dan tidak sama sekali difahami oleh anak kecil berkenaan. Tiba-tiba anak kecil berkenaan menangis dalam pelukan bapanya. Mungkin anak kecil tersebut belum membiasakan diri dengan bapanya.
Wanita : Kak Na apa khabar?
Lelaki : Baik, baru lepas pantang.
...........(Izzo tak ingat sebab panjang sangat)
Lelaki : Maaf dik, terpaksa dengar masalah kami ni.
Izzo : Mmmm. Takpa bang.
Banyak kisah peribadi yang Izzo dengar dan membuat kesimpulan, berkemungkinan lelaki berkenaan dari Kuching dan mempunyai isteri pertamanya di sana serta tidak berjumpa dengan isteri keduanya di Kuala Lumpur lebih 3 tahun.
* * *
Agak melankolik drama depan mata Izzo walaupun dalam jangkamasa yang aga singkat, terdapat mainan emosi yang mendalam walaupun waktu singkat. Secara tidak sengaja seseorang boleh bertindakbalas dan menunjukkan warna karakter dirinya dan kisah hidupnya walaupun orang yang tidak dikenali.
Ok, mungkin kisah ini tidak sebegitu dramatik. Tetapi yang pasti ada sesuatu yang Izzo dapat disana, iaitu sedikit cerita tentang kisah dan sifat manusia biasa.
Izzo – masih tak lupa anak kecil tersebut memanggil Izzo sebagai “Abah”
No comments:
Post a Comment