
Caranya mudah, pertamanya kita perlu memiliki pasport atau pas sempadan kepada sesiapa yang dilahirkan di Perlis, Kedah, Perak atau Kelantan. Keduanya, geran Kenderaan sama ada yang asal atau salinan. Ketiganya, insurans kenderaan yang boleh diperolehi di mana-mana ejen di Changloon atau Bukit Kayu Hitam yang berharga sekitar RM10-20 berdasarkan jangka masa berada di Thailand dan keempat, pastikan pemilik kenderaan ada bersama dalam perjalanan tersebut. Ini bagi mengelakkan kenderaan yang dipandu tersebut adalah kenderaan curi untuk diperdagangkan di Thailand.
Walaupun ayahanda dan bonda dilahirkan di Kedah, namun mereka memiliki pasport dan wajarlah untuk terus dicopkan pasport tersebut tanpa perlu membuat pas sempadan.
Pemandu dinasihatkan agar untuk mengisi penuh petrol di Malaysia kerana harga RON95 di Thailand adalah hampir 36Baht atau RM3.80 untuk satu liter berbanding di Malaysia hanya RM1.90 satu liter. Berganda harganya kerana harga bahan api RON95 di Thailand adalah berdasarkan pasaran semasa dan tidak diberi subsidi oleh Kerajaan Thailand. Namun, tak banyak pilihan stesen minyak di sekitar Changloon dan Bukit Kayu Hitam. Stesen minyak Petronas sedang dibaiki dan Izzo memasuki Thailand dengan minyak separuh tangki.
Prosesnya mudah sahaja untuk keluar dari Malaysia, kerana melalui 2 kawalan iaitu imigresen dan polis. Memasuki Pos kawalan sempadan di Danok, Thailand agak rumit namun disebabkan ayahanda dalam kategori OKU, keistimewaan turut diberikan. Semua perlu turun kecuali ayahanda untuk kawalan pasport. Kemudian pendaftaran kastam untuk kenderaan. Kami tidak perlu melalui kawalan lorong kastam untuk pemeriksaan kerana tiada apa barang untuk diperiksa sedangkan pemandu yang lain membuka ruang letak barang di kenderaan masing-masing untuk diperiksa.
Izzo meneruskan pemanduan ke Hatyai kira-kira 40 minit dari Danok. Ini merupakan pengalaman pertama memandu di Thailand. Lebuhraya 4 lorong adalah percuma tanpa sebarang tol namun pemandu terpaksa berkongsi dengan anjing, kuda, gajah, motorsikal yang bertentangan laluan serta pejalan kaki yang melintasi lebuhraya. Itu tidak termasuk dengan lori yang membawa barang-barang lebih muatan dan memandu sesuka hati dengan perlahan di lorong laju. Itu semua keunikan lebuhraya di Thailand tapi percuma.
Haytai memang ramai pengunjung dari Malaysia. Tambahan lagi cuti panjang. Maka berduyun-duyun rombongan makcik-makcik ke Thailand untuk membeli-belah. Disebabkan Hatyai kurang mesra OKU, ayahanda hanya berada di lobi hotel dan mengurus kaki sepuas hatinya. Kami bertiga meredah kepanasan bumi Selatan Thailand sambil menjinjing plastik. Banyak tempat yang dilalui untuk membeli belah ini termasuk bahan makan. Ada beberapa peniaga mampu berbahasa Melayu dengan baik. Ada yang hanya menunjukkan harga di kalkulator sahaja.
Walaupun ada beberapa barang yang diperlukan tiada di jual di Hatyai namun kami akan ke sempadan Malaysia untuk memperolehinya ketika pulang kelak.
Lantas diteruskan perjalanan ke Songkla yang memakan masa kira-kira 30 minit dari Hatyai dan menikmati angin Laut China Selatan di Pantai Samila dan Chalatat. Yang terkenal di sini adalah Patung Ikan Duyung yang mempunyai mitos pernah terdampar situ. Termasuk juga kucing yang ditakutkan oleh tikus seumpama cerita kartun Tom and Jerry. Lagenda dongeng naga yang yang terpisah kepala badan dan ekornya turut dilihat walaupun hanya patung sahaja.

Perjalanan balik semula ke Hatyai melalui lebuhraya lain dan Izzo terpaksa mengisi petrol di Thailand. Maaf, tiada Petronas di wilayah Songkla ini. WRQ 2000 terpaksa disi dengan minyak Siam.
Balik semula ke Malaysia, Izzo memilih untuk ke Padang Besar, Perlis melalui pekan Sadao. Thailand juga mempunyai Bandar yang bernama Padang Besar yang turut bersempadan dengan Malaysia. Kali ini, kawalan di Malaysia pula lebih ketat kerana melalui Imigresen, pemeriksaan kastam, kawalan kuarantin dan juga Polis dan JPJ serta Unit Pencegah Penyeludupan beberapa kilometer selepas sempadan. Banyak sungguh kawalan namun hakikatnya masih banyak yang terlepas dan dibawa masuk ke sini. 
1 comment:
seronok shopping & mengurut kaki !
Post a Comment