Showing posts with label cuti. Show all posts
Showing posts with label cuti. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Air Terjun Jerangkang

Berkhemah dalam hujan tapi seronok.

Monday, November 8, 2010

JERAT : JERai Advanture Trail

1. Kumunculan Skuad Tipu Tertipu
2. Tragedi Kancil Merah vs Kancil Hijau
3. Cinta terJERAT di Jerai

Kisah Mei 1999 kira-kira 11 tahun yang lalu tapi masih segar dalam ingatan. Kumpulan kami seramai 20 peserta bertolak dari Sintok ke Alor Setar menaiki bas HBR dan kemudian menaiki bas MARA ke Yan Kechil di kaki Gunung Jerai. Ini bukan program yang dibiayai nama-mana pihak sama ada pihak universiti mahupun persatuan yang dinaungi. Aktiviti sebaik sahaja cuti semester yang panjang, kami sepakat untuk mendaki Gunung Jerai. Secara kebetulan peserta adalah seramai 10 lelaki dan 10 perempuan.
2 rakan pendaki masing-masing berasal dari Yan dan Guar Chempedak menjadi pemandu arah sepanjang pendakian ini. Kami mula mendaki dengan berjalan kaki dari Pekan Yan Kechil menuju ke Tangga Kenari Seribu Tahun. Gagah ler juga untuk mendaki 1,000 anak tangga itu walaupun secara bertingkat. Ruih rendah kegembiraan sebelum pendakian bertukar muram akibat kepenatan. Keringat dan peluh mula membasahi. Namun masing-masing memaksa diri sendiri untuk senyum walaupun kelat kerana sepanjang pendakian diselang seli dengan kisah semut hitam, kesilapan Ghaffar Baba, selingan iklan 7 beradik dan macam-macam lagi.

Di sini juga bibit-bibit persaingan merah-hijau timbul kerana di UUM, persaingan musuh tradisi Pernas vs Petronas wujud ketika itu. Hanya 2 kolej ini yang tampak lebih ketara. Begitu juga dengan anggota pendaki JERAT kali ini kerana sebahagian besar dari kolej Pernas dan Petronas. Izzo turut mendiami kolej Pernas yang bertemakan merah.
Entah berapa kali rehat sepanjang pendakian. Ada yang berhenti minum, berhenti buang air disamping bercerita dan mendengar kisah-kisah lucu untuk semua senyum. Lebih menggamatkan apabila Kak Lin atau lebih dikenali sebagai "Orang" pitam seketika. Jadi, peranan masing-masing sebagai tukang kipas, tukang picit, jururawat segera membuatkan Kak Lin sedar kembali kurang dari 5 minit. Itulah kekuatan kami kerana semangat berpasukan.
Kami sudah sedar yang kami menghampiri puncak apabila pohon-pohon renek sudah mula kelihatan dan udara semakin sejuk meskipun matahari mulai tenggelam di Selat Melaka. Hujan pula turun, maka pacat mula menyedari kehadiran kumpulan kami. Hanya sekadar nasib, ada yang terkena pacat dan ada pula tidak.

Tiba di tapak perkhemahan hampir jam 8 malam, kelihatan pasukan lain iaitu kakitangan bomba turut berada disitu. Mereka menggunakan jalan raya dari Guar Chempedak dan menaiki kenderaan ke tapak perkhemahan berkenaan. Rezeki mencurah apabila pasukan bomba tersebut memberikan kumpulan kami dengan makanan. Memang kami ada membawa bekalan makanan untuk dimasak tetapi mengambil masa beberapa ketika untuk di masak. Namun makan yang diberi oleh pasukan bomba tersebut dijamah dengan lebih awal. Rezeki jangan ditolak.

Malam yang penat akibat keletihan dan sebahagian sahaja yang tidur di dalam khemah. Selebihnya tidur di surau termasuk Izzo. Sungguh mengelat trip JERAT kali ini kerana tidur di surau. Namun pada ketika itu, ada yang terjerat. Bibit-bibit cinta turut timbul namun dirahsiakan. Akhirnya, kami juga mengetahui siapa yang terjerat.

Pagi yang indah kami menyaksikan permandangan hijau sawah padi di negeri Jelapang Padi. Indah nian!!. Tak terlepas mandi di air terjun berhampiran Gunung Jerai yang cukup sejuk terutama pada waktu pagi.
Kami turun menyusuri jalan raya menuju ke perhentian bas yang terletak di hadapan pintu masuk ke Gunung Jerai dari pekan Gurun. Memandangkan jalan berliku-liku beberapa anggota mengambil jalan pintas. Namun, akibat terlebih jalan pintas, Izzo dan 3 yang lain telah tersalah jalan dan terlencong sehingga ke pekan Gurun yang terletak 5km dari sasaran kami. Hahahaha, rasakan!! Terpaksa berpatah semula berjalan kaki ke kawasan yang dituju. Tiba di tempat yang dituju, kami digelar skuad Tipu-tertipah kerana untuk menipu orang lain, kami akhirnya yang tertipu.

Menunggu bas pulang ke Alor Setar dan seterusnya bas ke Sintok, perlawanan Pernas vs Petronas tak berkesudahan. Membilang bilangan kenderaan berwarna merah dan hijau. Akhirnya warga merah berbangga kerana kancil yang berwarna merah memotong kancil hijau betul-betul di hadapan kami secara kebetulan. Peristiwa itu membuatkan warga Petronas terdiam dan zip mulut.

Namun, itu semua sudah menjadi sejarah dan diabadikan dalam pengalaman hidup masing-masing. Pengalaman JERAT cukup menarik walaupun aktiviti yang singkat, stamina kami masih kuat memandangkan usia pada ketika itu sekitar 18-21 tahun. Kami rapat dan aktif dalam persatuan bagaikan adik beradik.

Tuesday, April 20, 2010

Matahari Terbenam di Sg. Nil

Ini yang Izzo nanti-nantikan bila berada di Mesir. Menaiki bot di sungai terpanjang di dunia ini. Panjangnya 6,666km dan merentasi 3 negara di Benua Afrika. Jika hendak diukur kepanjangan dan jarak Sg. Nil ini adalah bersamaan 6 perjalanan di antara Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru.

"Sebelum aku kesini ada 2 hal yang aku kagum dengan Mesir iaitu Al-Azhar dan Sungai Nil. Kerana tanpa Sungai Nil tiadalah Mesir dan tiadalah Al-Azhar. Aku juga suka Sungai Nil kerana tanpa Sungai Nil tiadalah peradaban dan tiadalah Mesir. Yang ada hanyalah gurun pasir. Aku rasa Sungai Nil dan Mesir itulah jodoh kerana yang diberikan Tuhan".

Itulah antara ungkapan dalam sebuah filem yang pernah Izzo minati beberapa tahun lalu.




Paling manis Izzo menaiki bot dengan bonda sebelum matahari terbenam. Ayahanda lebih suka menonton rancangan TV Mesir di dalam bilik dan hanya kami berdua bersiar-siar di sekitar Kaherah. Pada malam itu juga, kami ditawarkan untuk menaiki cruise Sg. Nil sambil menikmati makan malam serta pertunjukan tarian Mesir tetapi kami tidak memilihnya.



Menyusuri Sg. Nil dengan menaiki bot di hadapan Hotel Hilton di Kaherah terasa puas dengan angin senja yang mula terasa kesejukannya. Memang ramai sekali warga Kaherah serta pelancong asing yang santai menyaksikan matahari terbenam di sepanjang sungai. tetapi kami di atas bot pada ketika itu.

Monday, April 19, 2010

Lagi-lagi Cairo

Dah nama pun lawatan pakej berkumpulan, semuanya telah diatur oleh agensi tempatan di Kaherah iaitu Msir Asia Travel. Tanpa bayar sebarang tiket untuk memasuki ke mana-mana destinasi dan juga makan yang telah terhidang. Tour-guide kami iaitu Juni merupakan penuntut Pascasiswazah di Universiti Al-Azhar yang berasal dari Indonesia. Meskipun begitu, beliau tidak kekok bercakap dalam lenggok Bahasa Melayu seperti rakyat Malaysia kerana ramai sekali rakan-rakan beliau dari Malaysia dan 2 kali sebulan beliau menerima kumpulan pelancong dari Malaysia.

Lawatan di Kaherah antaranya melawat Muzium Mesir yang menyaksikan ramai sekali pengunjung asing mula berbaris sejak awal pagi. Namun kekesakan penunjung dan ditambah dengan susunan artifak yang terlalu banyak menyebabkan "dah tak larat nak tengok" patung-patung purba di Mesir. Bayaran khas turut juga dikenakan untuk melihat mumia Firaun iaitu sebanyak 100 pound. Memandangkan Izzo pernah melihat mumia berkenaan ketika di Aichi, Jepun pada 2005, jadi tak perlu untuk beratur dan membayar sekian wang untuk melihatnya lagi.

Sphinx depan Muzium pun berhidung patah

Beberapa siri lawatan di Cairo kami dibawa ke Masjid Sultan Hassan yang dibina pada tahun 1356 yang menyaksikan 4 kelas iaitu Maliki, Hanafi, Hanbali dan Syafie dan wujudnya 4 mazhab hingga kini. Izzo sempat menunaikan Solat Jumaat di Masjid ini dan Imamnya mengikut Mazhab Syafie pada ketika itu. Sebelah masjid berkenaan yang terletak kurang dari 20 meter antara satu sama lain dalam pagar yang sama turut ada masjid lain El-Rafei yang turut mempunyai jemaah menunaikan Solat Jumaat. Malahan dikawasan sekeliling terdapat 5 lagi masjid. Sememangnya terlalu banyak masjid di sini dan menyaksikan sana-sini adalah menara masjid. Sesuai dengan jolokan Kaherah sebagai Kota Seribu Menara.

Kami turut melawat Masjid Hussien yang hanya bersebelahan dengan Masjid Al-Azhar serta Bazaar Khan Khalili, tempat beli-belah barangan cenderamata di kalangan pelancong ke Kaherah ini. Pastinya mereka mengenali pelancong Malaysia dan juga mahir berbahasa Melayu walaupun beberapa ayat sahaja yang mereka faham. Masjid Al Shafie turut dilawati dan menyaksikan Makan Imam Syafie di situ serta tapak kaki baginda Rasulullah S.A.W.

Bersama bonda depan Makan Imam Syafie

Tapak kaki Baginda Rasulullah S.A.W


Perjalanan di sekitar Cairo turut melihat bagaimana kota tua yang bersejarah ini masih mengekalkan identiti bangunannya yang kekal hingga hari ini. Sejarah lama kota ini amat hebat dan menyaksikan tempat perkembangan para ilmuan serta ulama dan masih menjadi rujukan.

Kami tak terlepas melawat Citadel, kubu perang di Kaherah serta Masjid Muhammad Ali atau Masjid Ali Pasha yang merupakan Masjid yang tercantik di Mesir. Masjid ini mempunyai senibina yang hampir sama dengan Masjid Biru di Istanbul, Turki berikutan arkitek yang sama. Sememangnya Masjid ini amat cantik cuma disekelilingnya dipenuhi oleh debu-debu yang terlalu banyak berterbangan. Terletak di atas bukit dan Izzo berpeluang menyaksikan panorama kota Kaherah walaupun tak sepenuhnya jelas.

Masjid Ali Pasha @ Citadel

Kota Kaherah dari Citadel

Unknow Soldier Memorial dan Makam Anwar Sadat tak terlepas dilawati dalam siri lawatan ini.
Yer, Izzo terpegun dengan sejarah Kaherah yang sememangnya menjadi bukti awal Zaman Kegemilangan Ketamadunan Manusia. Cuma, rakyatnya perlu menghayati kekayaan sejarah yang dimilikinya. Kini, kelihatan mereka semakin terhimpit diantara sejarah lama dan dunia kontemporari.

Depan Makam Anwar Sadat

Dataran depan Makam

Malam hari di Kaherah, Izzo berjalan-jalan suka menikmati kesejukan kota Kaherah dengan Bonda dan Ayahanda walaupun beliau menggunakan kerusi roda. Bangunan di sekitar downtown seperti kota Paris tetapi penjagaan dan pemeliharaan yang kurang menyebabkan nampak lebih berserabut ditambah dengan sikap pemandu yang suka membunyikan hon dan tidak mengikuti isyarat jalan raya. Hiruk pikuk juga kota ini.

Friday, April 16, 2010

Cairo & Giza

Selesai sarapan pagi di LA Cuisine, kami terus dibawa ke Giza dimana bukti tamadun peradaban dunia manusia pertama di muka bumi wujud dan masih kekal. Suhu yang dingin tetapi Izzo selesa tanpa jaket kerana ingin mendapatkan kenikmatan suhu semulajadi yang dingin dan matahari yang menyinar.

Dengan melawat Piramid Agung iaitu Kufu, Kharfe dan Mankaure atau Izzo bahasakan Piramid 3 beradik dan Sphinx yang berbadan singa berkepala manusia hanya dalam waktu yang amat terhad dan kurang dari tempoh 1 jam. Apa boleh buat, inilah kelemahan melancong dalam berkumpulan terutama mengikuti rombongan dengan warga emas. Rata-ratanya penerangan diberikan dalam bas sebabnya ada kemudahan hawa dingin dan lebih selesa. Hanya ke sana untuk tujuan bergambar dan membuktikan telah sampai ke piramid.
Jika diberi pilihan berseorangan, Izzo akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 5 jam di sekitar piramid ini sama ada mengelilinginya dan juga masuk ke dalamnya. Dalam lawatan, kami hanya melalui piramid kedua iaitu Piramis Kharfe dan tidak berpeluang untuk menyentuh piramid tersebut. Cuaca agak berkabus dan permandangan Piramid 3 beradik agak kabur dari jauh.
Melihat kepada Piramid ini, memang layak disenaraikan ke dalam 7 keajaiban dunia dan dibina hanya untuk kubur kepada Firaun pada 2000 tahun sebelum masihi dan dibina selama 20 tahun. Tempoh pembinaan agak lama kerana batu-batu yang diperolehi adalah dari limpahan banjir Sg. Nil yang terlekat di sekitar Cairo dan Giza.
Izzo dan kumpulan sempat juga singgah kurang dari 5 minit ke Sphinx. Melihat kepada hidungnya yang telah patah, kesian pula kepada dia. Dibina menyerupai Firaun Kufu yang menggambarkan perwatakannya garang seperti singa tetapi hati yang lembut seperti manusia. Apa boleh buat, hanya untuk bergambar dengan cepat kerana bas yang dinaiki tidak dibenarkan berada lama di hadapan Sphinx berkenaan.

Selesai melawat Piramid Agung Giza, rombongan dibawa ke perusahaan perfume milik Adinda Allahyarham Dodi Al-Fayed yang hanya terletak di hadapan Piramid. Pemasaran yang cukup berkesan sehinggan hampir semua membeli perfume asli tanpa sebarang campuran alkohol. Izzo dan bonda turut membeli 3 bauan masing-masing untuk ayahanda, bonda dan Izzo.

Destinasi diteruskan ke kilang tekstil yang menyaksikan banyak penjualan egyptian cotton, kilang pembuatan kertas papyrus serta hasil produk dari kulit binatang terutamanya unta. Selesai makan tengah hari di restoren yang sama, kami langsung dibawa ke hotel yang betul-betul berada di tengah-tengah Kota Metropolitan Moden Cairo.
Selesai check-in, ayahanda dan bonda keletihan dan Izzo terus untuk memilih berjalan kaki di Cairo. Terasa bebas seketika kerana kali ini peluang untuk berseorangan. Izzo bersiar-siar di Kota yang dikenali Kota Seribu Menara ini, hingga ke kawasan pulau dan di sisiran sungai terpanjang di dunia iaitu Nil. Tiada Sg. Nil tiadalah Mesir. Betapa rakyat Mesir mengagumi dan menyanjungi Sg. Nil. Suhu agak dingin namun debu banyak berterbangan kesan daripada asap kenderaan yang terlalu banyak dan tiupan debu bawaan dari padang pasir.

Malam hari, selesai makan malam, Izzo dan keluarga berjalan di kawasan sekitar menyaksikan kawasan beli-belah yang sibuk. Permandangan yang berbeza kawasan di sini. Harga cukup berpatutan dan kos relatif yang lebih murah berbanding Malaysia.

Thursday, April 15, 2010

Kuala Lumpur - Kaherah

MS 971 KUL CAI
24 Mac 2010
ETD 0030 ATA 0025
ETA 0550 ATA 0435
Airbus 330-200
Seat 23E
Load Factor 90%

Penerbangan sulung dengan EgyptAir ini agak teruja memandangkan syarikat penerbangan ini baru menyertai pakatan "Star Alliance" walaupun sekadar bertaraf 3 bintang. Banyak trip report yang negatif tentang EgyptAir berbanding positif terutama dari segi keadaan pesawat dan juga layanan oleh crew.

Masuk ke pesawat, Izzo merupakan orang kedua selepas ayahanda memandangkan beliau memerlukan bantuan khusus dalam penerbangan. Keutamaan tetap diberikan kepada OKU.

Secara keseluruhan penerbangan agak selesa walaupun tanpa PTV memandangkan waktu penerbangan berkenaan adalah waktu tidur. Cuma layanan crew agak kurang mesra dan memerlukan mereka lebih senyum dan mesra terhadap pelanggan. Kekurangan yang perlu ditangani untuk memenangi hati penumpang. Tidak banyak karenah dan ragam penumpang. Rata-rata pengunjung adalah kumpulan pengunjung dari Malaysia ke Mesir untuk melancong secara pakej dan juga penuntut Malaysia ke negara berkenaan.

Tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo (CAI), kami yang terakhir keluar dari pesawat dan terus disambut oleh petugas CAI dan keutamaan tetap diberikan kepada OKU dalam segala hal termasuk laluan ekspress di Imigresen. Hubungan diplomatik yang akrab diantara Malaysia dan Mesir menyebabkan Imigresen Mesir tidak banyak soal dan menghormati rakyat Malaysia. Mereka kagum dengan negara bertuah Malaysia.

Sunday, August 23, 2009

Jodhpur "Kota Biru"

Berita Minggu : 23 Ogos 2009

Oleh: Mohd Zulkifli Hashim
Hampir keseluruhan bangunannya berwarna biru, memberi kesan mendamaikan


JODHPUR, sebuah kota di tengah-tengah negeri Rajasthan terkenal kerana kekuatan empayarnya sekitar abad ke-15.

Ketika itu, kota yang terletak di lokasi strategik di tengah laluan dagang utama di antara Gujerat dan Delhi, dilengkapi sistem pertahanan terkuat yang menyokong sistem pemerintahan berstruktur kemas.

Kelebihan itu menjadikan Jodhpur lokasi paling sesuai sebagai ibu negeri Marwar, iaitu nama lama Rajasthan sebelum pusat pemerintahan dipindahkan ke Jaipur.

Jodhpur dikenali Kota Biru kerana hampir seluruh bangunannya berwarna biru yang serba mendamaikan.
Ia menjadi pintu masuk ke Gurun Thar di utara India, mudah dihubungi melalui kereta api yang merangkaikannya dengan Delhi, Jaipur, Mumbai, Ahmedabad, Jaisalmer dan Ajmer.

Lebuh raya serta pengangkutan udara ke kota ini juga berkembang dengan pesat. Penulis tiba di Jodhpur dengan menaiki kereta api malam dari Jaisalmer, tetapi penginapan di kota biru berkenaan awal-awal lagi sudah ditempah, kebetulan pula pemilik penginapan di Jaisalmer dan Jodhpur saling mengenali.

Sebaik menjejak kaki di kota Jodhpur jam 5.30 pagi itu, suasana di stesen kereta api dipenuhi orang ramai yang tidur bergelimpangan di ruang tengah bangunan utama.

Tanpa melengahkan masa, penulis terus mendapatkan pengangkutan 'auto rickshaw' yang cukup popular di India menuju tempat penginapan untuk berehat kerana tidur agak terganggu ketika dalam perjalanan dari Jaisalmer.

Tidak sabar rasanya untuk berbaring atas tilam yang empuk, namun hampa kerana semua bilik masih berpenghuni dan tetamu hanya dibenarkan mendaftar masuk jam 7 pagi. Lalu sofa menjadi sasaran selepas dibenarkan pemilik rumah penginapan.

Kelihatan beberapa pengembara lain turut tiba dan kami sama-sama berehat di ruang menunggu sambil dari semasa ke semasa melihat jarum jam bergerak sehinggalah 8 pagi, namun bilik yang dijanjikan belum tersedia.

Pada wajah pemilik penginapan, kelihatan riak serba salah, mungkin resah kerana ramai pelanggan terpaksa menunggu agak lama. Perut mula 'berkeroncong' minta diisi, namun restoran di tingkat paling atas bangunan itu belum menunjukkan tanda untuk memulakan operasinya, lalu bekalan roti dan serunding daging dari Malaysia dikeluarkan dari beg sandang.

Ketika bersiap untuk menjamah hidangan, satu lagi masalah timbul apabila penulis tidak dibenar menggunakan pinggan mangkuk di rumah penginapan itu kerana pemiliknya seorang 'vegetarian' atau hanya makan sayur-sayuran. Selesai bersarapan, barulah pemilik memaklumkan bilik sudah tersedia, tetapi ia bukan di bangunan utama itu, sebaliknya milik adik angkatnya yang terletak selang beberapa bangunan dari situ.

Ketika mahu ke bangunan yang dimaksudkan, berasa diri seperti tidak begitu dilayan, lebih-lebih lagi apabila pemilik rumah penginapan memberikan layanan berlainan kepada pelanggan yang tiba selepas penulis. Terasa seperti 'dihalau secara terhormat' oleh pemilik berkenaan, mungkin kerana penulis sebelum itu memilih mengisi perut dengan serunding daging di premisnya.

Bagi penulis, kejadian itu mengajar supaya kita peka dan berhati-hati dengan sensitiviti agama, budaya serta persekitaran masyarakat, bukan saja di negara sendiri tetapi juga ketika di perantauan. Kembara ke Jodhpur diisi dengan kunjungan ke Kubu Mehrangarh yang menjadi mercu tanda utama kota ini dan kubu terbesar di Rajasthan yang tidak pernah ditakluki mana-mana pihak.

Terletak atas bukit kira-kira 150 meter bersebelahan kota lama atau Kota Biru Jodhpur, Kubu Mehrangarh bukan saja berfungsi sebagai benteng pertahanan, tetapi juga sebagai puncak pemantauan yang dapat melihat keseluruhan kota lama. Dibuka pada 1458, kubu ini kini dijadikan kompleks muzium yang mempamerkan pelbagai antikuiti peperangan dan koleksi tandu, termasuk yang digunakan di atas gajah selain kelengkapan diraja Rao Jodha.

Dengan bayaran Rs250 atau kira-kira RM18.50, termasuk caj yang dikenakan bagi kamera, kompleks muzium setinggi empat tingkat ini terserlah mesra pengunjung kerana langsung tidak menggunakan khidmat jurupandu.

Sebaliknya, lawatan pengunjung dibimbing secara audio atau melalui sistem 'audio tour' bagi menceritakan kisah di sebalik setiap objek yang dipamerkan dan lebih menarik lagi, turut dilengkapi kesan khas bunyi-bunyian zaman peperangan. Dari tebing kubu, pengunjung dapat menyaksikan maksud sebenar Kota Biru atau kota lama bekas pusat pemerintahan di Jodhpur seluas lima kilometer persegi yang menempatkan lebih sejuta penduduk itu.



Dinamakan sebegitu kerana hampir keseluruhan bangunan di situ diwarnakan biru, manakala di celah-celah bangunan pula menempatkan ruang niaga menjual pelbagai barangan. Setiap lorong dikhaskan menjual satu produk, umpamanya satu lorong menjual rempah ratus, manakala yang lain menjual tekstil, pakaian, makanan tradisional, produk besi, rotan, ubatubatan atau kelengkapan dalaman rumah yang dihasilkan secara tradisional.




PENULIS bergambar di atas Kubu Mehrangarh.



Untuk berasakan sendiri suasana hiruk-pikuk di Kota Biru, penulis memilih berjalan kaki untuk menyaksikan gelagat tawar menawar di antara peniaga dan pemborong dengan pelanggan. Kini semakin banyak rumah penginapan dibina di Kota Biru dan masing-masing menyediakan restoran di aras bumbung bagi memudahkan tetamu menyaksikan pemandangan Kubu Mehrangarh dan sekitar kota. Jika anda berpeluang ke India, tidak rugi singgah di Jodhpur yang pastinya menjanjikan pengalaman amat menarik.

INFO: Jodhpur
Diasaskan oleh Rao Jodha, ketua Rajput daripada keturunan Rathore
Bandar kedua terbesar di Rajasthan
Menempatkan banyak istana, kubu dan kuil lama
Juga dikenali sebagai Kota Matahari.

Sunday, May 11, 2008

Everyday is Sunday !!!


Perkara sebeginilah yang aku hadapi hari ini, esok, lusa, minggu depan, bulan depan dan seterusnya dalam tempoh 400 hari akan datang. Tiada kerja dan tiada pejabat kecuali menyiapkan tugasan 100 muka surat. Inilah kerja hari-hari yang yang dilakukan selain melayan perasaan tiap-tiap hari dan mencari sumber inspirasi untuk menyempurnakan kitaran hidup 24 jam sebelum tempoh 400 hari berakhir.


Kadang-kadang aku berfikir inilah yang dinamakan keseronokan, inilah masa untuk menikmati kehidupan yang sempurna dan adakalanya juga aku berfikir inilah masa yang paling mencabar. Tapi aku seronok sebegini.


Insya'Allah pada Julai/ Ogos 2009 aku akan kembali berkhidmat dan meneruskan perjuangan membangunkan tanah air yang tercinta ini.