Friday, February 20, 2009

Tiada jiwa di Kota Medan

Tengah hari Sabtu, Izzo menaiki bot pulang dan tiba di Parapat pada 12.15 tengah hari dan seterusnya menyambung perjalanan ke Kota Medan dengan menaiki kenderaan yang telah di sewa khas pada jam 1.30 tengah hari. Secara kebetulan terdapat pasar harian di pekan tersebut. Perkara tidak di ingini sekali lagi berlaku diakibatkan kes penipuan kedua. Perjalanan terpaksa ditunda pada jam 2.30 petang sedangkan bilangan penumpang telah mengcukupi pada jam 1.30. Penumpang yang sepatutnya bertolak pada jam 1.30 telahpun bertolak. Alasan yang diberikan oleh pengusaha tersebut iaitu CV Raja Taksa Trans sangat tidak munasabah dan ternyata menipu kami. Tetapi, kami yakin kami tetap akan sampai juga ke Medan pada petang tersebut. Fikiran positif di otak kanan berfikir, itu hanya kelewatan walaupun disengajakan.

Tiba di Medan betul-betul di tempat penginapan yang dituju iaitu sekitar Mesjid Raya. Selepas mengharungi 4 jam setengah di dalam van dan menghantar kesemua penumpang lain ke tujuan masing-masing, keadaan memang memenatkan dan hari sudah pun gelap. Malam minggu di Medan di habiskan dengan melihat gelagat wargakota di sekitar Mesjid Raya.

Mesjid Raya, Medan


Tiada tujuan lain berada di Kota ini selain mendapatkan saguhati untuk dibawa pulang. Memandangkan hari berkenaan adalah hari minggu, tak banyak toko di buka. Seawal pagi kami ke Pasar Pusat untuk melihat gelagat peniaga di situ, namun tak banyak yang gelagat menarik yang ditemui. Kemudian berpindah ke Istana Maimoon, tempat bersejarah di kota ini yang menyaksikan ramai pariwisata Malaysia mengunjungi bangunan ini. Penipuan berlaku lagi ketika tiba di Istana berkenaan akibat pemandu beca meminta wang yang berlebihan dari apa yang patut kami bayar sewaktu rundingan harga sebelumnya. Tak pasal-pasal, pemandu berkenaan dimarahi oleh seseorang dan ditinggalkan begitu sahaja.

Selepas menikmati sarapan tengah hari pada jam 1030 pagi, kemudiannya berangkat ke Pasar Ikan Lama untuk membeli-belah. Walaupun namanya Pasar Ikan, tetapi tiada seekor pun ikan yang dijual sebaliknya syurga kepada wanita untuk membeli pakaian serta kelengkapan rumah. Hampir 85% pengunjung adalah dari Malaysia di Pasar Ikan Lama ini. Sesudahnya, kami hanya berjalan kaki ke Sun Plaza. Menghabiskan masa selama hampir 2 jam di kafe J.Co di gedung membeli-belah itu, kami seterusnya ke Merdeka Walk pula dengan harapan mencari kraftangan dari Medan namun jawapannya tetap hampa. (Kraftangan dikenali sebagai "Kerajinan Tangan" dalam Bahasa Indonesia). Akibatnya sekali lagi, Izzo dan rakan-rakan menghabiskan masa di Pizza Hut hampir 2 jam. Entah mengapa, masa berlalu teramat perlahan ketika berada di sini.

Destinasi kemudiannya sekali lagi ke Pasar Pusat untuk aktiviti membeli belah terakhir di Kota Medan. Walaupun jam menunjukkan 3.30 petang kami menaiki teksi dan balik ke penginapan semata-mata untuk mengambil beg. Tiba di Bandara Polonia, Medan jam 4 petang walaupun penerbangan balik ke Kuala Lumpur jam 8.10 malam. Leka di Bandara hingga terlelap dan menyaksikan ketibaan penumpang lain yang datang secara bergerombolan menaiki bas untuk tujuan yang sama seperti kami.

Walaupun penerbangan lewat pada jam 9.30 malam, akhirnya semua senyum kerana dapat juga membeli barang yang diingini di kedai bebas cukai walaupun harganya agak mahal.

Hari minggu yang cukup panjang di Medan untuk dihabiskan. Jiwa kota ini bukan untuk Izzo untuk membeli-belah tekstil ataupun kelengkapan rumah. Tetapi pengembaraan kali ini di Sumatera Utara seronok juga dengan gelagat 2 pemandu yang dimarahi, hospitaliti yang baik terutamanys di Berastagi, permandangan mengasyikkan di Tanah Tinggi Karo, Tongging, Air Terjun Sipiso-piso dan semestinya Danau Toba.

No comments: