Friday, October 31, 2008

Kinabalu sana-sini

19 Oktober 2008


Memandangkan Akinabalu Youth Hostel betul-betul berada di Jalan Gaya dan kami menghabiskan masa pada 19 Oktober untuk jalan-jalan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan yang berdekatan. Secara kebetulan pagi pagi tersebut adalah hari Ahad dan berpeluang untuk ke Tamu di Jalan Gaya serta yang lebih unik lagi ke Tamu Kota Belud. Sempat juga membawa rakan-rakan melawat Muzium Sabah dan Jambatan Tamparuli.



Namun, permandangan matahari terbenam di Tanjung Aru cukup menggamit perasaan dan mengingatkan kembali ingatan Izzo kepada Negeri Di Bawah Bayu yang cukup cantik ini.



Pulau Sapi

20 Oktober 2008


Destinasi terakhir di Borneo ini hanya 15 minit sahaja dengan menaiki bot dari Jesselton Point, Kota Kinabalu. Pulau Sapi adalah di antara gugusan pulau yang berada dalam Taman Tunku Abdul Rahman, Sabah sekaligus berada di bawah seliaan Taman-taman Sabah.

Kami hanya habiskan masa setengah hari dengan menaiki bot awal seawal jam 8 pagi dan bergerak balik jam 12. Masa tersebut cukup untuk aktiviti berehat dan snorkelling.


Tapi, berbanding dengan pulau-pulau lain, badan jadi gatal ketika mandai-manda dan snorkelling di sini. Keadaan ini bukan berlaku kepada Izzo sahaja tapi rakan-rakan yang lain turut sama. Entah dimana silapnya.


X-Trail Borneo dah tamat


Cabaran Sg. Padas

18 Oktober 2008


Berakit di Sg. Padas pada tahap III-IV merupakan antara yang terbaik di Asia. Sememangnya pengalaman yang menyoronokkan dan tidak dapat dilupakan. Perjalanan awal pagi dari Kota Kinabalu ke Tenom mengambil masa kurang dari 3 jam dan pastikan tiba sebelum jam 12 kerana keretapi bergerak jam 1230 tengah hari dari Tenom menuju ke Pangi. Pengalaman kali kedua Izzo menaiki keretapi komuniti di Tenom memang lebih menyeronokkan kerana pada kali ini kami menaiki di ruang kabin tanpa bumbung.



Sekali lagi, aktiviti X-Treme ini tidak dapat dirakamkan memandangkan semuanya berkeadaan basah dan tenggelam dalam pusaran air yang kuat di Sg. Padas meskipun menggunakan jaket keselamatan.


gambar hiasan sahaja tapi yang sebenar keadaan air lebih bergelora dari ini



Cabaran berakit di Sg. Padas ini bermula dari Pangi dan berakhir di Halogilat sejauh 23km dan memakan masa selama 3 jam di atas rakit. Tidak hanya melalui laluan air yang deras tetapi permandangan indah sungai berkenaan yang merentasi Banjaran Crocker dan perkampungan Murut memang mendapat perhatian sehinggakan 2 daripada ahli kumpulan ingin sama sekali hidup bersama mereka. Cabaran berakit ini mungkin berubah dan dipendekkan selepas kerja-kerja pelebaran dan pembaikan landasan keretapi tersebut.


Terdapat beberapa rapid atau laluan air yang deras sepanjang cabaran di Sg. Padas kali ini. Antaranya Break Point, Merry Go Round, Scooby Doo, The Cobra Point, Lambada, Curve, Snake House dan yang paling mencabar adalah The Washing Machine yang menyebabkan kami semua terhumban keluar dari bot dan berhadapan dengan laluan dengan air yang amat deras sehinggakan terminum berkali-kali air Sg. Padas.




Tamat aktiviti berakit, kami menaiki keretapi terus ke Beaufort dengan sekali lagi beriringan dengan Sg. Padas.

Sepilok, Tarap, Labuk, Tayar Bocor & Anak Ular Tedung

16 Oktober 2008

Sejurus turun dari Kinabalu, X-Trail Borneo diteruskan dengan menaiki bas dari Taman Negara Kinabalu ke Sepilok. Perjalanan tesebut mengambil masa selama 4 jam dengan harga RM39.

Sepilok yang terkenal seantero dunia dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan di buka 2 kali sehari. Sepertimana yang telah diperkatakan, tempat ini bukannya Zoo tetapi pusat untuk melatih orang utan untuk kembali ke habitat asalnya dan hidup bebas di hutan. Sememangnya wajar untuk dilawati tetapi tiada jaminan untuk melihat orang orang disini. Namun pada pagi berkenaan, terdapat kurang dari 10 ekor orang utan muncul sewaktu makan pagi.

Sempat Izzo singgah untuk membeli buah tarap dan mangga sewaktu perjalanan dari Sepilok ke Labuk. Setelah dua kali mencuba untuk menikmati buah ini tetapi tekak ini masih belum dapat menerimanya. Buah Tarap yang berharga RM1 sebiji ini seakan-akan cempedak cukup popular di Sabah selain buah bambangan.

Cadangan asal adalah untuk menyelusuri Sg. Kinabatangan dan menyaksikan sendiri aktiviti dan habitat asal semulajadi haiwan seperti Proboscis Monkey, Lutong, Orang Utan, Burung Kenyalang serta Gajah Pygmy yang jarang ditemui di tempat lain termasuk semenanjung Malaysia. Namun akibat kesuntukan masa, Izzo menukar dengan hanya sepetang melawat Proboscis Monkey dan Lutong serta Macaque di Labuk. Berbeza dengan specis monyet yang lain, Lutong jinak dengan manusia dan tidak membuat sebarang bentuk tindakan ganas apabila berhadapan dengan manusia.

Terdapat 4 keluarga Proboscis Monkey disini atau lebih dikenali sebagai Monyet Belanda. Masing-masing menayangkan kehebatan dan keegoan keluarga dan bergaduh jika ruang mereka dicerobohi. Selesai menjengok specis monyet ini, kami dapati tayar pacuan 4 roda yang dinaiki bocor mungkin akibat pelanggaran batu-batu tajam.

Namun tiada apa yang ralat bahkan semakin seronok dengan masa terluang ketika itu sewaktu di Labuk. Pada ketika itu juga, buah tarap dijamah.

Tiba malam hari di Sepilok Jungle Resort, sempat kami berjalan pada malam hari di sekitar Sepilok. Malang sungguh kerana terserempak dengan Anak Ular Tedung. Erk…

Thursday, October 30, 2008

Sayang Kinabalu Selamanya


14 & 15 Oktober 2008
Izzo memang rindu dengan Gunung Kinabalu. Dengan ketinggian 4095.2meter, gunung ini merupakan kemuncak tertinggi di antara Himalaya dan Papua New Guinea. Waktu terakhir Izzo menatap Kinabalu pada Jun 2007 sewaktu bengkel organisasi di Kundasang dan Oktober 2008, Izzo kembali untuk mendaki lagi.

MC14

Pendakian seramai 5 orang dalam kumpulan ini menggunakan laluan Mesilau-Puncak-Timpohon.

Lada & Izzo tengah basah kuyup

Farid & Lada @ KM5


Kumpulan kami memakai kod MC14. Perjalanan mendaki bermula jam 9.30 pagi dan Izzo bersama Lada dan Farid tiba di Laban Rata jam 2.50 petang dengan berhadapan 3 kali hujan lebat. Ini juga antara faktor untuk kurang mengambil gambar sepanjang pendakian.
Suhu pada jam 4.30pm menunjukkan 9-10 celcius dan suhu berkenaan tidak lagi dianggap sejuk bagi Izzo kerana berjaya membuka baju sepenuhnya lebih dari 20 minit.

Laban Rata


Pakej lengkap dari Sutera Sanctuary Lodge iaitu penginapan dan 4 kali makan sebanyak RM213 kini membuatkan semua pendai tidak perlu lagi membawa bekalan tambahan yang hanya memberatkan beg.


Makan Malam di Laban Rata


OK, Pendakian seterusnya bermula jam 3 pagi dari Laban Rata menuju ke Puncak Low dan Izzo sampai di puncak tepat jam 5.30 pagi sebelum sang suria memencarkan sinarnya pada pagi berkenaan.

Suhu awal pagi di ketinggian 3080 meter


Perjalanan mendaki paling indah yang Izzo hadapi kali ini kerana sepanjang pendakian pada awal pagi berkenaan bulan purnama Syawal begitu cantik dan seolah-olah menggamit semua pendaki. Tetapi dengan keadaan tangan yang terlampau sejuk pada suhu sekitar 2 celcius menyebabkan ingatan indah tersebut hanya tersemat dalam kotak fikiran.


Bulan Purnama Syawal @ Kinabalu

Matahari Terbit 15 Okt

Puncak Low

Sekali lagi, kaki ini berjaya menjejakkan kaki di puncak. Dengan keadaan Puncak Low yang begitu sempit serta jurang sedalam 400meter yang begitu hampir dan semakin ramai pendaki tiba di puncak, maka kami terpaksa turun dengan lebih awal dari puncak. Banyak puncak yang terdapat di Kinabalu antaranya Puncak Low yang paling tinggi, Victoria, St. John, Alexandra, Ugly Sister, Telinga Keldai dan juga Puncak Selatan yang paling cantik sebagaimana yang terdapat di wang kertas RM1. Permandangan batu-batuan di depan mata yang amat cantik seolah-olah menyamai lukisan membuatkan kita begitu kerdil dengan ciptaanNya.


Puncak Selatan

Puncak Low

Sama seperti RM1


Kali ini penurunan dari Puncak ke Timpohon adalah amat lancar dan Izzo hampir langsung tiada kesakitan yang dialami di kaki. Mungkin teknik berjalan pantas dan berlari berjaya diaplikasikan.


Pendakian Kinabalu memerlukan semua kumpulan pendaki menempah dengan lebih awal di Sutera Sanctuary Lodge kerana hampir setiap hari di penuhi oleh pendaki tempatan dan antarabangsa. Tempat yang terhad hanya untuk 146 pendaki sehari seeloknya di kekalkan bagi menjaga Tapak Warisan Dunia yang pertama di Malaysia ini.

Persiapan yang rapi juga diperlukan untuk ketahanan fizikal dan juga mental kerana ada pada ketikanya hanya semangat yang masih tinggal untuk terus mendaki di samping kekurangan oksigen.


Pastinya pendakian Kinabalu kali ini membuatkan Izzo semakin sayang dengan Kinabalu selamanya.