Izzo bersama ibu dan ayah menghabiskan masa hampir 3 jam di sini dan nyata masih belum cukup untuk mengenal dengan terperinci segenap sudut struktur binaan monumen yang terdapat di situ. Tidak dapat dinafikan, cuaca panas terik di Kuala Terengganu menyebabkan lawatan di Taman Tamadun Islam agak terbatas. Tambahan lagi, kami hanya berjalan kaki untuk melihat monumen dengan lebih dekat.
Terdapat 21 struktur binaan yang terkenal dari 20 buah negara. Namun hanya beberapa monumen sahaja yang dilengkapi dengan sudut interaktif dan diperjelaskan dengan lebih terperinci.
Izzo meminati rekabentuk Masjid Badshahi dari Pakistan yang dibina pada tahun 1673 ini. Struktur Masjid ini mengingatkan Izzo kepada Jama' Masjid yang terdapat di Old Delhi, India yang kelihatan hampir sama. Mungkin pembinaannya bermula pada zaman kegemilangan Moghul pada ketika itu dan penyebaran Islam di Pakistan dan Utara India. Malangnya, replika Masjid Badshahi ini tidak mempunyai ruang interaktif kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih terperinci di situ.
Tidak dapat dinafikan, Masjidil Haram di Mekah sememangnya cukup indah dan dikagumi kerana ini menjadi Kiblat untuk umat Islam bermula zama Nabi Ibrahim A.S. Lambaian Kaabah yang sentiasa menggamit kehadiran Umat Islam membuat hati berasa sayu apabila menatapnya dengan lebih dekat walaupun hanya sekadar tayangan video dan sudut interaktif yang terdapat di replika berkenaan.
Beberapa binaan lain yang turut menarik perhatian Izzo adalah Masjid Sulaiman atau dikenali sebagai "Masjid Biru" dari Turki yang terkenal pada zaman Turki Othmaniah. Di Turki, biasan dari langit serta air Laut Aegea menampakkan Masjid tersebut kelihatan sentiasa berwarna biru.
Alhambra, dari Sepanyol yang dibina pada zaman kesultanan Moorish turut menarik perhatian kerana disini menjadi tapak tamasun Islam di benua Eropah satu ketika dahulu. Asalnya adalah untuk kubu dan Istana serte turut dibina Masjid di kota berkenaan. Dinding-dinding dalaman dipenuhi ‘stucco calligraphy’ kalimah-kalimah memuji Illahi. Entah bila agaknya Izzo berpeluang untuk menjelajahi bumi Andalusia ini.
No comments:
Post a Comment