Sejurus turun dari Kinabalu, X-Trail Borneo diteruskan dengan menaiki bas dari Taman Negara Kinabalu ke Sepilok. Perjalanan tesebut mengambil masa selama 4 jam dengan harga RM39.
Sepilok yang terkenal seantero dunia dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan di buka 2 kali sehari. Sepertimana yang telah diperkatakan, tempat ini bukannya Zoo tetapi pusat untuk melatih orang utan untuk kembali ke habitat asalnya dan hidup bebas di hutan. Sememangnya wajar untuk dilawati tetapi tiada jaminan untuk melihat orang orang disini. Namun pada pagi berkenaan, terdapat kurang dari 10 ekor orang utan muncul sewaktu makan pagi.
Sempat Izzo singgah untuk membeli buah tarap dan mangga sewaktu perjalanan dari Sepilok ke Labuk. Setelah dua kali mencuba untuk menikmati buah ini tetapi tekak ini masih belum dapat menerimanya. Buah Tarap yang berharga RM1 sebiji ini seakan-akan cempedak cukup popular di Sabah selain buah bambangan.
Cadangan asal adalah untuk menyelusuri Sg. Kinabatangan dan menyaksikan sendiri aktiviti dan habitat asal semulajadi haiwan seperti Proboscis Monkey, Lutong, Orang Utan, Burung Kenyalang serta Gajah Pygmy yang jarang ditemui di tempat lain termasuk semenanjung Malaysia. Namun akibat kesuntukan masa, Izzo menukar dengan hanya sepetang melawat Proboscis Monkey dan Lutong serta Macaque di Labuk. Berbeza dengan specis monyet yang lain, Lutong jinak dengan manusia dan tidak membuat sebarang bentuk tindakan ganas apabila berhadapan dengan manusia.
Terdapat 4 keluarga Proboscis Monkey disini atau lebih dikenali sebagai Monyet Belanda. Masing-masing menayangkan kehebatan dan keegoan keluarga dan bergaduh jika ruang mereka dicerobohi. Selesai menjengok specis monyet ini, kami dapati tayar pacuan 4 roda yang dinaiki bocor mungkin akibat pelanggaran batu-batu tajam.
Namun tiada apa yang ralat bahkan semakin seronok dengan masa terluang ketika itu sewaktu di Labuk. Pada ketika itu juga, buah tarap dijamah.
Tiba malam hari di Sepilok Jungle Resort, sempat kami berjalan pada malam hari di sekitar Sepilok. Malang sungguh kerana terserempak dengan Anak Ular Tedung. Erk…
No comments:
Post a Comment