Bukit Malawati di bandar Kuala Selangor merupakan bandar lama dan juga menjadi titik sejarah kepada negeri Selangor. Di sini juga terdapat muzium Kuala Selangor, Balai Melihat Anak Bulan, Rumah Api, Batu Hampar serta Busut Malawati. Tapi awas, monyet-monyet liar yang agak nakal boleh mengusik anda. Izzo tak dapat nak meluangkan masa dengan agak lama kerana pada ketika itu hujan renyai-renyai turun yang boleh menyebabkan kepala menjadi pening-pening lalat.
Terletak hanya bersebelahan dengan Bukit Malawati, Taman Alam juga tak kurang hebatnya kerana di sini, kita boleh melihat banyak jenis burung yang hinggap di kawasan sekitarnya. Apa yang lebih menarik, jika cuaca mengizinkan kita boleh menyaksikan kumpulan-kumpulan burung yang terbang dalam misi mereka untuk berhijrah dari utara ke selatan dan sebaliknya berdasarkan musim. Banyak laluan terdapat di Taman Alam Kuala Selangor dan pengunjung boleh memilihnya. Memandangkan keadaan amat lecah dan keadaan lembab, mungkin banyak reptilia berbahaya keluar mencari mangsanya.
Kedua-dua tempat ini tiba-tiba menjadi popular di kalangan pelancong tempatan serta warga Belanda atas inisiatif agensi kerajaan yang terlibat membangunkan tempat ini. Tidak dapat dinafikan, tempat ini menjadi persinggahan kepada pengunjung yang ingin melawat Kelip-kelip di Kuala Selangor.
Petang itu juga apabila cuaca kembali reda, dengan niat sengaja untuk jalan-jalan di daerah Sabak Bernam, Izzo singgah di perkampungan nelayan Bagan Pasir yang tak jauh dari Tanjung Karang. Tempat ini menjadi pilihan pemancing sama ada di kolam yang disediakan, anak sungai dan juga persisir laut. Seronok melihat gelagat ramai pemancing di sini yang masing-masing cuba melontarkan mata kali mereka sejauh mungkin.
Kemuncaknya pada malam berkenaan, peluang untuk melihat kelip-kelip di Kuala Selangor semestinya menjadi agenda utama. Terdapat 2 tempat utama untuk melihat kelip-kelip di Kuala Selangor iaitu di Kg. Kuantan dan juga Kg. Bukit Belimbing.
Waktu paling ideal untuk melihat kelip-kelip adalah sejurus matahari terbenam kerana pada ketika itu, kelip-kelip pulang hinggap di pokok berembang untuk mencari makanannya. Untuk melihat kelip-kelip dengan sempurna juga, pastikan kita melihat kalendar Hijrah supaya untuk mengelakkan tengah bulan iaitu bulan penuh yang memungkinkan menjejaskan peluang melihat kelip-kelip. Tapi sayangnya, keadaan amat gelap, dan kelip-kelip alah kepada cahaya lampu termasuk sina lampu kamera, jadi tiada foto yang boleh dirakamkan kecuali pengalaman melihat puluhan ribu kelip-kelip di depan mata.
2 comments:
Hah...our (Kem. pelancongan) dulu...rindu nyer...nak balik MoTour laaaaaaa
*sorry..tertinggal...Projek KPL dulu...
Post a Comment