Tuesday, January 5, 2010

Kemuncak Tahun Baharu 2010

"Apa azam tahun baharu?"
Persoalan yang biasa ditanya dan perlu dijawab pada hujung tahun sebelumnya atau pada awal tahun semasa. Namun bagi Izzo, jawapan untuk azam berkenaan telah dijawab dan dilaksana seawal hari pertama lagi iaitu 1 Januari 2010. Azam untuk mendaki Gunung Datuk terlaksana pada hari berkenaan. Walaupun Gunung Datuk tidak setinggi mana dan bukan juga termasuk di kalangan 7 gunung yang melebihi 7,000 kaki dari aras laut di Semenanjung Malaysia ini, namun permandangan mengadap matahari terbenam dari gunung ini meruntun perasaan dan kagum dengan ciptaan Allah S.W.T.


Izzo mendaki bersama 7 rakan yang lain dan bermalam hanya beberapa meter dari puncak gunung tersebut. Pendakian tengah hari 1 Januari 2010 selama 3 jam dengan berhenti rehat entah berapa kali memaksa kami membawa bekalan makanan termasuk minuman memandangkan sumber air agak jauh dari tapak perkhemahan. Alah bisa tegal biasa, pendakian lancar walaupun berselisih dengan ramai pendaki yang naik turun gunung tersebut dalam satu hari.
Tiba di tapak perkhemahan, kami menyiapkan khemah, dan mendaki beberapa anak tangga yang disediakan untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Permandangan mengadap Selat Melaka agak kabur sekitar jam 4 petang dengan awan tebal dan sarat dengan ion ion untuk menurunkan hujan.

Puas bergambar dan berseronok ketika di puncak, saat-saat meruntun jiwa dialami oleh beberapa anggota dalam kumpulan kerana mereka secara paksa rela menuruni tangga yang hampir 90darjah tegaknya. Dengan linangan air mata, mahu tidak mahu mereka terpaksa juga menuruni tangga tersebut. Rasanya tidak perlu untuk dimuatnaik gambar saat-saat meruntun jiwa tersebut.


Selesai persiapan untuk makan malam perut masih belum sedia untuk menerima makanan memandangkan sepanjang perjalanan, makan makanan ringan tanpa henti. Lantas memilih untuk ke puncak semula untuk menyaksi matahari terbenam. Awan masih tebal dan gerimis kesan hujan perolakan dirasai. Ikutkan perasaan mahu Izzo terus tidur di puncak pada malam itu namun hujan turun dengan tidak sebegitu lebat dan angin yang agak kencang, dan akhirnya terpaksa juga untuk turun ke kawasan khemah.



Deruan angin agak kencang pada malam berkenaan namun tidak sesejuk yang disangkakan. Cuma tidur agak tidak lena berikutan suasana bising di khemah wanita di sebelah yang tak habis-habis berborak. Sentri dalam khemah agaknya mereka ni. Ketika itu juga beberapa pendaki yang lain turut tiba.

Selesai sarapan pagi, masing-masing masih ada keinginan untuk ke puncak semula walaupun sedar insiden titisan air mata akan berlaku lagi. Namun semangat dan kegigihan membatasi segala-galanya. Permandangan dari puncak pada awal pagi lebih jelas kelihatan terutamanya Selat Melaka. Awan kulumus putih yang berarak di bawah kami kelihatan tenang dan mendamaikan.



Jam 9 pagi, kami mulai turun dari tapak perkhemahan menuju parkir. Ya, kebiasaan berlaku, penat ketika naik dan sakit ketika turun memang benar. Selaku barisan paling belakang, Izzo ditugaskan untuk membantu mana-mana yang patut. Sekali lagi, semangat salah seorang ahli kumpulan yang menghadapi masalah sakit kaki yang melampau terpaksa juga gagahi untuk turun dari Gunung Datuk. Walaupun mengambil masa 3 jam, kami selamat juga sampai. Biar lambat asal selamat. Yang penting beliau tiba dalam keadaan baik walaupun 3 kali tergelincir sewaktu menurun. Sakit kaki pada waktu itu dianggap perkara biasa bagi beliau.

Jadi, itulah azam tahun baharu 2010 bagi Izzo yang telah dilaksanakan seawal hari pertama. Walaupun ringkas, sederhana tetapi itulah yang menjadi titik permulaan untuk perjalanan sepanjang tahun ini.

1 comment:

zamz said...

YEPS... VIEW MALAM DIPUNCAK DATUK MMG MARBELES...