Dah 18 bulan usia anakanda sorang ni. Secara kebetulan kami berada di Kuala Terengganu pada 30 September 2012 dan tarikh itu juga Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-50 DYMM Sultan Terengganu. Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku
Trip sekeluarga bersama mak dan ayah Izzo hanya ringkas sahaja 2hari 1malam. Sebelum ini, Arissa dah ke Terengganu 5 kali tapi ke daerah dan tempat yang lain. Trip kali ini merupakan kali pertama Arissa ke Kuala Terengganu bersama-sama bondanya juga. Tok Hawa dan TokWan entah kali ke dua puluh lebih kot.
Sampai di KT jam 1130, penginapan belum tersedia kerana tetamu terdahulu belum keluar. Terus shopping di pasar terkemuka di KT, tak lain tak bukan iaitu Pasar Payang. Memang niatnya untuk shopping dan terbang ribuan ringgit di sana. Yang penting, apa barang yang dihajatkan telah diperolehi.
Sampin songket dan baju batik ayahanda, baju batik bonda dan baju batik Tok Hawa, semua dapat capai. Kali ini agak berbeza kerana kebiasaannya Arissa dapat beli baju, tetapi memandangkan hampir keseluruhan bajunya tidak berkenan di mata ayahanda dan bonda, makanya tak dapat nak di beli. Hairan juga tak ada baju batik untuk si kecik ni di Pasar Payang. Yang banyak adalah baju bergambar penyu, i love Terengganu dan baju yang beridentitikan negeri ini.
Si kecik ni punyalah ligat, asyik main sorok-sorok di celah-celah gantungan baju dan lari sana-sini.
Sibuk shopping di Pasar Payang
Petang hari selepas kesemua 5 orang berehat dan tidur di bilik masing-masing, kami ke Pulau Duyong untuk melihat pembuatan bot. Petang dah tutup daaaa. Patut datang waktu pagi. Nak sampai ke sini, kami kena lalui kesesakan. KT agak sesak pada petang ini kerana ramai pengunjung luar mungkin juga ramai yang nak terima pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan. Jambatan Sultan Mahmud untuk menyeberangi Sungai Terengganu ke Seberang Takir turut sesak, tambahan pula awal paginya terdapat Larian Jambatan Sultan Mahmud.
Berlatarbelakang Taman Tamadun Islam
Malam di KT berwarna-warni dan dimandikan cahaya seluruh bandar. Tak perlu ke i-city Shah Alam untuk melihat lampu-lampu pokok yang bercahaya kerana di waterfront KT sememangnya penuh dengan lampu sebegitu. Si kecik yang ligat ni berlari-lari dan memusing-musing badannya keseronokan melihat lampu yang banyak. Macam filem hindustan yang suka menari sampil depa tangan dan pusingkan badan.
Tidak dapat dinafikan, Terengganu cantik dengan senibina dan hamparan pantai. Lihat saja bangunan dan masjid yang penuh dengan ukiran senibina Melayu dan corak geometri. Disini jugalah identiti Melayu yang tidak bercampur dengan mana-mana unsur lain sama ada Jawa, Siam atau bangsa lain. Kebijaksanaan pemimpinnya menguruskan negeri sejak 2004 memang membanggakan. Anak-anak yang pintar dan kini Terengganu terkenal sebagai kuasa baru sukan tanahair. Mungkin peruntukan perbelanjaan melipatkaliganda dari sebelum ini. Dari mana sumber, mungkin semua tahu.
Tetapi tak semua indah pada pandangan Izzo kerana Kerajaan mampu menawarkan prasarana kelas pertama namun membina minda dan mentaliti masyarakat belum tentu lagi berjaya. Izzo dapat saksikan sendiri Bandaraya KT ini agak banyak dengan sampah sarap dan sisa domestik terutama di waterfront ini dan juga Batu Burok serta tempat awam lain di KT. Tak cukup dengan itu, tandas yang mempunyai prasarana yang bagus turut tercemar dek sikap pengguna yang kurang beretika. Tak perlu lagi untuk menconteng dinding tandas yang penuh dengan batu marmar. Jangan harapkan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja untuk bertanggungjawab semua itu tetapi perlunya nilai dan kesedaran diri sendiri untuk menjaga persekitaran. Namun begitu, pihak berkuasa jugalah yang perlu memainkan peranan untuk mendidik masyarakat bagaimana menjaga alam sekitarnya. Anak-anak yang dikatakan pandai dalam akademik di sekolah patut dididik bagaimana menguruskan sampah. Jika anak-anak itu tahu caranya, dia juga boleh menegur orang yang lebih tua darinya termasuk ibu bapanya untuk kebaikan semua.
Waterfront
Ini kali ke-3 Izzo ke Taman Tamadun Islam. Tapi kali ini membawa si kecik dengan bondanya pusing di TTI. Hingga ke hari ini masih belum sempat untuk menaiki river cruise. Oooo, tanpa disedari dari 21 monumen masjid yang terdapat di Taman Monumen ni, lebih separuh daripadanya dan Izzo telah jejaki. Alhamdulillah. Mungkin selepas ni Izzo akan buat entry Masjid yang telah dilawati di dunia.
Masjid Kristal
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei
Masjidil Haram
Masjid Mohamed Ali Citadel, Kaherah
Dome Of Rock
Taj Mahal
Masjid Qolsharif, Tatarstan, Russia
Arissa kian besar dan makin ligat berlari, memanjat sana sini. Badannya agak kecil tapi lincah. Kali ini kemana-mana sahaja tempat, asal nampak saja papan gelongsor, itu yang dia nak pergi. Dia tak hairan tempat lain yang menarik kerana di mata kanak-kanak yang tahu adalah bermain dan bermain. Mungkin si kecik ni tak puas lagi bermain gelongsor di Taska. Taman Permainan depan rumah pun sama, hampir setiap hari ajak ke situ nak bermain papan gelongsor.
Syok bermain gelongsor
No comments:
Post a Comment