Showing posts with label Balik Kampung. Show all posts
Showing posts with label Balik Kampung. Show all posts

Sunday, November 29, 2009

Biru Tengah Sawah

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Syukur, Adidiladha datang lagi. Tapi sambutan kali ini Izzo balik ke rumah kekanda Azizah di Arau Perlis dan langsung membantu beliau menunaikan ibadah korban. Cuti singkat, Izzo hanya menaiki pengangkutan awam iaitu menaiki bas dan balik semula ke KL menaiki keretapi.

Wednesday, January 28, 2009

3 jam di Pulau Pinang


Tujuan asal untuk menziarahi saudara terdekat dan walaupun masa yang terhad di Pulau Pinang sempat juga singgah di tempat yang menjadi kelaziman Izzo di sana. Ayah lebih menyukai Nasi Kandar Kasim Mustafa di Jalan Kapitan Keling manakala Izzo pula lebih memilih Nasi Kandar Line Clear di Jalan Pinang. Berbeza pula citarasa 2 orang anak mamak ni. Di mana lagi nak rasa kelazatan Nasi Kandar jika tidak di Pulau Pinang. Masakan tidak, sebab Atlas Nusantara pun membuat rencana berkaitan nasi kandar ni.


Tiba di Pulau Pinang pada jam 4 petang dan sempat melawat saudara di Jalan Macalister, Izzo turut melihat suasana terkini di sekitar Persiaran Gurney dan terus ke Jalan Pinang dan Jalan Kapitan Keling. Tapi sangkaan meleset kerana Izzo menjangkakan jalan sesak sekitar jam 5-6 tetapi pada waktu tersebut, jalan cukup lengang dan cepat untuk sampai ke tempat di tuju.




Aktiviti menyeronokkan di Perlis


Mungkin kelihatan seperti mandi lumpur tetapi mereka ini sebenarnya menangkap ikan sepat yang sedap digoreng dan juga dibuat ikan pekasam serta ikan haruan untuk dijadikan ikan masin atau dimasak asam pedas. Tak hairan, banyak permintaan terhadap ikan pekasam yang diperolehi oleh petani ini sewaktu musim menangkap ikan sepat. Banyak ikan sepat dan ikan haruan di dapati selepas musim menuai.

Bagi Izzo, aktiviti ini jarang dilihat dan seronok melihat gelagat dan karenah kanak-kanak terutamanya terjun ke dalam lumpur untuk menangkap ikan tersebut. Mungkin agak asing bagi Izzo yang dibesarkan bersama kelapa sawit.

Tambahan lagi, apabila musim menuai di Perlis pada awal tahun, waktu ini juga adalah musim kering dan musim tiupan Angin Timur "Winter Wind". Banyak juga burung ayam-ayam, gelam, wak-wak, puchong dan tiruk serta spesis burung lain yang tersangkut di jaring di tengah-tengah sawah. Sedap untuk dimasak gulai atau digoreng kunyit kerana rasanya cukup rangup. Burung-burung ini hanya wujud dan berterbangan ketika musim Angin Timur sahaja di Perlis.
Dari segi kuantiti, burung ini semakin bertambah dari tahun ke tahun dan tidak kelihatan seperti akan pupus. Izzo tidak pasti penangkapan burung-burung ini boleh disabitkan kesalahan ataupun tidak. Tapi yang penting, burung-burung ini semakin banyak terbang dan kelihatan setiap tahun apabila musim tiupan Angin Timur.

Saturday, January 24, 2009

1 hari 6 negeri

16 Januari 2009

Laluan Bukit Goh - Neram - Bukit Besi - Kuala Berang - Sg. Tong - Pasir Putih - Baling - Sik -Gurun - Jitra - Arau ini menjadi laluan biasa yang Izzo guna untuk balik ke Utara Semenanjung Malaysia dari Kuantan. Tak terkira banyaknya Izzo mengikuti dan memandu di laluan ini dan sebaliknya. Perjalanan biasa yang diambil adalah selama 10 jam dan merupakan laluan alternatif selain laluan popular iaitu Kuantan - Kuala Lumpur - Jitra dengan melalui LPT dan PLUS.

Banyak sebab memilih laluan ini kerana;
1. Menghilangkan mengantuk apabila memandu di lebuhraya yang terlalu lama;
2. Menjimatkan kerana mengurangkan perbelanjaan tol;
3. Melalui kawasan yang lebih indah;
4. Lebih banyak pilihan untuk berhenti;
5. Jarak yang hampir sama dengan laluan utama.


6 negeri yang dimaksudkan adalah bermula Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan seterusnya berakhir di Perlis. Perjalanan bermula seawal 630 pagi dengan isian minyak penuh dan sarapan di Kg. Tengkawang, Kuala Berang pada jam 830 pagi.


Perjalanan diteruskan hingga singgah seketika di pusat membeli-belah Bukit Bunga di Jeli, Kelantan dan mengisi minyak semula di Jeli sebelum merentasi Banjaran Titiwangsa, Hutan Di Raja Belum, Tasik Temenggor, Pulau Banding di Laluan No.4 Jalanraya Persekutuan.

Mungkin pengguna yang biasa di Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak singgah di Stesen Minyak Petronas, Pulau Banding tetapi mulai 1 Januari 2009, stesen minyak tersebut diperbesarkan bagi menampung bilangan pengguna jalanraya yang semakin bertambah. Entah bila akan siap pembesaran berkenaan. Sekadar peringatan kepada mereka yang biasa singgah di stesen tersebut, pastikan minyak kenderaan anda mengcukupi sebelum menggunakan laluan ini.


Izzo bersama mak dan ayah singgah makan tengah hari di Hentian Perah, Gerik Perak pada jam 12.30 tengah hari. Kami meneruskan perjalanan melalui Baling, Parit Panjang, Sik, Jeniang, Gurun dan terus memasuki Lebuhraya Utara Selatan hingga ke pekan Napoh kemudiannya menghala ke Padang Sera, Arau dan berakhir di Tambun Tulang dengan padi yang masak menguning di sekeliling.



Entah kenapa lancar dan selesanya perjalanan kali ini kerana hanya mengambil masa 9 jam sahaja kerana tiba di Arau pada 3.35 petang. Alhamdulillah, kami Subuh di Kuantan dan masih sempat solat Zohor di Arau.

Saturday, May 31, 2008

Cuti 10 Hari Di Utara Semenanjung

Dengar macam lama cuti tersebut tapi sekejap sahaja sebenarnya. Cuti kali ini membawa kepada Izzo ke utara semenanjung, Langkawi dan seterusnya bersambungan ke wilayah selatan Thailand.

R & R Tapah


Perjalanan bermula tepat jam 12.00 tengah malam menuju ke rumah kekanda Azizah di Arau dengan pemanduan hanya 5 jam 15 minit. Agak laju sebenarnya pemanduan dalam tempoh masa tersebut. Dengan tujuan asal untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga terdekat, namun cuti yang lama turut dihabiskan untuk tujuan sampingan yang lain.

Syahdu rasa hati dalam percutian sambil teringatkan serta rindu kepada seseorang. Sejurus tiba, permandangan padi yang menghijau di sekeliling rumah mengubat rasa rindu di hati ini. Suasana malam di Arau tidak seperti di Kuala Lumpur kerana bintang berkelipan jelas kelihatan pada waktu malam.

Tambun Tulang, Arau


Sebagaimana yang di rancang, tujuan ke Langkawi memang menemani bonda untuk membeli-belah terutama barangan bebas cukai. Buat pertama kalinya, akibat belian yang mungkin juga terlalu banyak, cukai kastam terpaksa dibayar.

Namun, pengajaran kali ini yang patut dipelajari, bateri kamera perlu mengcukupi. Terlepas peluang untuk bergambar di beberapa tempat yang menarik di sekitar Pulau Legenda Langkawi.

Ezzuan, Ieman & Sofian tidur dalam feri ke Langkawi