Showing posts with label Thailand. Show all posts
Showing posts with label Thailand. Show all posts

Wednesday, February 9, 2011

Bukit Kayu Hitam-Danok-Hatyai-Songkla-Sadao-Padang Besar

Buat kali kelima Izzo ke membuat lawatan ke tempat ini. Dahulunya menaiki bas, menaiki van sewa, menaiki keretapi tetapi kali ini memandu sendiri ke Thailand.

Caranya mudah, pertamanya kita perlu memiliki pasport atau pas sempadan kepada sesiapa yang dilahirkan di Perlis, Kedah, Perak atau Kelantan. Keduanya, geran Kenderaan sama ada yang asal atau salinan. Ketiganya, insurans kenderaan yang boleh diperolehi di mana-mana ejen di Changloon atau Bukit Kayu Hitam yang berharga sekitar RM10-20 berdasarkan jangka masa berada di Thailand dan keempat, pastikan pemilik kenderaan ada bersama dalam perjalanan tersebut. Ini bagi mengelakkan kenderaan yang dipandu tersebut adalah kenderaan curi untuk diperdagangkan di Thailand.

Walaupun ayahanda dan bonda dilahirkan di Kedah, namun mereka memiliki pasport dan wajarlah untuk terus dicopkan pasport tersebut tanpa perlu membuat pas sempadan.
Pemandu dinasihatkan agar untuk mengisi penuh petrol di Malaysia kerana harga RON95 di Thailand adalah hampir 36Baht atau RM3.80 untuk satu liter berbanding di Malaysia hanya RM1.90 satu liter. Berganda harganya kerana harga bahan api RON95 di Thailand adalah berdasarkan pasaran semasa dan tidak diberi subsidi oleh Kerajaan Thailand. Namun, tak banyak pilihan stesen minyak di sekitar Changloon dan Bukit Kayu Hitam. Stesen minyak Petronas sedang dibaiki dan Izzo memasuki Thailand dengan minyak separuh tangki.
Prosesnya mudah sahaja untuk keluar dari Malaysia, kerana melalui 2 kawalan iaitu imigresen dan polis. Memasuki Pos kawalan sempadan di Danok, Thailand agak rumit namun disebabkan ayahanda dalam kategori OKU, keistimewaan turut diberikan. Semua perlu turun kecuali ayahanda untuk kawalan pasport. Kemudian pendaftaran kastam untuk kenderaan. Kami tidak perlu melalui kawalan lorong kastam untuk pemeriksaan kerana tiada apa barang untuk diperiksa sedangkan pemandu yang lain membuka ruang letak barang di kenderaan masing-masing untuk diperiksa.


Izzo meneruskan pemanduan ke Hatyai kira-kira 40 minit dari Danok. Ini merupakan pengalaman pertama memandu di Thailand. Lebuhraya 4 lorong adalah percuma tanpa sebarang tol namun pemandu terpaksa berkongsi dengan anjing, kuda, gajah, motorsikal yang bertentangan laluan serta pejalan kaki yang melintasi lebuhraya. Itu tidak termasuk dengan lori yang membawa barang-barang lebih muatan dan memandu sesuka hati dengan perlahan di lorong laju. Itu semua keunikan lebuhraya di Thailand tapi percuma.


Haytai memang ramai pengunjung dari Malaysia. Tambahan lagi cuti panjang. Maka berduyun-duyun rombongan makcik-makcik ke Thailand untuk membeli-belah. Disebabkan Hatyai kurang mesra OKU, ayahanda hanya berada di lobi hotel dan mengurus kaki sepuas hatinya. Kami bertiga meredah kepanasan bumi Selatan Thailand sambil menjinjing plastik. Banyak tempat yang dilalui untuk membeli belah ini termasuk bahan makan. Ada beberapa peniaga mampu berbahasa Melayu dengan baik. Ada yang hanya menunjukkan harga di kalkulator sahaja.
Walaupun ada beberapa barang yang diperlukan tiada di jual di Hatyai namun kami akan ke sempadan Malaysia untuk memperolehinya ketika pulang kelak.


Lantas diteruskan perjalanan ke Songkla yang memakan masa kira-kira 30 minit dari Hatyai dan menikmati angin Laut China Selatan di Pantai Samila dan Chalatat. Yang terkenal di sini adalah Patung Ikan Duyung yang mempunyai mitos pernah terdampar situ. Termasuk juga kucing yang ditakutkan oleh tikus seumpama cerita kartun Tom and Jerry. Lagenda dongeng naga yang yang terpisah kepala badan dan ekornya turut dilihat walaupun hanya patung sahaja.


Perjalanan balik semula ke Hatyai melalui lebuhraya lain dan Izzo terpaksa mengisi petrol di Thailand. Maaf, tiada Petronas di wilayah Songkla ini. WRQ 2000 terpaksa disi dengan minyak Siam.

Balik semula ke Malaysia, Izzo memilih untuk ke Padang Besar, Perlis melalui pekan Sadao. Thailand juga mempunyai Bandar yang bernama Padang Besar yang turut bersempadan dengan Malaysia. Kali ini, kawalan di Malaysia pula lebih ketat kerana melalui Imigresen, pemeriksaan kastam, kawalan kuarantin dan juga Polis dan JPJ serta Unit Pencegah Penyeludupan beberapa kilometer selepas sempadan. Banyak sungguh kawalan namun hakikatnya masih banyak yang terlepas dan dibawa masuk ke sini.

Friday, June 18, 2010

Phi Phi


Cuaca panas sepanjang hari dan Izzo bersedia sekali lagi untuk membakar kulit-kulit agar lebih kelihatan gelap. Kulit terbakar sebagai bukti untuk Izzo menjejakkan kaki ke mana-mana pulau.
Walaupun dikatakan "low season" tetapi pengunjung asing terutamanya berkulit putih agak ramai ke Pulau Phi Phi yang terletak 1 jam 40 minit menaiki bot persiaran dari Jeti di Phuket.

Ada yang memilih untuk bercuti dalam sehari dan ada juga yang memilih untuk menginap di Phi Phi beberapa malam terutamanya backpacker.

Gugusan pulau batu kapur di sekitar kepulauan tersebut tidak jemu dipandang kerana dengan gambaran yang jelas dan lebih kreatif, kita boleh sendiri untuk melihat gambaran dan bayangan bentuk fizikal seperti helang, buaya mahupun penyu. Namun itu semua bergantung kepada pandangan masing-masing. Paling istimewa, Izzo ke sana bersama isteri tercinta.

Sempat melakukan aktiviti snorkelling walaupun hidupan tidak sebegitu cantik untuk dibandingkan dengan dasar laut Redang, Perhentian, mahupun Sipadan. Selesai snorkelling, kami bersantai di Phi Phi sambil menyaksikan sampan-sampan tradisional berekor panjang yang terkenal mendarat, kesan tsunami yang masih terdapat di sana serta Teluk Maya yang sememangnya cukup mempersonakan. Walaupun cuaca amat panas, sememangnya ramai pengembara berkulit putih bermandikan cahaya matahari untuk menggelapkan kulit masing-masing.
sesi bakar kulit

Pengalaman yang indah serta disajikan keindahan alam semulajadi yang cukup cantik walaupun sehari.

Tuesday, June 15, 2010

Patong @ Phuket

Pantai Patong di Phuket yang mengadap Laut Andaman ni sepanjang 3 km. Ombak yang agak tinggi dari pagi hingga ke petang dan sesuai untuk surfing, paragliding, jet ski, banana boat dan macam-macam lagi.

Aksi Bungy Jumping lagi

Gambar yang tak jelas untuk aksi lompatan bungy kali ke-3 yang Izzo lakukan di Bungy World, Patong di Phuket Thailand. Rasa semakin seronok walaupun berhadapan dengan adrenalin yang tinggi. Dua tahun lepas di Pantai Legian, Bali berat Izzo pada ketika itu 66kg dan waktu ni masih sama beratnya. Maka ia tercatat jelas pada tangan tu.

Dengan ketinggian 60 meter, pengalaman menaiki kren kali ini lebih teruja kerana disaksikan sendiri oleh insan tersayang. Darah gemuruh tetap ada dan itu dianggap adalah normal.

sesi ikat kaki
melompat ke kren
darah masih normal
up up away

menuju ke ketinggian 60 meter
aaaaa

Untuk mendapatkan permandangan dan pengalaman yang lebih menarik, perlu menghadap Laut Andaman dan Pantai Patong dan hayatilah keindahannya. Jangan pandang bawah ketika melompat
hampir mencecah bumi
cuba untuk sentuh bayang sendiri
Lantunan sebanyak 4 kali sebelum mencapai galah yang dihulur oleh petugas lompatan. Aksi lompatan memang puas hati walaupun sedikit hampa dengan hasil gambar yang diambil. huhu

Thursday, June 5, 2008

Sambungan ke Haytai dan Songkla

Perjalanan menaiki KTMB dari Arau ke Hatyai sebenarnya hanya memakan masa 2 jam 30 minit termasuk urusan imigresen. Namun sudah menjadi kezaliman dalam pengurusan KTMB walaupun negara sudah mencapai 50 tahun merdeka, kelewatan tetap juga berlaku. Bukan sahaja pada tarikh berkenaan sahaja namun hampir tiap-tiap hari. Di mana silapnya KTMB? Di mana silapnya Kementerian Pengangkutan? Mungkin juga rakyat sudah bosan dengan perkara kecil sebegini dan beralih kepada pentadbiran yang baru. Keretapi yang sepatutnya tiba jam 1120 waktu Malaysia di Hatyai tiba jam 240 petang. Kelewatan lebih dari 3 jam.

Hatyai merupakan bandar di selatan Thailand. Mungkin ramai yang sudah sampai ke sini dan mengingatkan kembali saman belajar di UUM Sintok dahulu kepada lawatan dan sukan IMT-GT di Thaksin University.

Pada hari yang sama, perjalanan dengan van ke Bandar Songkla yang mengadap Teluk Thailand mengambil masa 40 minit. Songkla terkenal dengan Pantai Samila di mana tugu duyung yang terdapat di situ. Asalnya warna keemasan, namun akibat air laut yang masin patung berkenaan bertukar menjadi gangsa. Cuaca yang tidak mengizinkan untuk terus menyelongkar bandar Songkla dan terus balik semula ke Hatyai pada hari yang sama.




Malam di Hatyai seperti biasa. Aktiviti beli-belah dan urut-mengurut paling popular. Rata-rata pelancong asing datangnya dari Malaysia. Komuniti Islam dan Melayu di Hatyai serta kawasan selatan Thailand yang lain seperti biasa dan masih mempunyai sebahagian besarnya sama seperti Melayu-Islam di utara semenanjung serta Kelantan.