Wednesday, May 21, 2008

Ulasan Filem Paris Je T'aime

Filem pelbagai kisah, ragam, kehidupan, cinta, kasih dan sayang terdapat dalam Paris Je T’aime bermaksud I Love U Paris. Sinonim dengan gelaran City Of Love dan pusat kebudayaan, kesenian, fesyen dan industri kecantikan, Paris cukup sempurna untuk semua itu. Genap 2 tahun yang lalu, Izzo sempat menjejakkan kaki dan menyelongkar beberapa sudut dan pandangan di kota ini.

18 kisah suka duka dan kasih sayang dapat digambarkan di dalam filem ini. Ia turut menggabungkan 21 pengarah hebat dari seluruh dunia dan seterusnya berjaya menggenapkan istilah cinta serta memberi inspirasi kasih sayang kepada Paris.

Corat-coret 18 kisah berkenaan;

i. Cinta terjalin apabila seorang lelaki yang menolong seorang wanita apabila beliau mendapatinya terjatuh di kawasan tempat letak kereta. Siapa sangka, ayat-ayat romantis lelaki berkenaan berjaya menawan cinta seorang wanita.

ii. Seorang remaja lelaki bersama rakan-rakan yang lain mengusik gadis yang lalu-lalang di tebing sungai Seine. Namun panahan cintanya terkena kepada seorang gadis bertudung. Dengan hanya kerut wajah remaja lelaki berkenaan, beliau berjaya menunjukkan minat dan menggambarkan harapannya terhadap gadis berkenaan.

iii. Pelanggan lelaki yang meminati sorang pekerja di gudang percetakan. Beliau meluahkan perasaan dan menjelaskan hasrat hati walaupun pasangannya adalah sejenis. Namun faktor bahasa yang membataskan pemahaman pekerja gudang berkenaan.

iv. Jika anda ke Paris, adegan cium dan bercumbuan terdapat di mana-mana. Jangan terlalu asyik memandang adegan berkenaan kerana kisah singkat ini menerangkan apa yang akan berlaku.

v. Kasih sayang seorang penjaga kanak-kanak yang sanggup menaiki 4 metro atau subway untuk ke rumah majikannya. Nyanyian lagu asal Puerto Rico berbahasa Sepanyol yang bertajuk Que Linda Manito untuk mengilut bayi termasuk anaknya sangat mengasyikkan.

vi. Cerita seorang jurujual produk kecantikan yang akhirnya jatuh cinta kepada pemilik salon kecantikan yang berbangsa Cina walaupun pelbagai cabaran berat yang dihadapi sebelum mendapatkannya.

vii. Perpisahan yang bakal terjadi dalam perkahwinan dan beralih arah kepada gadis yang lebih muda menyebabkan akhirnya mereka tidak berbuat sedemikian.


viii. Kisah ini menggambarkan hubungan kasih dan sayang seorang ibu terhadap anaknya yang telah meninggal dunia. Rohnya digambarkan dengan bawaan seorang cowboy.

ix. Agak lucu kisah kesembilan ini kerana cerita seorang kanak-kanak yang berkelakuan jengkel yang menceritakan bagaimana cinta ibu dan bapanya. Jodoh mereka ditemukan di dalam penjara.

x. Cerita ini hanya berlaku dalam satu babak sahaja. Seorang bapa yang menggoda anaknya untuk menjaga bayi kecil di sepanjang perjalanannya. Dalam perjalanan yang memujuk anaknya itu, poster filem Paris Je T’aime menggambarkan kehebatan filem ini keseluruhannya.

xi. Dari pengambilan dadah, ia beralih kepada cinta kepada si pengedarnya. Cintanya bukan kepada dadah tetapi kepada pengedarnya yang tak muncul-muncul.

xii. Kisah cinta pandang pertama seorang pekerja am dari Nigeria yang jatuh cinta kepada ahli paramedik yang tidak memahami maksud itu pada mulanya. Di kala beliau sedang dirawat oleh ahli paramedik akibat ditikam, nyanyian oleh lelaki berkenaan mengingatkan kembali ingatan wanita tersebut. Sayangnya lelaki itu mati jua akhirnya.

xiii. Bagaimana pasangan berusia menjalinkan bibit-bibit cintanya walaupun aura berkenaan dari pusat pelacuran? Kehebatan pelakon senior sebegini menunjukkan minat kepada pemahaman cinta dari aspek yang berbeza.

xiv. Agak sukar untuk diterima akal kerana seorang pengembara muda jatuh cinta dengan vampiress. Gigitan oleh hantu beralih kepada gigitan cinta.

xv. Roh hantu dapat membantu seorang lelaki yang mengalami konflik dan baru sahaja putus tunang dengan teman wanitanya. Penggambaran yang menarik di kawasan perkuburan mengalihkan pandangan dari sudut yang berbeza di kota Paris.

xvi. Cinta itu buta. Ini diterangkan oleh seseorang lelaki buta yang bertemu cintanya dengan pelakon baru.

xvii. Pasangan jarak jauh yang tidak tinggal bersama bertemu di sebuah restoren. Konflik yang berlaku dan ego yang menebal dalam diri masing-masing akhirnya membawa kepada penceraian.

xviii. Paris digambarkan sebagai Kota Cinta oleh seorang pelancong pada asalnya. Dalam memahami kehidupan dan mempelajari bahasa Perancis, beliau jatuh cinta dan memilih untuk terus menetap di Paris.

Keseluruhannya, Paris Je T’aime menggambarkan harmoninya kota cinta ini dengan pelbagai kisah yang diadun dengan cukup menarik dan dapat mengajak sesiapa sahaja untuk berkunjung ke Paris. 3 kisah pilihan Izzo;

1. Remaja dan cintanya terhadap wanita bertudung
2. Cinta pandang pertama lelaki Nigeria
3. Pelancong yang jatuh cinta dengan Kota Paris.

Tidak adil untuk Izzo membandingkan dengan mana-mana filem yang lain seperti CINTA dan LOVE arahan Kabir Bhatia. Paris Je T’aime berbeza dengan filem cinta yang lain dan berada di tahap yang tersendiri. Pandangan yang lebih universal membuatkan pemahaman semua penonton dan penggemar filem ini kepada maksud cinta yang lebih komprehensif sebagaimana yang digambarkannya. Setiap individu mengalami perkara sebegini dan betapa kita patut menghargai maksud cinta jika kita terkena sindrom yang dimaksudkan. Filem yang amat bagus dan sesuai ditonton semua.


Paris Je T’aime.

1 comment:

Anonymous said...

Yuts, daw palagpat imo blog.